Hecate Games mengesahkan secara rasmi bahawa “Girls’ Frontline: Fire Control” akan dilancarkan pada 27 November ini untuk semua pengguna peranti Android di Malaysia.
Judul terbaharu ini membawa kelainan berbanding siri utamanya yang bergenre RPG strategik, dengan menyajikan aksi gameplay third-person shooter 5 lawan 5 yang lebih pantas dan tangkas.
Game yang dahulunya dikenali sebagai “Project NET” ini boleh dimuat turun secara percuma dan merupakan hasil pembangunan Hecate Team, sebuah studio di bawah naungan Sunborn. Para pemain akan diberi tugas untuk memimpin pasukan “Chrono Squads” yang dibarisi oleh watak-watak T-Dolls ikonik dari siri ini.
Anda akan terlibat dalam combat yang dinamik merentasi pelbagai peta. Game ini direka agar mesra pengguna baharu melalui sistem auto-aim intuitif, namun pada masa sama tetap menawarkan cabaran strategik untuk pemain berpengalaman menerusi “Tactical Chip System”.
Sistem yang diinspirasikan daripada genre roguelike ini membolehkan pemain mencipta binaan watak yang unik dan berbeza dalam setiap perlawanan.

Dari segi penceritaan, pemain akan dibawa ke dalam sebuah senario genting di mana struktur realiti itu sendiri berada di ambang kemusnahan.
Dewi Lunasia telah menyeru pasukan T-Dolls elit dari Griffin untuk membentuk satu unit khas yang ditugaskan untuk menghalang malapetaka besar daripada berlaku dengan menyertai sebuah program latihan maya yang amat sengit.

Walaupun pengguna peranti Android sudah boleh mula bermain pada minggu hadapan, versi untuk iOS masih lagi dalam peringkat pengoptimuman terakhir. Langkah ini diambil bagi memastikan pengalaman gameplay yang lebih stabil dan lancar.
Menurut pihak pembangun, tarikh pelancaran rasmi untuk versi di App Store akan diumumkan pada masa akan datang.

“Girls’ Frontline: Fire Control” akan turut menyertakan mod PvP dan juga mod PvE co-op. Ini merangkumi mod hibrid PvPvE yang mempunyai elemen seakan MOBA, serta mod kempen co-op yang membolehkan pemain berganding bahu menentang musuh-musuh yang dikawal oleh komputer.
Bagi meraikan pelancarannya yang semakin hampir, sebuah acara pra-pendaftaran kini sedang berlangsung. Para pemain yang berminat digalakkan untuk membuat pra-pendaftaran melalui laman web rasmi, serta melalui platform Google Play dan App Store.









Discussion about this post