BlackJack Studio (pembangun di sebalik Langrisser Mobile) secara rasmi mengumumkan Langrisser: Sea of Sword; game terbaharu dalam francais Jepun ini. Dikenali sebagai “RPG taktikal fantasi generasi baharu,” game ini akan dilancarkan secara global untuk PC, iOS, Android, dan beberapa platform lain. Selepas pengumuman tersebut, pra-pendaftaran global telah dibuka di laman web rasmi.
Bagi memperkenalkan judul ini, BlackJack Studio turut melancarkan sebuah teaser yang memaparkan premis jalan cerita serta gaya visual lukisan tangan yang unik. Dalam Langrisser: Sea of Sword, pemain akan mengawal watak “the Nameless”; seorang protagonis misteri yang cuba merungkai ingatan lamanya yang hilang di sebalik bayang-bayang. Ditemani seorang gadis berambut putih, protagonis perlu mengharungi lautan berselimut kabus yang penuh dengan konflik politik, kesetiaan yang berubah-ubah, dan negara-negara yang berada di ambang peperangan.

Walaupun masih mengekalkan mekanik combat berasaskan grid yang menjadi identiti siri Langrisser sejak berdekad lalu, Sea of Sword bakal memberi nafas baharu kepada aspek gameplay dan naratif. Pihak pembangun turut menambah sistem pilihan yang boleh mengubah jalan cerita dalam mod kempen, membolehkan setiap keputusan pemain mempengaruhi hala tuju kisah.
Bagi menghidupkan lagi suasana permainan, runut bunyi akan digubah oleh Yasunori Nishiki. Beliau merupakan komposer yang sangat disegani dalam industri dan cukup terkenal menerusi hasil gubahan orkestra untuk siri Octopath Traveler.

Setakat ini, BlackJack Studio masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi bagi Langrisser: Sea of Sword.








Discussion about this post