Sony Interactive Entertainment bersama pembangun Firesprite telah mengumumkan Until Dawn 2 untuk PlayStation 5, dengan sasaran pelancaran pada tahun 2027. Didedahkan semasa acara State of Play, sekuel ini menukarkan latar tempat kepada sebuah pulau tropika yang menyimpan sejarah hitam.
Berbeza dengan game pertama tahun 2015 yang dibangunkan oleh Supermassive Games atau versi remake terbaharu daripada Ballistic Moon, entro baharu ini dibangunkan sepenuhnya oleh Firesprite.
Ini merupakan projek utama pertama bagi studio tersebut sejak mereka bekerjasama dengan Guerrilla Games untuk membangunkan game virtual reality, Horizon Call of the Mountain.
Until Dawn 2 direka sebagai sebuah kisah standalone yang menampilkan barisan watak yang serba baharu. Pemain akan mengawal sekumpulan penyiasat hantu untuk “Dead True,” sebuah saluran paranormal yang sangat popular.
Walaupun kumpulan ini membina reputasi dengan memalsukan kejadian mistik, mereka sebenarnya tidak pernah berhadapan dengan entiti sebenar.
Segala-galanya berubah apabila mereka menandatangani kontrak dengan sebuah rangkaian televisyen besar, yang menghantar mereka ke sebuah pulau tropika terbiar untuk menjalani penggambaran episod pertama yang dibiayai sepenuhnya.
Apa yang bermula sebagai percutian santai bertukar menjadi perjuangan untuk hidup. Di sebalik keindahan landskap pulau tersebut, tersembunyi rahsia berusia ratusan tahun yang dahagakan dendam, sekali gus memaksa kumpulan ini berhadapan dengan ancaman paranormal sebenar.
Seperti game sebelum ini, Until Dawn 2 bergantung kepada mekanik “Butterfly Effect,” di mana keputusan pemain akan menentukan siapa yang hidup dan siapa yang mati.
Kali ini, Firesprite memberikan lebih penekanan terhadap hubungan sesama watak; cara ahli kumpulan berinteraksi antara satu sama lain akan mempengaruhi cabang naratif secara langsung.
Keputusan-keputusan ini merangkumi konflik peribadi yang kecil sehinggalah kepada situasi hidup dan mati.
Antara contoh dalam game yang dikongsikan oleh pembangun termasuklah sama ada mahu menggadaikan keselamatan diri untuk menyelamatkan anak babi hutan daripada perangkap beruang, merahsiakan skandal hubungan sulit di pejabat, atau mendesak rakan sekerja sehingga ke tahap kritikal demi memenuhi kehendak bos yang mahukan kandungan tular.

Walaupun barisan watak kebanyakannya baharu, salah satu watak penting daripada game pertama akan kembali. Peter Stormare akan memegang semula wataknya sebagai pakar psikiatri, Dr. Alan J. Hill.
Sony merancang untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai jalan cerita, mekanik gameplay, dan barisan watak dalam beberapa bulan akan datang.









Discussion about this post