Busan Indie Connect (BIC) Festival 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini menerusi sebuah majlis perasmian yang meraikan kreativiti, semangat tinggi, dan jalinan kerjasama komuniti pembangun permainan video indie global.
Di bawah slogan “Match Your Indie Spirit,” festival ini dimulakan dengan menonjolkan pencapaian rekod tahun ini dengan 592 penyertaan dari 41 buah negara.

Majlis perasmian dimulakan dengan kupasan mengenai tema untuk tahun 2025. Slogan “Match Your Indie Spirit” dijelaskan sebagai satu konsep yang merakam detik istimewa apabila game indie, para pencipta, dan pemain saling berhubung.
Visual utama festival—sebuah papan teka-teki besar yang melambangkan “Universe-Indie” dengan kepingan berbentuk kapal angkasa yang mendarat di atasnya—melambangkan hubungan erat antara pembangun game dan para hadirin.
Pihak penganjur menyatakan bahawa BIC berhasrat untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah pameran, tetapi sebagai “titik pendaratan dan titik permulaan baharu” bagi para pencipta dan peminat indie.

Dalam sebuah pesanan video khas, Datuk Bandar Busan, Park Heong-joon, mengalu-alukan kedatangan para hadirin dan memuji perkembangan festival ini. “Busan Indie Connect Festival, kini dalam tahun ke-11 penganjurannya, menjadi kebanggaan bagi Busan, bandar industri permainan video,” katanya.
“Ia telah menjadi sebuah festival yang memberi inspirasi dan menyemarakkan ekosistem permainan video global, berfungsi sebagai platform berharga di mana jalinan kerjasama baharu terjalin. Tahun ini, kami berbesar hati untuk mempamerkan jumlah penyertaan terbesar dalam sejarah festival, dan jangkaan untuk pencapaian yang luar biasa adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini.”

Pentas kemudiannya diserahkan kepada tetamu-tetamu kehormat daripada pihak kerajaan dan industri. Pengerusi Seo Tae-gun dari Gaming Rating Administration Committee menyampaikan ucapan tahniah, sambil mengimbas kembali “kreativiti tulen dan semangat bereksperimen” yang diterapkan dalam game indie.
“BIC adalah lebih daripada sekadar sebuah pameran permainan video. Ia adalah platform di mana para pencipta dan pemain indie dari seluruh dunia dapat berhubung dan meneroka pelbagai kemungkinan baharu,” kata Pengerusi Seo.
“Kepada setiap pembangun indie yang berada di sini hari ini, saya ingin memberikan tepukan gemuruh dan sokongan padu terhadap kreativiti anda.”

Encik Lee Seung-woo dari Majlis Metropolitan Busan pula menegaskan komitmen bandar raya itu terhadap industri gaming. Beliau menekankan jumlah penyertaan yang mengagumkan pada festival tahun ini, sambil menyatakan bahawa 283 game yang dipamerkan melambangkan dedikasi luar biasa para penciptanya.
“Busan berhasrat untuk menjadi batu loncatan untuk peluang yang lebih besar dan pentas yang lebih luas, dan Majlis Metropolitan Busan juga akan menyokong gerakan ini,” ikrar Encik Lee. “Kami bukan sahaja akan menyokong dasarnya, tetapi kami juga akan menyediakan bajet untuk meluaskan jaringan kami… dan untuk memupuk budaya ini.”

Majlis diakhiri dengan pengumuman yang dinanti-nantikan bagi pemenang anugerah pertama dan finalis Grand Prix.
Pemenang Awal dan Finalis Diumumkan:
- Partner Pick Kongsi: Ratatan oleh Ratatan Arts

- Public Pick: Milestone Games dan Winion Virus



- Connect 1 Pick –

- Nicalis Pick – Shell Bless the Faithless

- Solana Pick – Forest Heroes

- Stove Indie Pick – No, I’m not a Human

Finalis Grand Prix (General Division):
- The Devil Within: Satgat
- NODE: The Last Favor of the Antarii
- Sultan’s Game
- Lost For Swords
Setelah selesai acara rasmi, Busan Indie Connect Festival 2025 kini dibuka secara rasmi, mempelawa para gamer, pembangun, dan penerbit untuk meneroka pelbagai judul game bervariasi dan inovatif yang dipamerkan.
![[BIC 2025] Busan Indie Connect Festival 2025 Bermula, Catat Rekod Tertinggi dengan 592 Penyertaan dari 41 Negara](https://cdn.gamersantai.com/2025/08/BIC-2025_OPENING-CEREMONY_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post