The Blood of Dawnwalker menyerlah di gamescom 2025 melalui satu sesi demo, menunjukkan potensi besar sebagai RPG pengembaraan hebat yang seterusnya.
Dibangunkan oleh Rebel Wolves, sebuah studio yang diterajui oleh Konrad Tomaszkiewicz, veteran di sebalik The Witcher 3: Wild Hunt, game ini secara semula jadi membangkitkan perbandingan dengan siri tersohor itu.
Namun, walaupun berkongsi estetika fantasi gelap, game ini jelas membina identiti yang unik, berpaksikan kebebasan pemain, mekanik tekanan masa, dan sistem siang-malam yang transformatif.

Pemain akan mengawal Coen, seorang protagonis yang disumpah untuk menjalani dua kehidupan berbeza: sebagai manusia pada waktu siang dan bertukar menjadi vampire apabila malam menjelma. Dualiti ini menjadi ciri utama gameplay, mempengaruhi bukan sahaja skil dan keupayaannya, tetapi juga interaksinya dengan persekitaran.
Sebagai manusia, Coen lebih mudah bergaul, tetapi kuasa ghaibnya akan menguasai diri apabila malam tiba. Konflik dalaman ini diperhebatkan lagi dengan satu matlamat mendesak: Coen perlu menyelamatkan kakaknya dalam tempoh masa 30 hari dalam game.
Kiraan detik yang dipaparkan secara berterusan pada UI menjadi peringatan bahawa masa semakin suntuk, menambahkan elemen tekanan pada setiap pilihan yang dibuat. Masa tidak berlalu dengan penerokaan biasa, tetapi akan bergerak ke hadapan apabila pemain menyelesaikan misi utama atau aktiviti tertentu.

Aspek kebebasan diberi penekanan semasa sesi demo. Menurut pembangun, hampir tiada misi yang mempunyai hanya satu jalan penyelesaian yang mutlak. Pemain bebas memilih sama ada mahu menggunakan pendekatan agresif atau menggunakan strategi yang lebih halus seperti menyiasat untuk mencari jalan lain.
Sebagai bukti, mereka menunjukkan bagaimana satu senario bersama watak bernama Xanthe dapat diselesaikan secara damai, berbeza sama sekali dengan gameplay sebelumnya yang berakhir dengan pertarungan.
Ini membuktikan bahawa pilihan pemain akan membawa kepada pengalaman yang benar-benar berlainan, bukan sekadar perubahan kecil.

Dari segi sistem combat, The Blood of Dawnwalker memilih haluan yang berbeza daripada genre Souls-like yang popular. Ia menampilkan sistem aksi-RPG yang tangkas, dengan mekanik utamanya adalah pertarungan pedang berarah.
Pemain perlu bertahan dan menyerang mengikut empat arah yang ditetapkan—atas, bawah, kiri, atau kanan—mengubah setiap pertembungan menjadi pertarungam yang penuh debaran yang menguji kepantasan bertindak dan tumpuan pemain.
Sistem ini diperkaya dengan pelbagai kemahiran yang boleh digabungkan untuk memenangi pertempuran.

Sistem siang-malam juga memainkan peranan penting dalam combat. Pada waktu siang, Coen bertarung sebagai manusia menggunakan senjata konvensional dan skil yang realistik. Apabila malam tiba, bentuk vampirenya mengambil alih, menawarkan gaya pertarungan yang lebih liar, pantas, dan tertumpu pada serangan cakar.
Apa yang menarik, gaya bertarung supernatural ini masih berlandaskan sistem berarah yang sama. Ini memaksa pemain untuk sentiasa menyesuaikan taktik sambil tetap menguasai mekanik asas gameplay, tidak kira dalam bentuk apa pun, sekaligus memastikan pertarungan sentiasa terasa segar dan dinamik.

Melalui apa yang dipaparkan, The Blood of Dawnwalker jelas mempunyai semua ciri untuk menjadi judul RPG pengembaraan hebat yang seterusnya. Kombinasi antara misi yang tidak linear, sistem siang-malam yang memberi impak, serta tekanan had masa 30 hari mewujudkan satu pengalaman antara kebebasan dan akibat.
Sekiranya produk akhir mampu merealisasikan semua potensi yang ditunjukkan dalam demo ini, ia bakal menjadi sebuah karya yang luar biasa untuk peminat genre ini.

The Blood of Dawnwalker disasarkan untuk pelancaran pada tahun 2026 bagi platform PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam serta Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.




![[Eksklusif] Sebuah Game ‘Selepas Penat Bekerja Seharian’ – Bagaimana Realm of Ink Membezakan Diri Dalam Genre Roguelike](https://cdn.gamersantai.com/2025/08/REALM-OF-INK_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post