Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection dilihat sebagai game paling berani dan bercita-cita tinggi dalam siri RPG pengumpulan raksasa keluaran Capcom.
Daripada sekadar menambah baik elemen sedia ada, entri terbaharu ini merombak struktur asasnya dengan menumpukan kepada pengurusan ekosistem, perkembangan jangka masa panjang, dan penceritaan yang lebih rumit.
Hasil hands-on kami di PlayStation 5 menunjukkan bahawa game ini direka dengan teliti dan bersistem, di mana setiap pilihan pemain serta kesannya terhadap alam sekitar menyumbang kepada pengalaman bermain.

Falsafah ini diterapkan dalam hampir setiap sistem gameplay. Elemen combat, pembesaran Monstie, dan eksplorasi tidak lagi bergerak secara berasingan, sebaliknya saling berkait dan bertindak balas terhadap cara pemain berinteraksi dengan dunia permainan.
Hasilnya, game ini terasa lebih seronok dan mempunyai matlamat yang jelas, malah sejak dari awal permainan lagi.
Dunia Lebih Kelam, Peranan Pun Berbeza

Buat pertama kali dalam siri ini, pemain tidak lagi memegang watak sebagai Rider. Sebaliknya, protagonis kini seorang Ranger, satu perubahan yang selari dengan fokus game terhadap pemulihan ekologi dan tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Jalan cerita membawa pemain ke wilayah Azuria dan Vermeil, yang kedua-duanya sedang diancam oleh fenomena misteri dikenali sebagai Crystallization.
Fenomena Crystallization ini merosakkan habitat dan menukar raksasa menjadi varian Feral yang ganas, sekaligus mengubah dinamik eksplorasi dan combat. Raksasa ini bertindak lebih agresif dan akan menghukum pemain yang membuat keputusan cuai, memaksa rentak gameplay menjadi lebih berhati-hati.
Pada peringkat awal, naratif membina saspens melalui misteri melibatkan pasangan kembar Rathalos yang mempunyai tanda Skyscale, satu petanda yang berkait rapat dengan bencana silam. Nada kali ini lebih serius dan terkawal, dengan menekankan tema ‘keseimbangan’, ‘akibat tindakan’, dan ‘pemulihan’.
Pemulihan Habitat Sebagai Nadi Kemajuan

Sistem Habitat Restoration adalah elemen terpenting dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection. Kemajuan game tidak lagi bergantung semata-mata pada usaha mendapatkan Monstie yang kuat, tetapi lebih kepada usaha membina semula ekosistem yang telah rosak.
Pemain perlu menetaskan Monstie dan melepaskannya kembali ke alam liar bagi meningkatkan pangkat spesies di rantau tersebut. Tindakan ini secara langsung akan mempengaruhi kualiti telur, skill, dan sifat elemen.

Setiap keputusan yang dibuat akan mengubah ekosistem. Menambah atau mengurangkan spesies akan menentukan jenis telur yang muncul, cara Monstie berevolusi, dan trait yang akan menjadi lebih dominan dari masa ke semasa.
Walaupun Subspesies dan varian Deviant masih wujud, sistem yang mengawal kemunculannya kini lebih telus, membuatkan setiap eksperimen terasa lebih terancang dan bukan sekadar nasib. Kejayaan dalam game ini datang daripada pemahaman tentang fungsi ekosistem, bukan melalui kekuatan mentah semata-mata.
Invasive Monster dan Peluang Berisiko Tinggi

Kehadiran Invasive Monster mengukuhkan lagi identiti game yang berteraskan ekosistem. Makhluk yang kuat ini akan merampas sarang sedia ada, mengganggu habitat, dan membantutkan usaha pemulihan. Pertemuan kami dengan raksasa ini menunjukkan bahawa serangan secara berhadapan bukanlah strategi yang bijak.

Sebaliknya, pemain digalakkan untuk mengkaji corak pergerakan, bertindak balas terhadap petunjuk persekitaran, dan memenuhi syarat tertentu untuk menghalau mereka.
Kejayaan melakukan perkara ini akan membuka peluang singkat untuk menyusup masuk ke sarang mereka dan mencuri telur yang mengandungi Monstie yang tidak dapat ditemui di kawasan biasa.
Mekanik ini mengaitkan pertemuan berisiko tinggi dengan kemajuan jangka panjang, memberikan ganjaran kepada pemain yang membuat persediaan rapi, bersabar, dan memahami sistem gameplay.
Customization Monstie yang Lebih Luas

Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection menambah baik sistem customization Monstie dengan memperkenalkan Egg Skill—skil elemental yang berkait rapat dengan tahap kemajuan Habitat Restoration. Skil ini membolehkan pemain menampung kekurangan dalam jenis serangan dan keberkesanan elemen pasukan mereka.



Beberapa struktur gen pasif telah diubah berbanding Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin. Contoh yang ketara ialah Self-Heal, yang dahulunya tiada elemen kini mempunyai sifat Fire dan Speed.
Gerakan Monstie lain juga telah diselaraskan; sebagai contoh, Brachydios kini bertukar daripada elemen Fire kepada Non-Elemental, dan serangannya boleh mengenakan efek Blastblight.
Perubahan ini memerlukan pemain untuk mengambil kira kecenderungan Monstie, peranan dalam combat, dan Environment Skill semasa merancang pasukan. Selain itu, pemain juga boleh mengubah penampilan Monstie dengan menambah elemen yang berbeza.

Pangkat Monstie akan mempengaruhi jenis Egg Skill yang boleh diwariskan, di mana Monstie berpangkat tinggi lebih cenderung menghasilkan skil yang jarang ditemui atau sangat kuat.
Slot gen juga akan terbuka secara natural apabila tahap meningkat, menawarkan laluan perkembangan serta memastikan Monstie yang diperolehi pada awal permainan masih relevan untuk digunakan sehingga ke late game.

Tahap Habitat Restoration turut mempengaruhi rarity telur yang ditemui di sarang. Apabila ekosistem semakin stabil, pemain berpeluang menemui telur Monstie yang lebih rare dan malah spesies terancam, termasuk kegemaran peminat seperti Mizutsune, Silverwind Nargacuga, Ivory Lagiacrus, dan juga Deviljho.
Spesies-spesies ini diletakkan sebagai Monstie bernilai tinggi, demi mengukuhkan idea bahawa kesihatan ekosistem secara langsung menentukan apa yang boleh diperolehi oleh pemain.



Antara penemuan rare yang paling menarik ialah Deviljho, yang ditampilkan sebagai Monstie yang sangat kuat dan unik. Selain bentuk asalnya, game ini memperkenalkan variasi elemen yang ditentukan oleh habitat tempat Monstie tersebut tinggal.
Penyelarasan elemen Monstie akan berubah mengikut keadaan persekitaran, dan warna badannya turut berubah untuk mencerminkan adaptasi tersebut.



Spesies terancam seperti Mizutsune, Silverwind Nargacuga, Ivory Lagiacrus, dan Deviljho boleh muncul dalam variasi warna alternatif yang terikat dengan lokasi ekosistem mereka. Canyne khususnya kelihatan sangat menarik dengan penampilan alternatif apabila diberi elemen lain.



Perubahan ini bukan sekadar hiasan luaran; ia memberi kesan kepada elemen, komposisi pasukan, dan strategi combat secara keseluruhan, sekaligus menekankan betapa pentingnya pengurusan habitat.



Combat Mengutamakan Kawalan dan Ketepatan Masa

Berdasarkan sesi percubaan kami yang panjang di PlayStation 5, sistem combat dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection terasa lebih taktikal dan mencabar. Walaupun asas turn-based masih dikekalkan, combat kini distrukturkan berdasarkan dua nilai serangan utama: Attack dan Wyvernfell.
Attack berfungsi mengurangkan nyawa musuh secara langsung, manakala Wyvernfell digunakan untuk mengurangkan tolok Wyvernsoul raksasa. Tolok ini bertindak sebagai mekanik utama untuk membuatkan musuh ‘stagger’. Jika tolok ini berjaya dipecahkan sepenuhnya, raksasa akan terhuyung hayang dan terdedah kepada serangan kritikal.

Apabila raksasa sedang stagger, pemain perlu membuat pilihan strategik.
Mereka boleh melancarkan Syncro Rush untuk memberikan damage besar serta-merta dan menjana Kinship, atau membiarkan raksasa tersebut tumbang selama satu giliran bagi memberi peluang kepada diri sendiri untuk memulihkan nyawa, memberi buff kepada pasukan, atau merancang serangan kritikal berterusan.
Sistem banyak-pilihan ini menambah strategi, mengalihkan fokus daripada sekadar menyerang kepada pengurusan tempo perlawanan.
Serangan jenis neutral yang tidak tertakluk kepada mekanik counter tradisional kini lebih kerap berlaku, menjadikan combat lebih sukar dijangka. Pemain perlu sentiasa menimbang sama ada untuk terus menyerang, mengumpul Wyvernfell, atau menyimpan sumber untuk peluang serangan yang lebih selamat.

Pertemuan dengan Feral Monsters menguji strategi ini dengan lebih mendalam. Memecahkan bahagian badan yang mengalami Crystallization akan melemahkan kebolehan mereka, namun serangan yang salah masa boleh mengundang serangan balas yang parah.
Walau bagaimanapun, semasa fasa ‘rage’, serangan balas musuh akan dimatikan, membuka ruang untuk strategi agresif menggunakan Wyvernfell. Setiap combat menjadi ujian ketepatan masa;bila perlu menekan musuh, bila perlu bertahan, dan bila perlu menyerang habis-habisan.
Customization Senjata, Perisai, dan Gem

Buat pertama kalinya dalam siri ini, Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection memperkenalkan slot gem, untuk memberikan lebih banyak kebebasan kepada pemain untuk menyesuaikan peralatan mereka. Gem untuk senjata memberikan skil aktif yang boleh mengubah corak serangan, perolehan sumber, atau memberikan kesan bersyarat.
Senjata itu sendiri telah dikemas kini: Long Sword kini menggantikan Sword & Shield untuk gaya lawanberasaskan stance, Great Sword membolehkan pemain menyimpan dan melepaskan caj untuk serangan single-target atau AOE yang kuat, manakala senjata jenis Blunt dan Pierce kini mempunyai peranan yang lebih khusus.

Sebaliknya, gem untuk Armor memberikan bonus pasif, serupa dengan fungsi gen Monstie. Ini termasuklah element resistance, pengurusan stamina, atau kesan bersyarat lain yang membolehkan pemain menyesuaikan daya tahan dalam pertarungan.
Dengan memisahkan skil senjata daripada efek perisai, game ini menggalakkan pemain untuk bereksperimen mencari peralatan terbaik yang sesuai dengan Monstie kegemaran mereka.
Companion dan Perkembangan Mereka

Companion memainkan peranan yang besar dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection. Setiap rakan mempunyai peranan lawan dan tingkah laku yang tersendiri. Walaupun pemain tidak boleh mengawal mereka secara langsung, keberkesanan mereka boleh dibentuk melalui pemilihan peralatan, item, dan strategi.

Semasa pemain menyelesaikan misi sampingan yang berkaitan dengan companion, watak-watak ini akan berkembang dari segi mekanikal dan penceritaan. Skil baharu akan dibuka, pilihan senjata bertambah, dan rakan kongsi Monstie tambahan akan tersedia.
Semua ini berlaku seiring dengan pendedahan latar belakang cerita, yang mengukuhkan lagi kehadiran mereka dalam dunia permainan.
Satu perubahan menarik ialah apabila companion kehilangan semua nyawa (heart), ia tidak lagi menyebabkan kegagalan serta-merta. Sebaliknya, mereka akan kembali semula ke dalam combat selepas seketika. Ini mengekalkan tension dalam perlawanan yang sukar tanpa menimbulkan kesusahan yang tidak perlu kepada pemain.
Pendapat Setakat Ini

Sebagai previu awal, Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection menampilkan visi yang sokud dan meyakinkan. Fokusnya terhadap kemajuan berteraskan ekosistem, rentak combat yang terkawal, dan naratif yang lebih realistik memberikan game ini identiti yang unik.
Barisan Monstie yang kuat, termasuk varian Deviant di peringkat awal permainan, mengukuhkan konsep pelaburan jangka panjang berbanding sekatan kemajuan yang kaku. Kami juga memperoleh banyak maklumat tentang pembangunan game ini melalui sesi temu bual bersama pihak pembangun.
Berdasarkan masa yang diluangkan dengan versi PlayStation 5, game ini mempunyai hala tuju yang jelas dan bermatlamat. Jika versi penuh nanti berjaya mengekalkan semua elemen kebolehcapaian, tahap strategi, dan kejelasan sistemnya, ia berpotensi besar untuk menjadi entri terbaik dalam siri ini setakat ini.
Nantikan ulasan penuh kami bagi Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection pada masa akan datang. Game ini akan dilancarkan pada 13 Mac 2026, untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.




![[EKSKLUSIF] Interviu Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection – Kupasan Combat, Rekaan Monstie & Gameplay!](https://cdn.gamersantai.com/2026/02/MH-STORIES-3_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post