Sony Interactive Entertainment baru sahaja mengumumkan kenaikan harga bagi perkhidmatan langganan PlayStation Plus yang dijadualkan bermula esok, 20 Mei 2026.
Pelarasan harga ini akan melibatkan pelanggan baharu di beberapa negara terpilih terlebih dahulu. Menurut Sony, langkah ini terpaksa diambil bagi mendepani “keadaan pasaran semasa”; satu alasan yang kerap kita dengar memandangkan kos operasi dalam industri gaming semakin meningkat kebelakangan ini.
Buat masa ini, kenaikan harga tersebut nampaknya tertumpu kepada pelan Essential (iaitu pelan asas yang diperlukan untuk bermain secara online multiplayer). Berdasarkan pengumuman global tersebut, berikut adalah kadar harga bulanan dan suku tahunan yang baharu:
- Langganan 1 Bulan: $10.99 / £7.99 / €9.99 (Berbanding harga lama $9.99 / £6.99 / €8.99)
- Langganan 3 Bulan: $27.99 / £21.99 / €27.99 (Berbanding harga lama $24.99 / £19.99 / €24.99)
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Setakat ini, harga PlayStation Plus Essential di Malaysia masih lagi kekal pada kadar RM35 sebulan dan RM95 untuk tiga bulan. Walaupun Sony belum mengesahkan secara rasmi sama ada kenaikan ini akan turut dilaksanakan di negara kita, kami menjangkakan perubahan tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk berlaku.
Spekulasi ini amat kuat memandangkan Sony baru sahaja menaikkan harga konsol PlayStation 5 (versi disc drive) di Malaysia kepada RM2,799 pada bulan ini, atas faktor tekanan ekonomi global dan ketidaktentuan nilai mata wang.









Discussion about this post