SHINOBI: Art of Vengeance muncul dari bayang selepas sekian lama menyepi, membawa kembali francais ninja ikonik ini dengan libasan katana yang tajam dan pantas. Kepulangan ini cuba untuk menghormati legasinya sambil mengorak langkah ke hadapan dengan yakin, menggantikan piksel klasik dengan visual lukisan tangan.
Dengan sistem combat yang sarat kombo, serta aksi platforming, ia direka untuk memikat pemain veteran siri ini dan juga peminat game aksi 2D moden. Tanpa melengahkan masa, jom kita selami ulasan ini.
Mara Kerana Api Dendam
Kisahnya mengikuti Joe Musashi yang ingin membalas dendam selepas Lord Ruse merancang serangan ke atas kampung dan keluarganya. Serangan ini, yang merupakan sebahagian daripada agenda Lord Ruse untuk meluaskan kuasanya, telah menyemarakkan api dendam dalam diri Joe dan menjadi penggerak utama misinya.

Secara keseluruhan, jalan ceritanya agak mudah difahami kerana ia mengikut kisah dendam yang tipikal, justeru perkembangannya mudah dijangka. Walaupun ia berjaya memberikan sebab yang kukuh untuk pemain terus berjuang, janganlah mengharapkan sebuah naratif yang mendalam.
Tumpuan utamanya jelas sekali pada gameplay itu sendiri; kisah yang dipaparkan lebih berfungsi sebagai latar belakang yang menghubungkan setiap babak aksi, memastikan pemain sentiasa didorong untuk mara ke hadapan.
Kuasai Pelbagai Seni Ninja
Ini game ini adalah sistem combat dan kombonya, yang direka untuk membolehkan pemain melakukan pelbagai jenis serangan dengan lancar.
Anda diberi kebebasan untuk menyambung hayunan pedang dengan balingan shuriken, membatalkan sesuatu gerakan untuk dash atau mengelak, seterusnya memulakan kombo baharu tanpa sebarang gangguan pada kelancaran aksi.
Sistem ini menggabungkan serangan ringan dan berat, di samping teknik-teknik seperti Ninpo, Ningi, dan Ninjutsu, yang kesemuanya boleh diintegrasikan dengan lancar seiring dengan pembukaan abiliti-abiliti baharu.

Kebolehan Ninpo merupakan abiliti teras yang akan dicas semula melalui pertarungan biasa. Sebagai contoh, Thunder Ninpo membolehkan anda meluncur pantas untuk mendekati musuh, manakala Bomb Ninpo membenarkan Joe Musashi melempar bom yang mampu mengakibatkan damage perisai yang tinggi.
Ninjutsu pula bertindak sebagai ‘ultimate’ yang memerlukan masa yang lebih lama untuk dicas, tetapi mampu melepaskan serangan dahsyat yang meliputi seluruh skrin dengan kuasa pemusnah yang besar. Ningi mewakili koleksi peralatan ninja anda yang boleh diperoleh melalui kemajuan gameplay biasa.
Sementara itu, Combat Moves adalah kombo yang boleh dibuka dan dibeli di kedai, lalu memberikan anda lebih banyak pilihan untuk merangkaikan serangan.

Satu mekanik Ningi yang paling menyerlah ialah Ninja Flip. Sejurus selepas menyerang musuh, anda boleh dash untuk mengelak, dan pada masa yang sama terus memulakan kombo yang baharu. Mekanik ini menghasilkan peralihan yang lebih licin antara serangan, sekali gus memastikan aksi sentiasa mengalir tanpa henti.
Apabila sudah biasa digunakan, ia terasa sangat semula jadi dan menjadi elemen penting untuk mengekalkan kombo yang panjang.

Keempat-empat mekanik ini direka untuk saling melengkapi, membuka potensi tanpa had untuk pemain mengekspresikan kreativiti mereka. Apabila anda menguasai satu aspek, kemahiran anda dalam aspek yang lain akan turut meningkat secara semula jadi.
Reka bentuk sebegini benar-benar menggalakkan pemain untuk bereksperimen dan mencari gaya pertarungan tersendiri dalam melaksanakan kombo.

Kawalan yang responsif, satu elemen penting untuk game aksi 2D moden, dilaksanakan dengan jayanya di sini. Tiada input lag yang akan melambatkan reaksi anda, dan tempoh pemulihan antara serangan juga cukup pantas untuk menyokong rentak gameplay yang laju.
Sistem dash juga berfungsi dengan cemerlang; anda boleh bergerak pantas melepasi musuh sama ada di darat atau di udara, membolehkan anda kekal tangkas sambil merancang kombo seterusnya.

Aspek pengurusan sumber juga diseimbangkan dengan teliti. Bekalan shuriken memang terhad, tetapi anda boleh mengisinya semula dengan mudah dengan memecahkan kotak-kotak yang ada di setiap peringkat. Kebolehan Ninpo pula dicas semula melalui pertarungan, jadi anda tidak perlu berjimat-cermat untuk menggunakannya.
Reka bentuk ini menggalakkan pemain untuk beraksi lebih agresif dan tidak teragak-agak menggunakan skil-skil yang paling hebat.
Kembangkan Potensi Sebagai Shinobi Terunggul
Sistem kemajuan dalam game ini dirangka untuk memastikan anda sentiasa bersemangat untuk terus mara. Peralatan Ningi, yang dibuka seiring dengan kemajuan biasa, mempunyai pelbagai fungsi: ia bukan sahaja berguna dalam pertarungan, tetapi juga penting untuk mengatasi halangan platforming dan membuka laluan ke kawasan rahsia.
Ini memberikan dorongan yang kuat untuk anda mencuba setiap alatan baharu yang diperoleh, kerana ia sering kali menjadi kunci untuk mengakses bahagian-bahagian peta yang sebelumnya tidak dapat dimasuki.

Kepelbagaian musuh yang diperkenalkan juga amat memuaskan. Anda akan menentang musuh dengan serangan jarak jauh dan dekat, di mana setiap satunya mempunyai corak serangan unik yang memerlukan strategi berbeza untuk ditewaskan.
Ada musuh yang akan mendedahkan titik lemah mereka selepas melakukan serangan tertentu, manakala yang lain pula memerlukan anda lebih bersabar untuk mencari peluang serangan balas. Variasi ini memastikan pertarungan tidak terasa berulang-ulang dan mendorong anda untuk sentiasa menyesuaikan strategi kombo anda.

Proses mempelajari corak musuh dan menyelitkan serangan balas ke dalam aliran kombo anda menjadi sebahagian daripada perjalanan mengasah kemahiran. Perasaan puas pasti akan dirasai apabila anda berjaya mengeksploitasi corak serangan musuh untuk melancarkan kombo yang membinasakan.

SHINOBI: Art of Vengeance turut menyuntik kelainan pada rentaknya melalui pelbagai jenis peringkat. Di samping peringkat biasa, wujud juga peringkat auto-mover di mana watak anda akan bergerak ke hadapan secara automatik, memaksa anda memberikan tumpuan penuh kepada skil mengelak dan menyerang.

Terdapat juga peringkat yang menampilkan babak kejar-mengejar. Walaupun ia sedikit sebanyak memecahkan rentak tradisional, ia menyuntik elemen debaran. Babak sebegini mungkin mengganggu aliran kombo yang menjadi kebiasaan, tetapi ia menghasilkan detik-detik sinematik yang membuatkan anda tidak senang duduk.
Perubahan gameplay ini mungkin terasa sedikit janggal pada mulanya, tetapi ia menambahkan lagi kepelbagaian pada pengalaman keseluruhan.

Satu lagi tambahan yang menarik ialah bahagian Ankou Rift. Ini adalah peringkat bonus yang tersembunyi yang direka untuk menguji tahap kemahiran anda melalui cabaran platforming yang rumit.
Kawasan ini biasanya menuntut penggunaan alatan Ningi dan teknik pergerakan yang tepat, memberikan ganjaran istimewa kepada pemain yang telah benar-benar mahir dengan mekanik gameplay.

Bagi pemain yang ingin menguji kehebatan mereka, Mod Arked menyediakan cabaran khusus seperti ‘time attack’ dan cabaran skor. Tahap kemahiran yang tinggi secara natural membuka ruang untuk aktiviti speedrun, dan kepuasan sebenar dapat dirasai apabila anda berjaya memperbaiki rekod peribadi selepas beberapa kali percubaan.
Visual dan Irama
Animasi yang dilukis dengan tangan memberikan setiap serangan satu impak dan kesan yang nyata, menjadikan setiap kombo berjaya menawarkan kepuasan yang melampaui aspek mekanikal semata-mata. Gaya seninya merangkum pesona ninja klasik, sambil pada masa yang sama mengekalkan sentuhan moden yang tampak kemas.
Pergerakan watak dianimasikan dengan licin dan penuh ekspresi, dengan setiap jenis serangan memiliki identiti visual yang unik, memudahkannya untuk dikenal pasti walaupun di tengah-tengah pertarungan yang paling huru-hara.

Dari segi arahan seni, ia menangkap estetika ninja klasik sambil disuntik elemen kontemporari. Latar belakang yang pelbagai di setiap peringkat juga memastikan pengalaman visual sentiasa segar tanpa menenggelamkan aksi utama.

Runut bunyinya pula merupakan adunan harmoni antara melodi berinspirasikan Jepun tradisional dengan rentak elektronik moden, yang menyemarakkan tenaga semasa pertarungan dan membina suasana semasa babak yang lebih tenang.
Kesan bunyi turut menyumbang impak yang kuat—setiap pukulan yang mengena, tangkisan yang berjaya, dan teknik istimewa disusuli dengan maklum balas audio yang sama memuaskan.

Dari segi audio dan visual, teknik Ninpo dan Ninjutsu sememangnya menjadi tumpuan utama. Setiap kali anda melancarkan Shuriken Ninpo yang menghasilkan shuriken gergasi, atau melepaskan Bomb Ninpo yang melambungkan musuh dengan letupan kuat, ia merupakan satu pengalaman yang cukup gah.
Di Mana Bilah Mula Tumpul
Namun begitu, SHINOBI: Art of Vengeance mempunyai beberapa kelemahan ketara yang menyekatnya daripada mencapai tahap keunggulan. Isu utamanya adalah aliran gameplay—terutamanya di peringkat yang lebih luas, proses navigasi boleh menjadi leceh sehingga menyebabkan momentum game merudum.
Terdapat juga platform bergerak di sesetengah peringkat yang memaksa pemain untuk sekadar menunggu, satu reka bentuk yang jelas bercanggah dengan falsafah game ini yang menekankan kelajuan dan kelancaran.

Hitbox musuh juga adakalanya tidak konsisten, yang boleh menimbulkan rasa kecewa. Dalam pertarungan yang lebih sukar di mana pukulan yang tepat adalah kritikal, masalah ini boleh merosakkan kelancaran sistem combat yang sepatutnya menjadi sorotan utama permainan.
Selain itu, ada beberapa bahagian yang memerlukan pemain berpatah balik, yang bukan sahaja merencatkan momentum tetapi juga menjadikan sesetengah segmen terasa meleret.

Perbezaan ketara antara pertarungan yang pantas dan fasa penerokaan yang lebih perlahan boleh terasa janggal. Apabila semua elemen game ini berfungsi dengan baik, ia mampu menghasilkan detik-detik ninja yang luar biasa.
Namun, masalah aliran gameplay yang disebut menghalangnya daripada mengekalkan tahap kecemerlangan itu secara konsisten.
Pendapat
SHINOBI: Art of Vengeance cemerlang pada terasnya—iaitu sistem combat yang berjaya menyajikan aksi sarat kombo yang mendalam seperti yang dijanjikan. Apabila kesemua mekaniknya harmoni, ia mampu menghasilkan detik-detik kepuasan tulen yang menghargai kreativiti dan kemahiran teknikal pemain.
Gabungan kawalan yang responsif, aliran kombo yang lancar, dan visual yang hebat berjaya memberikan fantasi untuk menjadi seorang ninja legenda.

Walaupun isu aliran gameplay dan beberapa pilihan reka bentuk yang kurang memuaskan menghalangnya daripada menjadi sebuah karya agung, sistem combat terasnya cukup mendalam untuk mengekalkan minat pemain yang berdedikasi untuk jangka masa panjang.
Bagi peminat game aksi yang berfokuskan kombo, ini adalah sebuah entri yang padu untuk francais ini. Ia jelas memahami kehendak pemain moden, sekalipun pelaksanaannya tidak sempurna dalam semua aspek.
SHINOBI: Art of Vengeance akan dilancarkan pada 29 Ogos 2025. Demo percuma kini tersedia di semua platform — PlayStation 5, PlayStation 4, Nintendo Switch, Xbox Series X|S, Xbox One, dan Steam. Untuk maklumat lanjut, layari SINI.
The Review
SHINOBI: Art of Vengeance
SHINOBI: Art of Vengeance berjaya dihidupkan semula sebagai sebuah game aksi 2D yang hebat, dengan kekuatan utamanya terletak pada sistem combat yang mendalam, pantas, dan penuh kombo. Sistem ini, digabungkan dengan visual lukisan tangan yang menakjubkan dan kawalan yang sangat responsif, berjaya memberikan pengalaman menjadi seorang ninja yang tulen dan memuaskan. Walau bagaimanapun, pengalaman ini sedikit tercalar oleh isu rentak gameplay yang ketara, di mana peringkat yang terlalu besar, navigasi yang perlahan, dan platforming yang membosankan sering mengganggu aliran aksi yang sepatutnya lancar. Meskipun tidak sempurna, teras gameplay yang cemerlang menjadikannya sebuah entri yang padu dan sangat disyorkan untuk peminat genre aksi yang mencari cabaran combat yang teknikal.
PROS
- Sistem combo yang luas dengan pelbagai serangan yang boleh menyambung sesama sendiri
- Kesan visual dan animasi lukisan tangan yang mengagumkan
- Variasi peringkat yang baik dan sistem kemajuan yang berkesan
- Pengurusan sumber yang menyokong kelancaran gameplay, bukan menghalangnya
- Variasi musuh yang baik dengan jenis dan corak serangan yang berbeza
- Daya replayability yang tinggi melalui cabaran Mod Arcade
CONS
- Rentak game boleh menjadi perlahan di peringkat yang lebih besar dengan navigasi peta
- Aktiviti berpatah balik boleh mengganggu momentum
- Serangan dan hitbox musuh boleh mengelirukan dan mengecewakan
- Serangan dan hitbox musuh boleh menjadi mengelirukan dan menambah stres









Discussion about this post