FromSoftware, pembangun hebat dari Jepun yang terkenal dengan siri Dark Souls dan Elden Ring, dikatakan sedang membangunkan satu projek baharu pelbagai platform yang dikenali dengan nama kod FMC, menurut laporan terbaru daripada MP1ST.
Berita ini hadir ketika studio itu sedang sibuk dengan pelbagai komitmen lain, termasuk pengumuman game baharu The Duskbloods untuk Nintendo Switch 2 serta kemas kini akan datang bagi Elden Ring: Nightreign.

Penggunaan nama kod merupakan sesuatu yang lazim dalam industri pembangunan game, dan FromSoftware sendiri pernah menggunakan nama kod bagi beberapa tajuk utama mereka. Contohnya, Dark Souls 3 pernah dikenali sebagai FDP, manakala Armored Core 6 dinamakan FNR pada peringkat awalnya.
Memandangkan nama kod FMC juga bermula dengan huruf F, peminat mula membuat spekulasi bahawa ia mungkin ada kaitan dengan siri Dark Souls atau Armored Core, dua francais yang begitu sinonim dengan studio ini.

Walaupun The Duskbloods adalah game eksklusif untuk Switch 2, hakikat bahawa Projek FMC dikembangkan untuk pelbagai platform memberi bayangan bahawa ia merupakan projek yang berbeza.
Berdasarkan laporan MP1ST, FMC mungkin merupakan versi remake atau remaster untuk salah satu game Dark Souls—berkemungkinan Dark Souls 2, susulan kejayaan versi remastered game pertama—atau mungkin juga spin-off baharu, ataupun kandungan standalone untuk siri Armored Core.
Namun, sekeul terus kepada siri Dark Souls dilihat tidak mungkin kerana Presiden FromSoftware, Hidetaka Miyazaki, sebelum ini pernah menyuarakan ketidaksediaannya untuk mengarahkan sekuel baharu siri itu.
Sebaliknya, siri Armored Core dilihat lebih berpotensi sebagai asas untuk Projek FMC. Francais ini memang terkenal dengan pelancaran pelbagai platform, selain pernah menerima spin-off dan remaster secara konsisten.
Tambahan pula, laporan MP1ST turut menyebut bahawa projek ini sudah berada pada tahap pembangunan yang agak matang, malah mungkin sudah boleh dimainkan dalam tempoh setahun. Jika benar, ini bermakna pengumuman rasmi dijangka akan dibuat tidak lama lagi bagi memulakan kempen pemasaran.
Namun begitu, para peminat disarankan supaya tidak terlalu berharap buat masa ini, kerana semua maklumat tersebut masih bersifat spekulasi. Tiada bukti rasmi yang sahih mengenai apakah sebenarnya Projek FMC atau apakah kaitannya dengan mana-mana siri sedia ada.
Buat sementara, peminat FromSoftware hanya boleh menantikan berita lanjut dengan penuh harapan terhadap projek misteri ini.
![[Khabar Angin] FromSoftware Memiliki Projek Misteri Bernama FMC, Mungkin Game Dark Souls?](https://cdn.gamersantai.com/2025/07/FMC_FROMSOFTWARE_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post