Legasi Dragon Quest amatlah tersohor, di mana dua game pertamanya meletakkan asas bagi keseluruhan genre JRPG. Kini, berdekad-dekad kemudian, Square Enix memberikan nafas baharu kepada judul-judul klasik ini melalui DRAGON QUEST I & II HD-2D Remake. Susulan pengumuman remake Dragon Quest III, koleksi baharu ini melengkapkan trilogi Erdrick yang asal dalam gaya visual HD-2D yang indah memandang. Kami telah duduk bersama Produser Masaaki Hayasaka untuk membincangkan tugas besar untuk memodenkan judul-judul asas ini, mengembangkan ceritanya, dan membina kejayaan berdasarkan pengajaran yang diperoleh daripada judul sebelumnya.

Mengimbangi Nostalgia dan Kemodenan
Membangunkan semula sebuah judul klasik yang disayangi adalah satu tindakan keseimbangan yang teliti. Bagi Hayasaka dan pasukannya, falsafah utama mereka sangat jelas sejak dari awal. Konsep utama mereka adalah untuk “mengubah dengan berani berbanding game asal tanpa mengubah terasnya.” Menyedari bahawa judul-judul asal agak padat mengikut standard hari ini, matlamat utama mereka adalah untuk menangani kebimbangan mengenai jumlah kandungan daripada peminat lama dan juga pemain baharu.

Untuk memenuhi jangkaan pemain moden, pasukan merasakan “adalah penting kali ini untuk bukan sahaja membuat perubahan yang besar, tetapi juga untuk memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah kandungan agar ia setaraf dengan game moden.” Komitmen terhadap pengembangan ini menjadi pendorong utama, memastikan versi remake ini terasa solid dan memuaskan. Walau bagaimanapun, Hayasaka menekankan bahawa perubahan ini dibuat dengan berhati-hati, agar ia tidak menjadi sesuatu yang sama sekali berbeza daripada game yang diminati pemain pada asalnya. Harapan mereka adalah agar pendekatan ini memberi kesan besar kepada peminat lama, yang “berkemungkinan besar akan terkejut dengan gembira melihat perbezaan dalam remake ini,” menawarkan pengalaman yang terasa segar dan pada masa yang sama biasa.
Menjalin Sebuah Saga yang Terhubung
Buat pertama kalinya, Dragon Quest I & II dipersembahkan sebagai satu pakej tunggal yang disatukan, dan naratifnya telah diperluaskan dengan ketara untuk mencerminkan hal ini. Para pembangun menganggap trilogi Erdrick—merangkumi dari Dragon Quest III ke I dan kemudian II—sebagai “rangka kerja menyeluruh,” sambil menyelitkan elemen-elemen baharu untuk membantu pemain merasakan hubungan antara judul-judul tersebut. Walaupun setiap game boleh dinikmati sebagai cerita yang tersendiri, Hayasaka mendedahkan urutan game yang disyorkan oleh pasukan: “dari perspektif pembangun, kami amat mengesyorkan untuk bermula dengan Dragon Quest 3, kerana kami percaya bermain dalam urutan itu akan membolehkan anda benar-benar merasai hubungan antara judul-judul dalam trilogi Erdrick dengan lebih kuat.”

Apabila menentukan skala pengembangan cerita, pasukan menggunakan remake DQIII akan datang sebagai penanda aras, dengan matlamat untuk menghasilkan jumlah kandungan yang sama atau lebih besar. Akhirnya, Hayasaka mengesahkan bahawa remake ini “mempunyai kandungan yang lebih banyak berbanding DQ3.” Projek besar ini dipandu sendiri oleh pencipta siri, Yuji Horii. Hayasaka menjelaskan kerjasama erat mereka, dengan menyatakan, “kami meneruskan dengan mencadangkan semua plot senario kepada Horii-san… dan kami meneruskan pembangunan sambil memasukkan maklum balas beliau setiap kali.” Ini memastikan bahawa walaupun dengan kandungan baharu, semangat dan daya tarikan pengembaraan asal tetap terpelihara.
Mempertingkatkan Pengalaman Klasik
Dragon Quest yang asal terkenal dengan gameplay yang ringkas, tetapi sering kali sangat mencabar. Menyedari hal ini, pasukan telah melaksanakan banyak kemas kini quality-of-life untuk menjadikan remake ini lebih mudah diakses. Hayasaka memberi jaminan kepada pemain bahawa mereka telah “menyelaraskan keseimbangan combat secara menyeluruh,” terutamanya untuk Dragon Quest I, yang dianggap oleh sesetengah peminat sebagai sangat sukar. Pasukan juga mengintegrasikan pengajaran daripada pembangunan DQIII, dengan menambah ciri-ciri seperti pilihan untuk memaparkan lokasi peti harta karun dan menunjukkan kelemahan musuh bagi mewujudkan “pengalaman yang jauh lebih mudah diakses dan dimainkan.”

Selain pelarasan keseimbangan, remake ini turut memperkenalkan kandungan baharu yang menarik. Paling ketara, Princess of Cannock akan menjadi watak yang boleh dimainkan dalam bahagian Dragon Quest II, satu perkara yang pertama kalinya berlaku dalam siri ini. Keputusan ini berpunca daripada keinginan untuk “sentiasa melaksanakan sesuatu yang baharu.” Selepas menimbang pelbagai pilihan bersama Yuji Horii, pasukan membuat kesimpulan, “ia mestilah Princess of Cannock.” Sistem parti itu sendiri, yang sudah hebat dalam remake DQIII, tidak mempunyai banyak halangan teknikal. Sebaliknya, pasukan memberi tumpuan kepada aspek naratif, dengan berusaha keras untuk memastikan “setiap watak bercakap dengan lebih kerap dan mendalam kali ini,” membolehkan penerokaan yang lebih luas tentang kisah individu mereka.
Mengembangkan Gaya HD-2D
Berdasarkan asas DRAGON QUEST III HD-2D Remake, pasukan pembangun berjaya memperhalusi dan menambah baik persembahan visual game ini. Salah satu peningkatan yang paling ketara, menurut Hayasaka, adalah “penambahan pergerakan pepenjuru bagi sprite piksel,” satu ciri yang tidak dapat mereka sertakan dalam remake DQIII disebabkan kekangan pembangunan. Latar belakang juga telah menerima penambahbaikan yang ketara, dengan butiran baharu seperti kesan cermin di lantai istana. Hayasaka menyatakan bahawa pasukan latar belakang telah “memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman pembangunan remake Dragon 3 sebelum ini untuk benar-benar menghasilkan sesuatu yang lebih baik.”

Mengimbas kembali proses pembangunan, Hayasaka menggambarkan cabaran kedua-dua projek sebagai unik. Untuk DQIII, kesukaran utama adalah untuk memantapkan hala tuju grafik bagi judul HD-2D pertama dalam siri ini. Bagi DQI & II, gaya visualnya sudah mantap, tetapi “penyelarasan dan penyesuaian untuk senario yang diperluaskan dengan ketara adalah sangat memakan masa dan mencabar.” Pasukan belajar daripada DQIII bahawa jangkaan pemain terhadap sebuah remake boleh jadi sangat pelbagai, jadi mereka mendekati DQI & II dengan keyakinan bahawa pilihan mereka akan “membawa kegembiraan terbesar kepada bilangan orang yang paling ramai.”
Masa Depan Dragon Quest
Dengan keseluruhan trilogi Erdrick kini menerima sentuhan HD-2D, para peminat semestinya ingin tahu apa yang akan menyusul. Hayasaka kekal optimis tetapi pragmatik, mencadangkan bahawa remake pada masa hadapan bergantung pada kejayaan projek semasa. “Saya rasa ia bergantung pada prestasi jualan 3 dan sambutan terhadap 1 dan 2 akan datang. Dari situ, mungkin akan ada peluang.” Beliau juga berpendapat bahawa gaya HD-2D sangat berkesan untuk menghidupkan semula judul-judul lama, dengan menyatakan, “Saya percaya bahawa HD-2D sebagai ekspresi grafik adalah sesuatu yang lebih menyerlah untuk game yang lebih retro.”

Menjelang ulang tahun ke-40 siri ini tahun hadapan, Hayasaka berharap para peminat akan menerima remake ini sebagai sebuah keraian untuk sejarahnya. “Jika orang boleh menganggapnya sebagai hadiah,” katanya, “tiada apa yang lebih menggembirakan kami.” Dengan semangat yang jelas untuk projek ini dan penghormatan terhadap asal-usulnya, pasukan di sebalik DRAGON QUEST I & II HD-2D Remake bersedia untuk menyampaikan versi baharu yang definitif bagi game yang memulakan segalanya.

Dragon Quest I & II HD-2D Remake akan dilancarkan bermula 30 Oktober 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, serta PC melalui Steam dan Microsoft Store.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS25] “Berubah dengan Berani” – Bagaimana DRAGON QUEST I & II HD-2D Remake Dicipta Untuk Era Baharu](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/DRAGON-QUEST-I-II-HD-2D-Remake_INTERVIU_FI-750x375.jpg)



![[TGS25] Previu Octopath Traveler 0 – Wira Ciptaan Sendiri & Pertarungan 8 Watak Mencorak Semula Siri Ini](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/OCTOPATH-TRAVELER-0_PREVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post