Dalam satu pengumuman mengejut hari ini, CD Projekt Red telah mendedahkan Songs of the Past, iaitu expansion besar ketiga bagi RPG yang sangat berjaya, The Witcher 3: Wild Hunt.
Expansion ini akan dilancarkan pada tahun 2027 bagi PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC.
Pendedahan ini berlaku sedikit lebih awal daripada apa yang dirancang oleh pihak pembangun. Selepas peminat yang peka mengesan kemas kini di SteamDB serta kebocoran maklumat pada RED Launcher milik studio itu sendiri, CD Projekt Red mengambil keputusan untuk berkongsi berita tersebut lebih awal daripada jadual asal.
Songs of the Past dibangunkan bersama Fool’s Theory, sebuah studio bebas yang dianggotai oleh veteran industri yang pernah terlibat dalam pembikinan The Witcher 3. Studio ini sudah biasa dengan francais berkenaan kerana mereka turut bekerjasama dengan CD Projekt Red bagi menghasilkan versi remake untuk game pertama The Witcher yang akan datang.
Walaupun info terperinci mengenai jalan cerita masih dirahsiakan, tajuk expansion ini mengacah bahawa ia mungkin akan meneroka sejarah hidup Geralt atau merapatkan naratif antara The Witcher 3 dan The Witcher 4 yang bakal tiba. Ramai peminat sudah mula membuat spekulasi sama ada kisah kali ini akan menceritakan zaman awal Geralt atau menjadi penentu kepada keputusannya untuk bersara daripada memburu raksasa.
Selain kandungan baharu ini, CD Projekt Red turut mengumumkan bahawa pemain PC akan melihat perubahan pada keperluan sistem untuk The Witcher 3 bermula dengan kemas kini utama seterusnya. Bagi menampung expansion baharu ini serta memastikan prestasi gameplay yang lancar, ia hanya akan dijalankan menggunakan DirectX 12 dan memerlukan sistem operasi Windows 11.
Di samping itu, HDD tidak lagi akan disokong, sekali gus SSD sebagai satu keperluan wajib. Bagi pemain yang menggunakan perkakasan lama, pihak studio akan menyediakan pilihan untuk kembali ke versi build permainan yang terdahulu, namun mereka tidak akan dapat memainkan expansion baharu ini.
CD Projekt Red merancang untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai Songs of the Past pada beberapa bulan mendatang.









Discussion about this post