Activision telah mengumumkan dua berita besar bagi francais Call of Duty; yang pertama melibatkan kerjasama dengan jenama kereta Aston Martin, manakala yang kedua adalah pengesahan rasmi bagi latar filem live-action akan datang.
Aston Martin Dreadnought

Aston Martin Dreadnought adalah sebuah SUV taktikal yang direka khas untukCall of Duty: Modern Warfare 4, serta mod battle royale gandingannya, Warzone.
Kenderaan ini direka dengan kerjasama pembangun Infinity Ward dan dinamakan bersempena HMS Dreadnought, kapal perang British dari awal abad ke-20 yang memulakan era baharu dalam peperangan laut. Walaupun pemain tidak boleh membeli atau memandunya di dunia sebenar, pasukan reka bentuk Aston Martin diberi kebebasan kreatif untuk merangka SUV ini tanpa perlu terikat dengan had fizikal atau undang-undang keselamatan dunia sebenar.

Hasilnya, lahirlah sebuah kenderaan berperisai tebal yang berfungsi sebagai kubu bergerak. Dreadnought dibina untuk membantu squad melakukan push terhadap objektif, melindungi rakan sepasukan ketika dihujani tembakan, dan merempuh zon perang sambil menyerap damage daripada musuh.
Di sebalik rekaan lasak, SUV ini masih mengekalkan sentuhan mewah klasik Aston Martin. Bahagian luarnya menampilkan kemasan warna tradisional Chiltern Green berserta gentian karbon bercorak herringbone. Di dalam kabin pula, terdapat papan pemuka kulit Oxford Tan dan tuas gear berwarna emas metalik. Selain reka bentuk, pihak pembangun turut bekerjasama dengan Aston Martin bagi memasukkan aspek fizik mekanikal serta bunyi ekzos enjin V12 tulen ke dalam game.

Dreadnought boleh ditemui dan dipandu secara in-game di beberapa “POI” utama dalam Warzone serta mod DMZ, sebaik sahaja Modern Warfare 4 dilancarkan pada 23 Oktober 2026.
Latar Filem Call of Duty
Pengarah merangkap penulis, Peter Berg, mengesahkan bahawa filem live-action Call of Duty akan datang bakal berlatarkan semesta Modern Warfare.
Filem terbitan Paramount Pictures dan Activision ini akan ditayangkan di pawagam pada 30 Jun 2028.
Pemilihan latar Modern Warfare membawa jalan cerita filem ke salah satu naratif paling diminati dalam sejarah francais ini. Mula diperkenalkan pada tahun 2007, sub-siri berkenaan telah memperkenalkan watak-watak ikonik seperti Captain Price, Soap MacTavish, dan Ghost sebagai nama besar dalam budaya gaming. Pihak pembikin filem masih belum mendedahkan sama ada filem tersebut akan mengadaptasi plot game asal, mengikut garis masa reboot, atau jalan cerita baharu dalam garis masa sedia ada.









Discussion about this post