HoYoverse telah mengumumkan secara rasmi bahawa HoYoFEST 2026 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil, Dewan 1 hingga 3.
Bagi yang kurang tahu, HoYoFEST ialah perayaan tahunan yang dianjurkan oleh HoYoverse, sebuah syarikat pembangun permainan video dari Shanghai yang terkenal dengan pelbagai game free-to-play popular di seluruh dunia.
Festival ini menghimpunkan pemain dari seluruh Malaysia untuk meraikan game keluaran studio tersebut, termasuk Genshin Impact, Honkai: Star Rail, Zenless Zone Zero, dan Honkai Impact 3rd.
Acara ini biasanya menampilkan hiasan bertema, gerai interaktif, barangan eksklusif, pameran cosplay, persembahan pentas, serta pelbagai peluang untuk peminat bertemu dan berinteraksi sesama sendiri.
Selain pengumuman acara tersebut, HoYoverse turut membuka pengambilan untuk dua segmen komuniti:
- Artist Alley: Ruang khas untuk artis membuka gerai bagi mempamerkan dan menjual karya seni asli, cetakan, barangan, dan hasil kreatif lain yang diinspirasikan oleh game HoYoverse.
- Stage Activity: Peminat yang ingin mencuri tumpuan boleh mendaftar untuk dua segmen: bahagian Open Stage, di mana peserta boleh mempersembahkan bakat masing-masing seperti nyanyian, tarian, atau persembahan lain, serta Cosplay Runway Walk, di mana cosplayer berpeluang bergaya dan menunjukkan kostum mereka di hadapan penonton secara langsung.
Borang pendaftaran bagi kedua-dua segmen telah dikongsi melalui laman media sosial rasmi HoYoverse. Peserta yang berminat digalakkan untuk mendaftar awal kerana tempat dijangka akan dipenuhi dengan cepat.
Memandangkan acara ini masih beberapa bulan lagi, maklumat lanjut dijangka akan diumumkan dalam minggu-minggu akan datang.









Discussion about this post