Hari ini, HoYoverse telah mengumumkan secara rasmi Honkai: Nexus Anima, game terbaharu di bawah francais Honkai yang cukup popular. Membawakan genre ‘creature-collecting adventure strategy’, game ini pernah diacah buat kali pertama sewaktu konsert ulang tahun Honkai: Star Rail pada Mei 2025.
Kini, ia akhirnya diperkenalkan sepenuhnya serentak dengan pembukaan pendaftaran untuk ujian beta tertutup pertamanya, yang dinamakan Nexus Bond Test.
Honkai: Nexus Anima berlatarkan sebuah dunia di mana keseimbangan alam dijaga oleh “Nexus”—sebuah ikatan ghaib yang menyatukan konsep-konsep berpasangan seperti Cinta dan Benci, Cahaya dan Gelap, serta Kehidupan dan Kematian.
Namun, keseimbangan ini musnah apabila satu rekahan tiba-tiba muncul dan memutuskan ikatan-ikatan tersebut, lantas menyerakkan sisa-sisa kuasanya ke serata dunia dalam bentuk makhluk-makhluk yang dikenali sebagai Anima.

Dalam dunia yang tidak menentu ini, pemain akan memulakan pengembaraan untuk mengumpul serta melatih Anima-Anima ini. Makhluk-makhluk ini boleh ditemui dan ditangkap melalui eksplorasi di ‘open-world’ permainan, ataupun diperoleh menerusi sistem gacha.
Apabila pemain berjaya menjalin ikatan dengan Anima mereka, makhluk-makhluk ini boleh dilatih bagi mengaktifkan abiliti-abilitihebat seperti terbang, meluncur, atau berlayar di atas air. Kebolehan ini amat penting, bukan sahaja untuk memudahkan lagi penerokaan, malah turut membuka ruang kepada pelbagai strategi bertarung baharu.
Sistem combat bertajuk “Nexus Battles” dalam game ini sangat berlainan berbanding judul-judul HoYoverse lain yang lebih berfokuskan aksi, kerana ia memperkenalkan gameplay auto-chess.
Pemain perlu menyusun Anima mereka secara strategik di atas medan perang berpetak (grid-based) bagi pertempuran automatik masa nyata, di mana kedudukan unit dan gandingan pasukan menjadi kunci kemenangan.
Melalui sistem ini, watak pemain akan berperanan sebagai “ketua” yang memberikan bonus pasif dan buff kepada pasukan Anima mereka, sekaligus mengubah fokus daripada pertempuran secara terus kepada pengurusan strategi.

Game ini juga dilihat sebagai judul crossover sejati yang pertama dalam multiverse Honkai, memandangkan video teaser dan klip gameplay menampilkan watak-watak yang cukup dikenali seperti Kiana Kaslana dari Honkai Impact 3rd dan Blade dari Honkai: Star Rail.

HoYoverse kini mempelawa para pemain untuk menjadi antara yang terawal mencuba game ini menerusi Nexus Bond Test. Ujian beta tertutup ini bakal tersedia untuk platform PC dan iOS, dan semua data permainan akan dihapuskan selepas tempoh ujian berakhir.
Hanya sebilangan penguji yang terhad akan dipilih dalam kalangan pemohon yang berjaya melengkapkan borang pendaftaran dan soal selidik.

Pendaftaran untuk Nexus Bond Test kini telah dibuka dan akan berjalan sehingga 12 September. Jadual penuh bagi sesi ujian ini akan diumumkan pada masa akan datang.
Tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan. Untuk maklumat lanjut dan bagi tujuan pendaftaran ujian beta tertutup, sila layari laman web rasmi di SINI.









Discussion about this post