Netflix akhirnya mendedahkan trailer rasmi untuk Season 2 bagi siri animasi Devil May Cry! Jika musim pertama sekadar pengenalan, musim kedua kali ini akan menyelami lebih dalam kepada penceritaan francais game tersebut, dengan tumpuan utama pada pertembungan yang tidak dapat dielakkan antara dua beradik, Dante dan Vergil.
Bagi yang kurang tahu, persaingan antara Dante dan Vergil sememangnya antara sorotan utama francais Devil May Cry. Dante memilih untuk melindungi manusia dari sebalik tabir, manakala kembarnya Vergil taksub untuk mendapatkan lebih banyak kuasa.

Trailer baharu menekankan lagi perbezaan tersebut. Menurut sinopsis rasmi, muysim akan datang bakal menceritakan “perang antara dunia” di mana Dante terpaksa berhadapan dengan satu-satunya individu yang mampu menandingi kekuatannya sendiri.
Namun bukan aksi berlawan semata-mata; trauma Dante waktu kecil serta bagaimana dia kehilangan keluarga turut akan dipaparkan dengan lebih jelas.

Bagi peminat setia, trailer di atas juga membawakan beberapa kejutan.
Yang pertama ialah kemunculan Arius, jutawan/CEO Uroboros Corporation. Peminat akan mengenali beliau sebagai musuh utama dalam game Devil May Cry 2.
Walaupun wataknya hanya muncul sekilas pada penghujung Season 1, trailer kali ini menampilkannya secara penuh… di mana dia kemungkinan besar menggunakan sumber korporatnya untuk menghubungkan dunia manusia dan alam iblis.


Lebih mengejutkan lagi ialah kemunculan Mundus, yang merupakan musuh utama daripada game asal tahun 2001. Dengan kehadiran Arius dan Mundus, Dante dan Vergil mungkin bukan sahaja akan berlawan sesama sendiri, malah bakal berhadapan dengan ancaman yang mampu memusnahkan dunia pada masa yang sama.
Devil May Cry Season 2 akan mula ditayangkan pada 12 Mei 2026 hanya di Netflix.









Discussion about this post