Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Previu Captain Tsubasa 2: World Fighters – Lagi Banyak Guna Otak Berbanding ‘Spam’ Butang

Razin Syafiq by Razin Syafiq
July 7, 2026
in Anime, Artikel, Berita, Nintendo Switch, PC, Preview, PS5, Steam, Sukan/lumba, Xbox Series X|S
0 0
0
Previu Captain Tsubasa 2: World Fighters – Lagi Banyak Guna Otak Berbanding ‘Spam’ Butang
Share on FacebookShare on Twitter

Game sukan berkonsepkan anime sering dianggap sebagai tarikan visual kosong, tetapi Captain Tsubasa 2: World Fighters cuba membuktikan sebaliknya dengan menawarkan tahap mekanik yang agak tinggi.

Sekuel ini membawakan perubahan besar di atas padang, menggantikan aksi mudah dengan pertarungan psikologi serta mekanik yang mampu mengubah momentum permainan.

Selepas meluangkan masa beberapa jam secara hands-on, kami terkejut dengan tahap pemikiran strategik yang diperlukan untuk mendapatkan kemenangan kali ini. Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan awal kami.

Jalan Cerita & Mod NEWSTARS

Melalui sesi hands-on preview, kami berpeluang mencuba sebahagian daripada NEWSTARS Story Mode yang memfokuskan kepada perlawanan penting dari World Youth Arc. Antara yang sempat kami uji termasuklah perlawanan menentang pasukan remaja kebangsaan Thailand, Arab Saudi, dan China.

Plot kali ini bukan sahaja menceritakan semula manga panel demi panel, sebaliknya menawarkan olahan yang lebih segar terhadap jalan cerita asal. Selain daripada Main Episode, anda juga boleh membuka SIDE Scenario dan LINK Scenario yang memperincikan lagi kejadian yang berlaku di sebalik tabir.

Untuk mengakses episod tambahan ini, anda perlu menyelesaikan Episode Challenges tertentu semasa perlawanan berlangsung. Ini bukan sahaja menawarkan interaksi lebih mendalam bersama pihak lawan dan watak sampingan, malah turut mengajar teknik baharu serta membuka abiliti tersembunyi watak anda. Selain itu, ada satu cutscene khas yang dihasilkan secara eksklusif untuk game ini sahaja.

Walaupun demo agak singkat, jelas sekali peminat setia mempunyai banyak sebab untuk mencuba ini. Anda bukan sahaja dapat mengalami semula babak-babak ikonik, malah berpeluang melihat dialog dan senario baharu yang tiada dalam karya asal.

Setiap kali menyelesaikan perlawanan atau segmen cerita, anda akan menerima ganjaran berbentuk item serta mata wang dalam game). Namun, memandangkan fungsi ‘in-game shop’ masih dikunci dalam versi uji cuba, kami tidak pasti barang apa yang boleh dibeli nanti.

Pilihan Pasukan & Mod Offline Match

Jika ingin berehat seketika daripada Story Mode, mod Offline Match turut disediakan.

Kami boleh memilih daripada 14 pasukan kebangsaan (daripada 22 pasukan untuk versi penuh), lengkap dengan akses kepada semua pemain, signature S-Move, stadium, dan pelbagai pilihan jersi. Mod ini menyokong perlawanan solo menentang AI serta local couch multiplayer, bersama pilihan untuk menetapkan peraturan Golden Goal.

Kandungan yang ditawarkan dalam versi uji cuba boleh dikatakan agak besar. Kelebihan untuk bermain menggunakan pasukan-pasukan ikonik ini memudahkan kita mencuba pelbagai formasi dan gerakan khas tanpa perlu menyelesaikan Story Mode terlebih dahulu.

Rantau Asia Tenggara diwakili oleh pasukan Thailand dan Indonesia yang sedia untuk dimainkan. Memandangkan kami pun berasal daripada Malaysia, melihat negara jiran tersenarai dalam game merupakan satu kejutan yang agak menggembirakan.

Namun, skuad Indonesia terasa agak biasa jika dibandingkan dengan beberapa pasukan lain dalam versi demo. Thailand, misalnya, menonjol dengan gerakan agresif seperti Elephant Tackle serta rembatan unik berinspirasikan sepak takraw yang sangat sinonim dengan aksi anime. Indonesia pula kekurangan teknik signature untuk membantu mereka menyerlah di atas padang.

Walaupun sedikit mengecewakan, hal ini sangat difahami. Dalam manga asal, Indonesia bukanlah sebuah kuasa besar bola sepak, jadi pembangun memilih untuk setia kepada bahan rujukan berbanding meningkatkan statistik pasukan atau memberikan gerakan luar biasa secara rekaan semata-mata.

Mod Player Edit & Rekaan Watak “New Stars”

Salah satu ciri yang paling menarik perhatian kami adalah tahap customization yang ditawarkan.

Mod Player Edit memberikan kebebasan yang sangat luas untuk mencipta watak custom “New Stars” sendiri. Kita boleh mengubah suai wajah seperti bentuk mata, struktur muka, dan pipi, di samping pelbagai pilihan gaya rambut. Malah ada juga pilihan rambut yang diambil daripada watak klasik dalam siri ini: membolehkan pemain sama ada meniru rupa watak ikonik sedia ada atau menghasilkan bintang bola sepak tersendiri.

Variasi gaya rambut yang disediakan memang sangat menarik dan lebih terperinci berbanding pilihan preset yang biasa kita lihat dalam game sukan lain.

Customzation ini pun bukan sekadar untuk kosmetik, malah mempengaruhi gameplay secara langsung. Kita boleh memilih teknik khas yang akan digunakan oleh pemain di atas padang. Sama ada anda mahu rembatan jarak jauh Eagle Shot atau menggunakan kuasa padu Tiger Shot, setiap teknik mempunyai ciri tersendiri dari segi kekuatan rembatan, kelajuan bola, atau trajektori unik.

Pendekatan ini mengelakkan satu teknik “paling kuat” yang mendominasi meta, sekali gus menggalakkan kita membina watak yang benar-benar serasi dengan playstyle peribadi.

Menu Team Edit juga tidak kurang hebatnya. Anda boleh mengubah suai formasi, mengatur XI, melaras kebolehan pemain, dan juga menetapkan teknik penjaga gol sebelum wisel permulaan ditiup.

Mekanik Atas Padang & Sistem Stamina Penjaga Gol

Biarpun IP ini terkenal dengan aksi gaya anime yang gah, entri kali ini menekankan elemen strategi yang lebih tinggi di sebalik sinematik tersebut.

Pembaharuan paling ketara adalah sistem taktik penjaga gol. Setiap rembatan akan mencetuskan minigame tekaan pantas antara penyerang dan penjaga gol. Tidak bergantung kepada statistik watak atau nasib semata-mata, pemain penyerang perlu memilih satu daripada enam arah rembatan, manakala penjaga gol pula harus meneka ke mana arah bola tersebut.

Secara peribadi, saya rasa tidak terlalu sukar untuk melakukan Perfect Save sebagai penjaga gol kerana anda boleh membaca arah pergerakan bola untuk meramal laluannya.

Tekaan yang tepat bermaksud penjaga gol hanya kehilangan sedikit stamina. Tekaan yang hampir tepat akan mengurangkan stamina pada kadar sederhana, manakala tekaan yang tersasar sepenuhnya akan memakan sebahagian besar bar stamina. Jika stamina penjaga gol habis sepenuhnya, ia akan menimbulkan status BREAK yang mengurangkan stamina maksimum mereka secara kekal untuk baki perlawanan.

Mekanik ini membawakan elemen psikologi dalam usaha mencari gol. Daripada menggunakan ‘special shot’ paling kuat berulang kali, kita perlu menentukan sudut rembatan, menyepak dari posisi berbeza, dan mengurangkan stamina penjaga gol secara beransur-ansur sebelum melakukan rembatan akhir. Ibu menambah elemen strategi yang baik tanpa mengganggu tempo pantas gameplay.

Membina Momentum Pasukan Dengan Chain System

Game ini turut memperkenalkan Chain System yang memberi ganjaran berdasarkan keupayaan kita membina dan mengekalkan momentum serangan.

Melepasi pertahanan melalui gelecekan, melakukan S-Move, serta menyambung hantaran akan meningkatkan Chain Level pasukan secara berperingkat. Apabila tahap ini meningkat, rembatan akan menjadi lebih padu dan pengisian kuasa untuk serangan khas juga akan menjadi lebih pantas.

Namun, momentum ini boleh berubah dalam sekelip mata. Jika kehilangan bola, Chain Level yang dikumpul susah payah itu akan berpindah kepada pihak lawan serta-merta. Ini membuatkan kesilapan hilang bola sangat berbahaya dan memaksa pemain sentiasa berwaspada.

Mekanik ini memastikan gameplay kekal pantas dan agresif, serta memberi ganjaran kepada pasukan yang konsisten memberi tekanan. Malah, separuh masa kedua boleh menjadi kelam-kabut dan sengit kerana kedua-dua pasukan biasanya telah mengumpul Chain Level yang tinggi… menjadikan perlawanan lebih rancak dan dipenuhi gol.

Penggunaan Super Move & Miracle Save

Sudah tentu, game Captain Tsubasa tidak akan lengkap tanpa gerakan yang luar biasa.

Sebaik sahaja bar tenaga penuh, pemain boleh melakukan Super Move yang hebat. Ini termasuklah Super Shot yang padu, teknik gelecekan pantas, hantaran jauh yang tepat, serangan udara akrobatik, sehinggalah hadangan defensif. Setiap gerakan mempunyai ciri unik tersendiri, seperti mengurabgkan lebih banyak stamina penjaga gol, meningkatkan kelajuan pergerakan, atau mencipta sudut jaringan yang lebih baik.

Anda juga boleh mengecas rembatan biasa untuk menaik tarafnya menjadi variasi yang lebih kuat, atau melakukan rembatan udara yang dramatik hasil daripada hantaran silang ala anime.

Selain itu, Miracle Move menambah elemen kejutan yang tidak dijangka. Penjaga gol adakalanya boleh melakukan Miracle Save yang hampir mustahil apabila stamina mereka berada di tahap kritikal, manakala pasukan tertentu boleh mengaktifkan gerakan Miracle Team di bawah syarat perlawanan khusus. Seperti namanya, detik-detik ini sangat jarang berlaku… terutamanya aksi menyelamat luar biasa oleh penjaga gol.

Kelemahan Sistem Penjaga Gol & Isu ‘Timing‘

Selepas mencuba selama kira-kira dua jam, rumusan utama kami ialah walaupun mekanik baharu menambah elemen strategi yang baik, sesetengah sistem masih terasa agak mudah untuk dieksploitasi.

Isu yang paling ketara adalah berkaitan meta untuk menjaringkan gol. Sepanjang mencuba game ini, cara paling mudah untuk menang selalunya adalah dengan menghujani penjaga gol dengan rembatan bertubi-tubi. Setiap percubaan, walaupun rembatan biasa tanpa sebarang animasi hebat, tetap akan mengurangkan stamina penjaga gol. Disebabkan ini, strategi paling berkesan kerap kali adalah merembat bola dari mana-mana sahaja posisi sehingga penjaga gol penat… lalu memaksa situasi BREAK dan membuka ruang untuk gol mudah.

Walaupun perkara ini masuk akal memandangkan sistem penjaga gol adalah berteraskan stamina, saya bimbang taktik merembat berkali-kali dari pelbagai sudut mungkin akan terasa hambar atau berulang jika kerap digunakan. Berbanding membina gerakan pasukan yang cantik, kami mendapati bahawa melakukan rembatan biasa sudah cukup sebagai laluan terpantas dan paling efisien untuk mendapatkan gol.

Dari sudut pertahanan pula, merampas semula bola boleh menjadi agak menjengkelkan, sedangkan sistem sebenarnya sangat menarik.

Game ini mempunyai butang berbeza untuk melakukan ‘tackle biasa’ yang pantas atau ‘charged tackle’ yang lebih perlahan. Cabarannya terletak pada cara tindakan ini berinteraksi dengan gerakan penyerang. Jika melakukan tackle terlalu awal dan pihak lawan bertindak balas dengan ‘counter-move’ yang betul, mereka akan melepasi kita. Namun, jika mereka memulakan gerakan dahulu dan kita bertindak balas tepat pada masanya, anda akan berjaya merampas bola. Timing adalah segala-galanya.

Konsep yang sama berlaku semasa menyerang; menggelecek ke hadapan secara terburu-buru akan mendedahkan kita kepada serangan balas defensif yang bijak, tidak kira betapa tingginya ‘overall rating’ pemain anda. Hal ini mengubah setiap pertembungan menjadi seperti permainan batu-gunting-kertas, di mana membaca timing pihak lawan adalah sama penting dengan memiliki pemain hebat.

Memang ada ketikanya saya berasa buntu apabila tekaan saya dibaca oleh pihak lawan, namun pertarungan psikologi ini juga memberikan detik-detik mendebarkan dalam gameplay. Apabila kedua-dua pemain memahami mekanik ini, setiap pertembungan satu lawan satu di atas padang akan bertukar menjadi pertarungan yang sangat sengit.

Pendapat Setakat Ini

Secara keseluruhan, Captain Tsubasa 2: World Fighters adalah satu langkah ke hadapan yang baik bagi siri ini. Walaupun kami hanya mencuba versi uji cuba yang terhad, Story Mode yang diolah semula, mod offline yang mantap, serta customization watak yang luas membuktikan terdapat tahap gameplay yang tinggi di sebalik visual anime yang bombastik.

Mekanik baharu (terutamanya sistem penjaga gol dan Chain System) menambah elemen strategi tanpa mengorbankan tempo pantas. Bagaimanapun, beberapa elemen masih memerlukan sedikit penambahbaikan sebelum pelancaran rasmi. Sistem stamina penjaga gol nampaknya lemah kepada taktik merembat tanpa henti, manakala sistem tackle yang sangat bergantung kepada tekaan adakalanya boleh terasa lebih mengecewakan berbanding memuaskan.

Di sebalik kelemahan kecil itu, Captain Tsubasa 2: World Fighters mampu menarik minat kelompok pemain yang luas… bukan sahaja peminat tegar, malah peminat bola sepak secara umum serta mereka yang jarang bermain game sukan. Kawalannya mudah dipelajari, mekanik utamanya senang difahami, dan yang paling penting, ia memang sangat seronok untuk main.

Game ini akan dilancarkan bermula 27 Ogos 2026 di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: Captain Tsubasa 2: World Fighterspreviu
ShareTweetSend
Previous Post

Akaun PlayStation Yang 3 Tahun Tidak Aktif Boleh Dipadam Bersama Semua Game Digital

Next Post

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay
Temuramah

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

July 7, 2026
Akaun PlayStation Yang 3 Tahun Tidak Aktif Boleh Dipadam Bersama Semua Game Digital
Berita

Akaun PlayStation Yang 3 Tahun Tidak Aktif Boleh Dipadam Bersama Semua Game Digital

July 7, 2026
BanG Dream! Our Notes Cecah 500k Pendaftaran, Ujian Beta Akan Bermula Ogos 2026
Mobile

BanG Dream! Our Notes Cecah 500k Pendaftaran, Ujian Beta Akan Bermula Ogos 2026

July 7, 2026
Next Post
“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

"Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil" - Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd