Penantian para pemakai Nintendo di Malaysia akhirnya berakhir kerana hari ini menandakan detik bersejarah apabila Nintendo secara rasminya melancarkan perkhidmatan Nintendo eShop dan Nintendo Switch Online di negara ini.

Selama bertahun-tahun, pemain permainan video di Malaysia terpaksa bergantung pada akaun luar negara dan menggunakan kaedah pembayaran antarabangsa untuk membeli game digital.
Pelancaran rasmi eShop di Malaysia menghapuskan segala halangan ini, dengan menawarkan pengalaman yang lancar dan mesra pengguna berserta harga dalam Ringgit Malaysia (RM).
Ini merupakan berita baik untuk komuniti gaming tempatan, kerana ia bukan sahaja memudahkan proses pembelian game, malah menandakan sokongan rasmi Nintendo terhadap pasaran Malaysia yang semakin berkembang.
Selamat Datang ke Nintendo eShop
Melalui Nintendo eShop, iaitu kedai digital rasmi untuk semua sistem dalam keluarga Nintendo Switch, pengguna di Malaysia berpeluang untuk membeli serta memuat turun game, kandungan tambahan (DLC), dan melanggan perkhidmatan dalam talian secara terus dari konsol masing-masing.

Bagi memperkenalkan ciri-ciri terkininya, Nintendo Asia Tenggara telah menyiarkan sebuah video bertajuk “Getting to Know Nintendo Switch 2 – Nintendo eShop (SEA)“. Video ini memaparkan pengalaman eShop yang telah direka semula dan ditambah baik, dengan beberapa fungsi utama seperti:
- Pencarian Lebih Mudah: UI yang kemas dan intuitif membolehkan pengguna melayari dan menemui game baharu dengan lebih senang.
- Cadangan Game Khas Untuk Anda: Ruangan khas “For You” akan mencadangkan game berdasarkan corak permainan anda, di mana senarai ini akan disegarkan setiap minggu.
- Fungsi Carian dan Tapis yang Dinaik Taraf: Cari game idaman dengan pantas menggunakan penapis mengikut genre, gaya permainan, atau judul eksklusif untuk konsol Nintendo Switch 2.
- Ciri Wish List: Jika anda terjumpa game yang diminati tetapi belum bersedia untuk membelinya, hanya tekan butang ‘X’ untuk memasukkannya ke dalam Wish List. Anda akan dimaklumkan sekiranya game tersebut ditawarkan dengan harga promosi.
- Penebusan Kod yang Lebih Ringkas: Proses untuk menebus kod muat turun bagi game, DLC, atau kredit eShop kini lebih mudah dan boleh dilakukan terus dari menu utama.

Berhubung Melalui Nintendo Switch Online
Serentak dengan pelancaran eShop, perkhidmatan langganan Nintendo Switch Online juga diperkenalkan, yang membuka akses kepada pelbagai ciri bagi memperkaya pengalaman gaming anda.
Ahli langganan boleh bersaing atau bekerjasama secara dalam talian dalam game seperti Mario Kart dan Splatoon, menikmati koleksi game klasik dari konsol NES, Super NES, dan Game Boy, serta memanfaatkan kemudahan simpanan data melalui Save Data Cloud.
Berikut adalah senarai harga rasmi yang telah diumumkan untuk pasaran Malaysia:
- Free Trial 7 Hari
- Percubaan percuma selama 7 hari tersedia untuk pengguna baharu mencuba perkhidmatan ini.
- Keahlian Nintendo Switch Online
- Keahlian Individu (1 bulan): RM 13.00
- Keahlian Individu (3 bulan): RM 33.00
- Keahlian Individu (12 bulan): RM 89.00
- Keahlian Family (12 bulan): RM 169.00

- Nintendo Switch Online + Expansion Pack
- Pakej premium ini merangkumi semua faedah standard serta akses kepada koleksi game Nintendo 64, SEGA Mega Drive, dan Game Boy Advance, di samping akses kepada DLC terpilih seperti Mario Kart 8 Deluxe – Booster Course Pass.
- Keahlian Individu (12 bulan): RM 179.00
- Keahlian Family (12 bulan): RM 319.00










Discussion about this post