Bandai Namco dan pembangun Bandai Namco Aces mengumumkan bahawa Ace Combat 8: Wings of Theve akan dilancarkan pada 2 Oktober 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.
Pengumuman tersebut turut disertai dengan trailer baharu yang memaparkan mekanik penerbangan, jalan cerita, serta salah satu boss battle utama dalam game ini.
Pre-Order dan Deluxe Edition

Tempahan awal sudah bermula di PlayStation Store dan platform digital yang lain. Pemain yang membuat pre-order untuk mana-mana edisi game ini akan menerima fighter jet F-14A Tomcat.
Selain itu, pre-order juga disertakan dengan versi port moden untuk game klasik PlayStation 2 tahun 2006, iaitu Ace Combat Zero: The Belkan War. Bonus ini mungkin terhad kepada pre-order digital sahaja atau ditawarkan sebagai bonus pembelian awal untuk salinan fizikal (masih perlu kepastian untuk Malaysia).
Bagi mereka yang mahukan kandungan tambahan, Deluxe Edition turut ditawarkan. Ia mengandungi:
- Game penuh
- Akses awal selama tiga hari
- Set kosmetik yang boleh diubah suai
- Baucar Premium Ace Pass plus
Juruterbang yang Diselamatkan di Dunia yang Runtuh

Ace Combat 8: Wings of Theve membawa pemain ke “Strangereal”: dunia fiksyen yang menjadi latar tempat bagi kebanyakan game utama francais ini. Ditulis oleh penulis veteran siri ini, Sunao Katabuchi, kempen game ini berlatarkan bulan Julai 2029.
Kisahnya bermula dengan serangan mengejut ke atas Federation of Central Usea (FCU) oleh negara jiran, Republic of Sotoa. Dalam masa beberapa hari sahaja, tentera Sotoa berjaya menawan ibu negara FCU, Theve, lantas melumpuhkan angkatan tentera darat dan memusnahkan angkatan tentera laut negara tersebut.
Pemain akan memegang watak sebagai seorang juruterbang yang diselamatkan dari laut oleh Endurance, sebuah kapal pengangkut pesawat usang.
Walaupun kapal ini sudah lama melepasi zaman kegemilangannya dan berundur jauh dari barisan hadapan, di pangkalan bergerak inilah perjalanan anda bermula untuk mengetuai serangan balas bagi merampas semula ibu negara yang telah ditawan.
Gameplay dan Giant Superweapon

Gameplay Wings of Theve masih memfokuskan kepada simulasi penerbangan gaya arked. Mod kempen menampilkan sistem “living skies” dengan formasi awan dinamik, yang akan mempengaruhi jarak penglihatan dan keadaan penerbangan secara langsung.
Game ini akan menampilkan lebih daripada 30 pesawat yang boleh dimainkan, termasuk jet pejuang tentera sebenar yang berlesen dengan reka bentuk fiksyen asli. Pesawat-pesawat ini dibahagikan kepada empat peranan taktikal berbeza:
- Fighter
- Attack aircraft
- Multi-role aircraft
- Electronic warfare aircraft
Selain daripada combat udara tradisional, serangan darat, dan serangan laut, Ace Combat 8 turut membawakan semula ‘giant weapon battle’ yang cukup terkenal dalam IP ini.

Trailer terbaharu memaparkan salah satu daripada boss battle ini: sebuah kapal perang darat gergasi sepanjang 450 meter. Jentera berperisai ini sedang mara ke arah ibu negara Theve, meruntuhkan pencakar langit di laluannya dan menggunakan meriam utama gergasi yang mampu memusnahkan seluruh bandar raya.
Pemain perlu terbang dengan teliti untuk mengelak tembakan pertahanannya dan memusnahkan kapal perang ini bahagian demi bahagian.









Discussion about this post