Anda mungkin perasan semakin banyak game gacha mobile dari Jepun yang menutup server mereka secara tiba-tiba kebelakangan ini. Hakikatnya, data industri menunjukkan bahawa tahun 2026 bakal menjadi antara tahun paling susah dalam sejarah bagi industri game telefon pintar di Jepun.
Menurut laporan daripada firma penyelidikan kredit Teikoku Databank, sebanyak 10 syarikat pembangun game mobile telah memfailkan kebankrapan antara Januari hingga Julai 2026. Sebagai perbandingan, hanya tiga pembangun yang muflis sepanjang tahun 2025.

Mengikut kadar ini, tahun 2026 dijangka memecahkan rekod tahunan tertinggi bagi kebankrapan pembangun game, yang sebelum ini dicatatkan pada tahun 2015 dengan 12 syarikat muflis.
Malah, game yang diadaptasi daripada tajuk anime popular dan mempunyai kempen pemasaran yang besar pun bergelut untuk terus bertahan. Teikoku Databank mengetengahkan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan ini:
- Kos Pembangunan yang Tinggi: Gamer moden mengharapkan lakonan suara penuh, grafik 3D berkualiti tinggi, dan gameplay yang menarik. Membangunkan game mobile baharu dari awal kini menelan kos beratus-ratus juta yen.
- Kekurangan Tenaga Kerja: Jepun berdepan masalah kekurangan pereka game dan programmer yang kritikal, lalu membuatkan kos tenaga kerja menjadi lebih tinggi.
- Kos Operasi Berterusan yang Mahal: Game jenis live-service memerlukan kemas kini kerap selepas pelancaran, acara baharu, dan watak baharu secara berterusan untuk mengekalkan minat pemain. Menyelenggara server sahaja boleh menelan kos puluhan ribu Yen setiap bulan, yang akhirnya tidak dapat ditampung sekiranya perbelanjaan pemain menurun.
- Persaingan Sengit dari Luar Negara: Game popular dari China dan Korea Selatan (seperti barisan game daripada HoYoverse) mendominasi pasaran global dan tempatan. Studio di Jepun mengaku bahawa untuk menandingi skala dan bajet gergasi pesaing luar negara ini adalah hampir mustahil dalam keadaan industri semasa.

Studio berskala kecil menerima tamparan paling hebat. Data sejak lima tahun lepas menunjukkan bahawa lebih 50% pembuat game yang muflis di Jepun terdiri daripada perniagaan kecil dengan modal di bawah 10 juta yen (sekitar RM256+ ribu). Kebanyakan studio kecil ini bergantung kepada kontrak daripada penerbit besar yang sekarang mula mengurangkan projek.



![[BIC2026] Visi Jangka Panjang Toei Games Menuju Ke Projek Berskala Besar; Game Kamen Rider/Super Sentai Tidak Terkecuali](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Hiroaki-Nagashima-TOEI_BIC_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post