Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

[EKSKLUSIF] Membuka Potensi Arena Kompetitif Pokémon Asia – Temu Bual Bersama Jushiro Kitamura Dari The Pokémon Company 

Razin Syafiq by Razin Syafiq
May 11, 2026
in Acara, Artikel, Berita, Eksklusif, Kejohanan esports, Temuramah, Trading Card Game
0 0
0
[EKSKLUSIF] Membuka Potensi Arena Kompetitif Pokémon Asia – Temu Bual Bersama Jushiro Kitamura Dari The Pokémon Company 

Jushiro Kitamura (Pengarah Jabatan Promosi Asia - The Pokémon Company) | Kredit: Digital Braves

Share on FacebookShare on Twitter

Kejohanan Malaysia Master Ball League 2025-26 sudah pun melakar sejarah sebelum acara rasmi melabuhkan tirai. Diadakan di Sunway Pyramid, acara ini berjaya menarik seramai 1,752 peserta dan mencatat rekod sebagai kejohanan luar talian Pokémon Champions pertama di dunia.

Di luar sesi acara Divisyen VGC, kami berpeluang menemu bual Jushiro Kitamura, Pengarah Jabatan Promosi Asia di The Pokémon Company secara eksklusif.

Kami berbincang mengenai faktor yang memacu pertumbuhan di rantau ini, peranan Pokémon TCG Pocket dalam perancangan masa depan mereka, dan apakah langkah yang akan datang seterusnya.

Kredit: Digital Braves

Kitamura mengetuai pasukan di The Pokémon Company yang bertanggungjawab menganjurkan kejohanan rasmi di seluruh Asia, merangkumi Pokémon Trading Card Game (TCG) dan Pokémon Video Game Championship (VGC).

Pasukannya menyelia perlawanan kompetitif rasmi di Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand, Taiwan, Hong Kong, dan Indonesia.

Musim kompetitif ini berlangsung dari awal September hingga penghujung Julai, yang dirujuk oleh pihak penganjur sebagai satu siri (series). Dalam tempoh tersebut, pemain akan bersaing merentasi empat tahap (tier) acara: Great Ball League, Ultra Ball League, Premier Ball League, dan acara kemuncak, Master Ball League.

Mata yang dikumpul daripada acara-acara ini akan menentukan siapa yang layak ke Pokémon World Championships (juga dikenali sebagai Worlds), yang mana pada tahun ini ia akan berlangsung di San Francisco pada bulan Ogos. Pemenang bagi setiap kategori juga akan menerima jemputan secara terus ke acara Worlds ini.

Kredit: Digital Braves

“Bagi pemain Malaysia, ini merupakan peluang terakhir dalam siri semasa untuk mengumpul ‘championship point’ yang mencukupi bagi melayakkan diri ke World Championships,” kata Kitamura. 

“Boleh dikatakan, ia merupakan pintu masuk yang paling penting bagi pemain di Malaysia dalam perjalanan mereka menuju ke Worlds.”

Kejohanan Yang Semakin Berkembang Pesat

Peningkatan penyertaan di Malaysia amat sukar untuk diabaikan. Kejohanan Malaysia Master Ball League 2024-25 telah merekodkan seramai 1,171 peserta. Pada tahun ini, angka itu melonjak ke 1,752 peserta, mewakili kira-kira 150% pertumbuhan tahun ke tahun.

Kitamura menjelaskan bahawa ada beberapa sebab di sebalik peningkatan ini. Salah satu perubahan terbesar berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu, apabila pihak organisasi merombak semula struktur kejohanannya.

“Sebelum ini, kami hanya mempunyai empat atau lima acara bagi setiap siri,” jelasnya. 

Kredit: Digital Braves

“Kami kemudian memperkenalkan sistem ‘tier’, yang memberi pemain lebih banyak peluang dan laluan untuk masuk bertanding.”

Perubahan itu bukan sahaja menarik semula pemain lama yang sememangnya menyokong acara ini, malah turut membawa masuk pemain baharu yang ingin mencuba pengalaman bermain secara kompetitif buat kali pertama.

Kredit: Digital Braves

Pemilihan lokasi juga memainkan peranan penting.

“Lokasi amat penting. Tahun ini, kami telah memindahkan Malaysia Master Ball League dari lokasi pinggir bandar yang lebih kecil di Bukit Jalil ke Sunway Pyramid, iaitu sebuah lokasi yang lebih mudah diakses dan mesra keluarga. Ini sudah pastinya menyumbang kepada jumlah kehadiran yang sangat luar biasa pada hari ini,” katanya. 

Kredit: The Pokémon Company

Selain itu, pertambahan jumlah kedai hobi khusus, yang digelar oleh Kitamura sebagai ‘gym shop’, telah mula membina komuniti akar umbi di peringkat tempatan.

“Bilangan kedai sebegini berkembang lebih pantas di sini berbanding di kebanyakan rantau lain, dan infrastruktur akar umbi tersebut jelas memacu penyertaan aktif para pemain,” tambahnya lagi.

Sebagai konteks, Kitamura menyatakan bahawa kejohanan terbesar di rantau ini dipegang oleh Taiwan, di mana acara mereka selalunya mampu menarik sekitar 4,000 peserta. 

“Itulah sasaran dan penanda aras yang kami harapkan untuk Malaysia capai dalam masa terdekat,” katanya.

Yang Pertama di Dunia, Pokémon Champions Hadir ke Malaysia

Momen paling bersejarah pada acara tahun ini ialah apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan luar talian Pokémon Champions pertama di dunia.

Pokémon Champions merupakan sebuah produk serba baharu, dan Divisyen VGC bagi acara Malaysia Master Ball League telah dipilih menjadi pentas penampilan global sulung bagi tahap kompetitif.

“Saya benar-benar teruja. Pokémon Champions ialah sebuah produk baharu, dan Malaysia merupakan rantau pertama di dunia yang menganjurkan kejohanan luar talian untuknya. Ini adalah detik yang sangat bersejarah,” kata Kitamura. 

Impaknya dapat dilihat dengan serta-merta. Jika dibandingkan dengan acara VGC tahun lalu (yang dijalankan menerusi game Pokémon Scarlet and Violet), penyertaan dalam divisyen VGC kali ini telah meningkat sekitar 216%.

Pihak penganjur juga telah memperkenalkan live streaming di YouTube untuk pertandingan VGC ini, dan hasilnya ternyata mengejutkan pasukan penganjur sendiri. 

Kredit: Digital Braves

“Biasanya, siaran TCG kami akan menarik lebih ramai penonton. Namun, kali ini penstriman langsung Pokémon Champions sebenarnya berjaya menarik lebih ramai tontonan berbanding penstriman TCG,” kata Kitamura.

Suasana peserta di dewan acara turut mencerminkan peralihan tersebut. 

“Selepas pemain selesai menamatkan pusingan TCG mereka, ramai yang turun ke pentas utama untuk menonton siaran langsung acara Champions. Tenaga dan suasana ketika itu sangat luar biasa.”

Berkenaan persoalan mengapa Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama, Kitamura memberikan jawapan yang amat praktikal.

“Semuanya bergantung kepada soal masa. Acara ini sangat bertepatan dengan jadual keseluruhan kami. Sebenarnya, ia juga boleh sahaja diadakan di Filipina atau Hong Kong.”

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pasukannya amat bersyukur dengan sambutan yang diterima.

“Kami berbesar hati ia dapat dianjurkan di sini, dan sambutan yang kami terima sememangnya seperti apa yang kami harapkan.”

Pengumpul Berbanding Pemain Kompetitif

Memandangkan komuniti TCG sering terbahagi kepada dua kem iaitu pengumpul kad dan pemain kompetitif, persoalan mengenai jenis kelompok majoriti pemain yang ada di Malaysia pasti menarik untuk dikupas. Jawapan Kitamura memberikan satu perspektif yang sangat bernas.

Daripada melabelkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai peratusan pemain kompetitif yang luar biasa tinggi, beliau sebaliknya melihat perkara ini dari sudut yang berbeza. Pertumbuhan di sini berlaku secara menyeluruh, dan bukannya hanya didorong oleh satu jenis pemain semata-mata.

“Keseluruhan jumlah pemain sedang berkembang dengan sangat pesat, dan kejohanan-kejohanan kami kini berjaya menarik sebahagian besar daripada kumpulan tersebut,” katanya. 

Kredit: Digital Braves

Pokémon TCG Pocket dan Permainan Kad Fizikal

Pokémon TCG Pocket, sebuah permainan kad mudah alih yang telah dilancarkan pada penghujung tahun 2024, kini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan komuniti. Kitamura berkata bahawa hubungan antara aplikasi mudah alih tersebut dengan permainan kad fizikal amatlah positif. 

“Kami mendapati bahawa pelancaran Pokémon TCG Pocket berlaku seiring dengan peningkatan jumlah pemain kad fizikal di pasaran ini,” kongsinya.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa beliau tidak dapat mendedahkan angka yang spesifik pada ketika ini.

Kredit: Digital Braves

Pihak penganjur juga telah mencuba pelbagai cara untuk membawa Pokémon TCG Pocket ke dalam pengalaman acara secara langsung, seperti menyediakan ‘hands-on booth’ di kejohanan sebelum ini sebagai pengisian aktiviti sampingan. 

“Sambutan yang diterima daripada para peserta kejohanan sangat positif,” katanya, sambil menambah bahawa mereka terus mengkaji cara terbaik untuk menyepadukan aplikasi tersebut ke dalam acara-acara mereka yang akan datang.

“Kami sedang giat meneroka bagaimana untuk mengintegrasikan Pokémon TCG Pocket dengan lebih meluas ke dalam program kejohanan pada masa hadapan.” 

Kolaborasi Jenama dan Impaknya

Sejak kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan pelbagai kolaborasi antara jenama Pokémon bersama syarikat-syarikat tempatan.

Apabila ditanya sama ada kerjasama sebegini telah membantu mengembangkan lagi arena TCG, Kitamura mengakui bahawa ianya pasti mempunyai pengaruh yang tersendiri, namun beliau jelas mengenai batas pengetahuan langsungnya.

“Fokus utama saya adalah terhadap acara organized play serta kejohanan kompetitif, bukannya pada hal pelesenan mahupun kerjasama jenama,” jelasnya.

Kredit: The Pokémon Company

Walaupun begitu, pandangannya terhadap situasi tersebut sangat mudah difahami.

“Pendedahan dan penonjolan jenama Pokémon yang lebih meluas di pasaran bermakna lebih ramai orang akan menyedari akan kewujudan permainan kad ini serta acara-acara anjuran kami.”

“Kehadiran jenama yang lebih luas dalam ekosistem ini lambat-laun pasti akan memberikan kesan yang positif ke atas kadar penyertaan kejohanan juga,” tambah Kitamura lagi. 

Kredit: Digital Braves

Melangkah ke Hadapan

Ketika diajukan soalan tentang apa yang bakal menanti di masa hadapan untuk landskap kompetitif Pokémon di benua Asia, jawapan Kitamura adalah sangat ringkas dan terus-terang: lebih ramai pemain. 

“Kami akan terus bekerja keras untuk menyediakan lebih banyak peluang penyertaan kejohanan, meningkatkan kualiti penganjuran, serta meluaskan akses terhadap produk-produk kami. Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan daripada komuniti tempatan, para pemain lama, serta semua penganjur, barisan pengadil, dan juga rakan acara yang telah menjayakan semua ini.”

Kredit: The Pokémon Company

“Pokémon Card Game ialah sebuah permainan yang sangat menakjubkan, dan kami mahu lebih ramai orang menemuinya, bermain dengannya, dan mula menikmatinya,” tambah Kitamura.

Beliau juga tidak lupa untuk memberi penghargaan buat individu-individu penting di sebalik tabir yang menjayakan acara-acara tersebut.

“Segala apa yang telah kami capai setakat ini adalah hasil daripada usaha terkumpul serta kerjasama padu daripada komuniti tempatan, para pemain setia, pengadil, rakan kongsi acara, dan barisan penganjur. Kesemua gabungan inilah yang telah membawa kita kepada tahap kita pada hari ini.”

Kredit: Digital Braves

Beliau mengakhiri perbualannya dengan melontarkan satu cabaran kepada semua yang terlibat:

“Mari kita lakukan yang lebih hebat lagi pada tahun hadapan.”

Untuk maklumat lanjut tentang acara ini, sila layari laman web rasmi.

Tags: EksklusifinterviuJushiro KitamuraMalaysia Master Ball League 2025-26The Pokémon Company
ShareTweetSend
Previous Post

Webtoon ‘Viral Hit’ Akhirnya Jadi Siri Live-Action, Akan Tayang Di 11 Jun Di Netflix!

Next Post

Tokyo Game Show 2026 Umum Giveaway & Barisan Tetamu Terkenal – Acara Tahun Ini Berlangsung 5 Hari!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Mahu PC Edisi Terhad? Koleksi Ultra-Premium ASUS ROG “Edition 20” Kini Di Malaysia
Teknologi

Mahu PC Edisi Terhad? Koleksi Ultra-Premium ASUS ROG “Edition 20” Kini Di Malaysia

June 26, 2026
10 Lagu Tema Anime Paling Ikonik Pilihan Pakar Muzik Dunia
Anime

10 Lagu Tema Anime Paling Ikonik Pilihan Pakar Muzik Dunia

June 26, 2026
Resident Evil: Survival Unit Berkolaborasi Dengan Monster Hunter Untuk Acara Crossover Pertama
Mobile

Resident Evil: Survival Unit Berkolaborasi Dengan Monster Hunter Untuk Acara Crossover Pertama

June 26, 2026
Next Post
Tokyo Game Show 2026 Umum Giveaway & Barisan Tetamu Terkenal – Acara Tahun Ini Berlangsung 5 Hari!

Tokyo Game Show 2026 Umum Giveaway & Barisan Tetamu Terkenal - Acara Tahun Ini Berlangsung 5 Hari!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd