Bandai Card Games secara rasmi mempelawa peminat untuk menyertai ujian beta tertutup bagi game mobile terbaru mereka, Digimon Alysion. Game yang dinanti-ramai ini merupakan adaptasi daripada Digimon Card Game yang sedia popular.
Bagi mereka yang teruja untuk menjadi antara yang pertama mencuba versi digital ini, pendaftaran telah pun dibuka dan akan berakhir pada 3 Ogos, jam 9:55 pagi waktu Malaysia.
Digimon Alysion merupakan sebuah game mobile free-to-play yang dibangunkan oleh Bandai Namco untuk platform iOS dan Android.
Projek ini, yang pertama kali dihebahkan semasa acara Digimon Con, bermatlamat untuk membawa pengalaman strategik dari permainan kad fizikal Digimon Card Game (yang dilancarkan pada 2021) ke platform digital, agar dapat dinikmati oleh pemain dari segenap pelosok dunia.

Aspek gameplay akan mengekalkan mekanik utama seperti versi fizikalnya. Para pemain perlu menyusun dek utama yang mengandungi 50 kad dan dek Digitama dengan 5 kad untuk bertarung dengan pemain lain secara dalam talian.
Matlamat utama pertarungan juga tidak berubah, iaitu untuk menghabiskan kelima-lima “security point” pihak lawan sehingga sifar.

Walau bagaimanapun, Digimon Alysion menjanjikan lebih daripada sekadar sebuah adaptasi biasa. Latar dunianya adalah sama seperti webkomik dan novel Digimon Liberator, namun ia akan membawakan jalan cerita serba baharu, lengkap dengan watak dan Digimon unik.
Ini termasuklah pengenalan laluan evolusi yang belum pernah dilihat sebelum ini, atau disebut sebagai ‘digivolution paths’, yang akan diperkenalkan buat julung kalinya dalam game ini.

Bagi memperkayakan lagi pengalaman digital, game ini akan menampilkan kad eksklusif ‘DigiAly’ yang direka khas untuk kegunaan digital. Selain pertarungan kad, pemain juga berpeluang memelihara Digimon maya dengan seni piksel klasik yang ikonik.
Ciri ini menambah satu lagi lapisan kemajuan dan pilihan customization selain daripada sekadar membina dek kad.
Ujian beta tertutup Digimon Alysion diadakan dengan tujuan utama untuk mengumpul maklum balas terperinci daripada 10,000 peserta terpilih. Menurut Bandai Card Games, ujian ini penting untuk menilai sistem gameplay serta menguji ketahanan server load dalam persekitaran sebenar.
Maklum balas dan pandangan daripada para pemain amatlah berharga bagi menambah baik kualiti game sebelum ia dilancarkan secara rasmi kelak.
Jadi, pemain yang berminat disarankan agar tidak melepaskan peluang ini dan segera menghantar permohonan sebelum tarikh tutup pada 3 Ogos untuk sama-sama membantu mencorakkan masa depan Digimon Card Game di arena mudah alih.









Discussion about this post