Baru-baru ini, terdapat satu dokumen yang menunjukkan bahawa Xbox ingin memperoleh SEGA bagi menyokong kandungan Xbox Game Pass. Dokumen tersebut telah didedahkan semasa kes perolehan Activision Blizzard dibicarakan bersama Federal Trade Commission (FTC).
E-mel berkenaan perkara tersebut telah dihantar daripada Phil Spencer kepada CEO Microsoft Satya Nadella dan CFO Microsoft Amy Hood pada tahun 2020, untuk meminta kelulusan strategi untuk mendekati Sega Sammy berhubung dengan pemerolehan SEGA.
Dalam e-mel tersebut, Phil Spencer mengatakan yang “Kami percaya bahawa Sega telah membina portfolio game yang seimbang merentas segmen dengan daya tarikan geografi global, dan akan membantu kami mempercepatkan Xbox Game Pass dalam dan luar konsol.”
Buat masa sekarang, perkara ini masih tidak jelas sama ada CEO Microsoft itu bersetuju dan meluluskan perbincangan atau mempunyai rancangan lain. Tetapi dalam dokumen semakan penggabungan dalaman Microsoft pada bulan April 2021, SEGA masih disenaraikan sebagai sasaran utama.
Di dalam dokumen tersebut pula, bukan hanya SEGA sahaja menjadi sasaran, tetapi pelbagai lagi studio atau syarikat lain turut disenaraikan seperti Bungie, Zynga dan IO Interactive. Mereka masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri dan bukan sahaja fokus kepada satu platform.
Kini, kes pembicaraan untuk memperoleh Activision Blizzard masih lagi berjalan dan FTC akan menentukan sama ada Microsoft berjaya atau tidak untuk memperoleh syarikat tersebut dengan bernilai $68.7 bilion.
Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak berita menarik mengenai game, anime, teknologi dan banyak lagi daripada kami.
@gamersantaimy
Discussion about this post