Filem animasi yang menjadi buah mulut ramai, “Papa Zola The Movie,” masih memanjat puncak carta box office selepas berjaya mengutip RM55.5 juta hanya dalam tempoh 27 hari ditayangkan.
Merupakan karya terbaharu daripada Monsta (studio animasi yang terkenal dengan francais BoBoiBoy), ia mencuri tumpuan penonton pelbagai peringkat umur, khususnya menjadi pilihan utama keluarga sepanjang musim cuti sekolah.
Filem ini yang memulakan tayangannya di seluruh Malaysia pada 11 Disember 2025, dan memfokuskan pada Papa Zola, seorang bapa yang penyayang dan gigih bekerja. Dia sanggup melakukan pelbagai kerja sambilan, termasuklah sebagai seorang penghantar makanan, demi memastikan keluarganya hidup selesa.
Namun, di sebalik kehidupan biasa mereka, Papa Zola dan isterinya, Mama Zila, sebenarnya adalah bekas ejen sebuah pertubuhan perisikan yang dikenali sebagai Agensi Protect and Prevent (PAPA), yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi Bumi daripada ancaman makhluk asing.
Segalanya berubah apabila anak perempuan mereka, Pipi, diculik oleh makhluk asing, lantas memaksa mereka kembali ke dunia perisikan yang telah lama ditinggalkan.
Kejayaan filem ini tidak hanya bergantung pada mutu animasi yang tinggi, tetapi juga pada kekuatan jalan ceritanya yang menyentuh perasaan. Ramai dalam kalangan penonton dewasa berkongsi di media sosial tentang bagaimana filem ini berjaya membuatkan mereka sebak.
Paparan mengenai cabaran kehidupan masa kini, pengorbanan, serta perjuangan seorang bapa dalam diam benar-benar memberi kesan mendalam.
Pencapaian filem ini di pawagam sememangnya satu fenomena. Dalam tempoh empat hari pertama tayangan sahaja, “Papa Zola The Movie” telah berjaya mengutip lebih RM10 juta. Angka tersebut terus melonjak naik kepada RM43 juta dalam masa tidak sampai tiga minggu.









Discussion about this post