Epic Games Store kembali dengan tawaran hebat, kali ini memberikan bukan satu, tetapi dua game percuma bernilai lebih RM100. Untuk tempoh terhad selama seminggu—bermula hari ini hingga 28 Februari—pemain boleh menuntut World War Z: Aftermath dan Garden Story secara percuma.
Setelah dituntut, game ini akan kekal dalam koleksi anda selamanya, tetapi pastikan untuk menebusnya dalam tempoh promosi kerana selepas itu, ia akan kembali ke harga asal. Cara untuk menuntut game ini sangat mudah. Anda hanya memerlukan PC dan akaun Epic Games Store, yang boleh didaftarkan secara percuma.
Tidak ada langganan diperlukan—tawaran ini terbuka kepada semua pengguna Epic Games Store, menjadikannya peluang terbaik untuk menambah koleksi game tanpa mengeluarkan sebarang kos.
World War Z: Aftermath
Sorotan utama bagi game percuma minggu ini ialah World War Z: Aftermath. Bukan sekadar game asas World War Z, versi ini turut disertakan dengan semua DLC yang dikeluarkan selepas pelancarannya. Biasanya berharga RM104, Aftermath ialah cooperative third-person shooter yang dibangunkan oleh Saber Interactive.
Dilancarkan pada 2021, Aftermath merupakan versi yang diperbaiki dan diperluaskan daripada game asal. Ia mengekalkan aksi pantas memburu zombie yang digemari peminat, membolehkan sehingga empat pemain bekerjasama menentang kawanan zombi besar di pelbagai lokasi di seluruh dunia.
Pakej ini turut merangkumi semua kandungan daripada World War Z: Game of the Year Edition. Selain itu, ia memperkenalkan dua kempen cerita baharu—satu di Rome (termasuk Vatican City) dan satu lagi di Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Kemas kini utama lain dalam game ini termasuk sistem pertempuran jarak dekat yang ditambah baik, membolehkan pemain menggunakan dua senjata serentak seperti sabit dan parang, serta kelas Vanguard baharu yang dilengkapi perisai elektrik. Mod first-person juga diperkenalkan untuk pengalaman baharu.
Game ini turut menampilkan jenis musuh baharu seperti kawanan tikus pemakan daging dan mod Horde Mode XL yang menawarkan gelombang zombie lebih besar, dioptimumkan untuk PC pada 4K/60 FPS.
Garden Story
Game percuma kedua yang ditawarkan ialah Garden Story, sebuah RPG aksi indie yang dibangunkan oleh Picogram dan diterbitkan oleh Rose City Games. Biasanya berharga RM34.49, game ini pertama kali dilancarkan pada 2021.
Garden Story menggabungkan elemen pengembaraan klasik gaya Zelda dari pandangan atas dengan simulasi sosial, mencipta dunia pixel-art yang penuh daya tarikan dan dihuni oleh watak-watak unik berbentuk buah-buahan dan sayur-sayuran antropomorfik.
Dalam Garden Story, pemain mengawal Concord, sebiji anggur muda yang secara tiba-tiba dilantik sebagai Guardian of The Grove—sebuah pulau yang subur tetapi diancam oleh kuasa gelap yang dikenali sebagai The Rot.
Kisah mengikuti perjalanan Concord dalam usaha membina semula dan melindungi komuniti yang terbahagi kepada empat wilayah, masing-masing bertemakan musim yang berbeza (Musim Bunga, Panas, Luruh, dan Sejuk).
Sepanjang pengembaraan, pemain akan menyelesaikan pelbagai tugasan, bertarung dengan musuh, serta membina hubungan sosial yang penting untuk kelangsungan hidup pulau tersebut.
Jangan lupa untuk menebus kedua game ini sebelum promosi berakhir—selepas tempoh tamat, harga mereka akan kembali seperti biasa. Selamat bermain!
@gamersantaimy
Discussion about this post