Dalam masa dua hari lagi, pada hari Khamis, 16 Oktober, Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC) akan membuka pintu kepada acara gaming yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara, apabila gamescom asia x Thailand Game Show melancarkan acara mega empat hari yang akan berlangsung sehingga 19 Oktober.
Kolaborasi ini, yang bertemakan “World of Gaming,” menyatukan kuasa global gamescom asia dengan gergasi serantau Thailand Game Show, mewujudkan platform B2B dan B2C yang bakal menjadi ‘game-changer’ untuk industri ini.
Ini merupakan kali pertama gamescom asia diadakan di Bangkok selepas berpindah dari lokasi asalnya di Singapura. Dengan acara yang semakin hampir, berikut adalah segala yang perlu anda tahu mengenai kandungan menarik yang menanti para pengunjung.
Pusat Jaringan Industri dan Inovasi
Festival ini akan dimulakan pada 16 dan 17 Oktober dengan segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang dikhaskan untuk para penggiat dan profesional industri.
Seramai 70 penceramah antarabangsa akan berkongsi kepakaran mereka melalui sesi panel dan ucaptama, meliputi pelbagai topik dari selok-belok pembangunan permainan video hinggalah ke strategi monetization dalam pasaran Asia Tenggara yang berkembang pesat.
Dengan unjuran lebih 2,000 sesi pertemuan perniagaan, segmen ini akan menjadi platform rangkaian yang amat penting bagi para pembangun, penerbit, dan pelabur untuk menjalinkan kerjasama.
Lautan Hiburan untuk Semua Peminat
Bermula 17 hingga 19 Oktober, pintu acara akan dibuka kepada orang ramai, menjanjikan pelbagai hiburan dan aktiviti yang mengujakan. Ruang pameran akan menjadi rumah kepada ratusan pempamer, dari syarikat gergasi AAA hinggalah ke studio-studio indie yang kreatif.
Pengunjung bakal mendapat akses eksklusif untuk mencuba perkakasan terbaharu serta judul-judul game akan datang daripada nama-nama besar industri seperti Xbox, Nintendo, ROG, Bandai Namco Entertainment Asia, Capcom, HoYoverse, Konami, Predator, Pokémon, dan ramai lagi.
Peminat juga berpeluang untuk menjadi antara yang terawal bermain demo eksklusif game AAA dan indie yang paling dinantikan.
Dianjurkan oleh Indie Wavemakers, Zon Indie akan menjadi tumpuan utama bagi peminat yang ingin meneroka karya kreatif baharu.
Menampilkan pelbagai judul daripada pembangun di seluruh dunia, zon ini bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi secara langsung dengan para pembangun, tetapi juga menjadi pentas bagi pembangun untuk membentangkan idea projek mereka di hadapan veteran industri demi peluang memenangi hadiah tunai.
Bagi peminat yang ingin membawa pulang kenangan, akan ada zon jualan khas yang menawarkan barangan eksklusif, koleksi edisi terhad, dan item berjenama.
Di samping itu, pelbagai aktiviti lain turut menanti anda:
- Pertandingan Cosplay: Acara cosplay ini kembali dengan hadiah terkumpul mencecah 300,000 THB. Pertandingan ini akan diadili oleh barisan juri antarabangsa termasuk bintang cosplay dari Singapura, Xiaoyukiko, dan veteran dari Thailand, Thames Malerose.
- Persembahan Langsung & Sesi Bertemu Peminat: Pentas Utama akan dimeriahkan dengan pengumuman game baharu, sesi bual bicara bersama pembangun, serta persembahan muzik secara langsung, termasuk Konsert Mini KissCross. Selain itu, pengunjung boleh bertemu dengan influencer, streamer, dan pelakon suara kegemaran mereka di zon-zon yang disediakan khas.
- Anugerah: Malam penganugerahan akan mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh industri melalui Lifetime Achievement Award serta meraikan permainan video dan pencipta kandungan terbaik tahun ini di Thailand Game Awards.
Sertai dari Mana Sahaja di Dunia
Walaupun anda tidak berada di Bangkok, anda masih boleh menyertai kemeriahannya. Siaran langsung dalam talian, PRIMETIME, pada 16 Oktober akan membawakan pengumuman-pengumuman penting, trailer eksklusif, dan sorotan game indie kepada penonton di seluruh dunia.
Pada masa yang sama, Steam Fest yang berlangsung serentak memberi peluang kepada pemain di seluruh dunia untuk memuat turun demo, menonton siaran langsung, dan menikmati tawaran istimewa untuk judul-judul game yang terlibat.
Tiket masih tersedia! Dapatkan tempat anda sekarang di gamescom.asia/tickets.









Discussion about this post