Berikutan satu perbincangan baru-baru ini bersama Produser Kota Toma, jelas bahawa game akan datang, Super Robot Wars Y, direka sebagai satu langkah evolusi yang dirancang rapi untuk francais yang cukup dikenali ini.

Pembangunannya berusaha menyeimbangkan warisan siri yang sudah menjangkau 34 tahun dengan keperluan untuk menjadikannya lebih mudah diakses oleh kelompok pemain generasi baharu.
Proses pembangunannya tidak dilihat sebagai sambungan semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu usaha untuk mempersembahkan pengalaman yang lebih kemas dan terperinci, sambil terus memberi penghormatan kepada elemen-elemen teras yang menjadi ciri utama siri ini dan pada masa yang sama, merendahkan halangan kemasukan bagi mereka yang baru ingin mencubanya.
Falsafah Evolusi Crossover Kian Berubah

Menyentuh persoalan mengenai hala tuju evolusi siri yang telah lama bertapak ini, Toma menegaskan bahawa terdapat beberapa komponen yang menjadi fundamental.
Dia melihat “persilangan siri dan watak yang berbeza” dan “penambahbaikan simulasi pertempuran” sebagai faktor-faktor penting yang telah memacu kemajuan francais ini selama ini. Justeru, Super Robot Wars Y terus dibina berlandaskan pegangan-pegangan asas yang sama ini.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa judul-judul kebelakangan ini terasa “terlalu selamat”, Toma memahami bahawa pengalaman teras yang melibatkan pertempuran crossover antara mecha sememangnya menjadi tarikan utama yang dinantikan oleh para peminat.
“Itulah yang mendefinisikan siri Super Robot Wars,” ulasnya.
Walau bagaimanapun, dia turut mengakui bahawa amalan untuk sentiasa menambah ciri-ciri baharu dalam judul-judul terdahulu seperti V, X, dan 30 secara tidak langsung telah mewujudkan kesan sampingan.
Walaupun niat asalnya adalah untuk menjadikan gameplay lebih seronok, Toma menyatakan bahawa pendekatan tersebut telah “meningkatkan tahap kesukaran dan kadangkala menyukarkan pemain baharu untuk masuk dan menikmati siri ini.”

Oleh itu, Super Robot Wars Y menandakan satu perubahan hala tuju yang disengajakan daripada kerumitan yang semakin meningkat. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada penambahbaikan yang lebih bermakna dan kebolehcapaian tanpa perlu mengorbankan kedalaman strategi.
Teras utama strategi ini adalah dengan memberikan penekanan semula kepada faktor yang menjadikan setiap judul itu istimewa: iaitu senarai watak-wataknya.
Toma memberi jaminan bahawa “keunikan telah dipertingkatkan dan dizahirkan secara terperinci dalam judul game ini” bagi setiap mecha dan juruterbang yang ditampilkan, sekali gus memastikan keperibadian mereka yang tersendiri dapat diserlahkan dengan lebih baik.
Resepi Mencipta Naratif yang Unik

Cabaran mencipta sebuah penceritaan yang koheren namun tetap menonjol adalah halangan yang sangat besar bagi setiap judul Super Robot Wars, memandangkan ia melibatkan alam semesta yang sangat luas dengan pelbagai watak dan francais.
Menurut Toma, kunci untuk mengelak daripada menghasilkan naratif yang terasa kembung atau klise sebenarnya terletak pada strategi pemilihan kandungan itu sendiri. Pasukan pembangun berusaha membezakan setiap game dengan memberikan fokus kepada “judul-judul berbeza yang disertakan dalam setiap permainan.”
Ini seterusnya membuka ruang kepada mereka untuk “mencipta senario aslinya sendiri dengan pertempuran dan juga watak-watak yang berbeza,” lantas memastikan setiap keluaran menjadi sebuah acara crossver yang segar dan unik.

Nama game ini, Super Robot Wars Y, turut membawa simbolisme dan berkait rapat dengan reka bentuk penceritaannya. Huruf ‘Y’ itu sendiri adalah representasi visual bagi sebuah simpang, yang melambangkan dua watak protagonis utamanya, iaitu Cross dan Forte.
Toma menerangkan bahawa ini merupakan satu keputusan reka bentuk yang disengajakan, kerana pihak penerbit “ingin meminta semua orang untuk bermain menggunakan protagonis yang berbeza. Supaya anda dapat menikmati senario atau mungkin watak-watak yang berbeza dan menikmati game ini juga.”
Struktur naratif sebegini bukan sahaja meningkatkan nilai main semula, tetapi juga memberi peluang kepada pemain untuk menyelami konflik utama dari sudut pandangan yang berlainan.

Gameplay dan Mengalu-alukan Juruterbang Baharu

Super Robot Wars Y tidak hanya bergantung pada kekuatan naratifnya, tetapi turut membawakan pelbagai penambahbaikan pada gameplay yang diilhamkan oleh maklum balas komuniti pemain serta visi untuk menarik lebih ramai peminat baharu.
Selepas pelancaran Super Robot Wars 30, pasukan pembangun telah giat berusaha untuk menjadikan mod auto-battle memberikan pengalaman “gameplay yang lebih semula jadi”, di samping memperkenalkan lebih banyak “kemahiran khas yang lebih jelas kelihatan” demi meningkatkan pemahaman pemain semasa babak aksi.

Salah satu keutamaan utama dalam pembangunan Super Robot Wars Y adalah untuk memastikan ia mesra pemain, terutamanya bagi mereka yang belum pernah mengenali siri ini.
Di sebalik penambahbaikan UI, Toma turut menekankan tumpuan khusus terhadap kebolehcapaian watak, yang menjadikannya “lebih mudah walaupun untuk pemain baharu memilih dan mengenali watak-watak yang berbeza.”
Untuk membantu pemain yang baru berjinak-jinak dengan genre taktikal yang kompleks ini, game ini akan menyediakan beberapa mod dan sistem sokongan.
Mod auto-battle yang dibawa kembali kini direka agar terasa “lebih lancar untuk pengguna baharu”, dan sebuah mod khas iaitu “mod Super Casual direka untuk pemain baharu mula bermain juga.”

Antara ciri baharu yang dijangka akan menarik perhatian pemain ialah sistem “Tactical Area Select”.
Sistem inovatif ini memberikan kuasa kepada pemain untuk “memilih watak kegemaran mereka dan juga memilih tetapan babak pertempuran kegemaran dari awal lagi,” sekali gus membolehkan mereka untuk terus menikmati kandungan yang paling diminati tanpa perlu menunggu.
Apabila digabungkan dengan ciri serba baharu “Assist Link”, yang membolehkan pemain mengeratkan hubungan dan membangunkan watak-watak kesayangan mereka, ia membuktikan komitmen yang tinggi untuk memperkaya pengalaman gameplay secara menyeluruh, tidak kira sama ada untuk pemain veteran mahupun muka baharu.

Super Robot Wars Y akan membuat pelancaran rasminya pada 28 Ogos 2025 untuk platform PlayStation 5, Nintendo Switch, dan juga PC melalui Steam. Bagi mereka yang ingin mendapatkan butiran yang lebih terperinciterkini, anda boleh melawat laman web rasmi.









Discussion about this post