Boleh dianggap sebagai salah satu langkah pemasaran paling kreatif dalam sejarah manga, sang pencipta Eiichiro Oda telah menyembunyikan rahsia terbesar siri manga dan anime popular One Piece di dasar lautan… di mana peminat tidak akan dapat tahu sehingga manga ini benar-benar tamat.
Peristiwa ini seiring dengan pelancaran jilid ke-114, di samping pengumuman bahawa jumlah edaran One Piece tekag melepasi angka 600 juta naskhah di seluruh dunia.
Bagi menandakan pencapaian ini, sebuah video khas telah dikeluarkan; memaparkan Oda sendiri menulis jawapan kepada persoalan yang telah membuatkan para pembaca tertanya-tanya selama hampir tiga dekad: “Apakah One Piece, dan apakah yang menanti Monkey D. Luffy?”

Dalam video itu, penonton dapat melihat Oda menulis rahsia itu di atas sehelai kertas. Kertas itu kemudian dikoyak dua (satu bahagian mengandungi soalan, satu lagi bahagian mengandungi jawapan) lalu disimpan di dalam sebuah peti khas dan dibawa ke lautan, di mana ia diturunkan sedalam 651 meter di dasar laut.
Menurut video tersebut, kotak itu akan kekal di situ sehingga manga ini mencapai pengakhirannya.

One Piece mula diterbitkan secara bersiri dalam majalah Weekly Shonen Jump pada tahun 1997, menjadikan usianya hampir 29 tahun. Adaptasi anime pula menyusul dua tahun kemudian pada tahun 1999 dan masih menyiarkan episod baharu. Sepanjang tempoh itu, Oda mengekalkan misteri terbesar siri ini.

One Piece — iaitu harta karun legenda yang dicari oleh Monkey D. Luffy — telah melahirkan pelbagai teori peminat selama berdekad-dekad.
Ada yang bergurau bahawa ia mungkin “kawan-kawan yang kita temui sepanjang perjalanan,” manakala yang lain membuat spekulasi tentang pelbagai perkara daripada senjata purba hinggalah ilmu yang mampu mengubah dunia.

Apa sebenarnya harta itu, dan mengapa ia begitu penting, kekal sebagai misteri. Memandangkan One Piece pun sudah memasuki Final Saga, nampaknya kita akan mendapat tahu jawapan dalam beberapa tahun akan datang.









Discussion about this post