ASUS Republic of Gamers (ROG) bersedia untuk menawan hati para pemain dan pengumpul tempatan dengan pengenalan ROG x Honkai Impact 3rd Elysia’s Special Collection.
Pakej edisi terhad hasil kolaborasi bersama HoYoverse ini memberi penghormatan kepada watak pujaan peminat, Elysia, lengkap dengan kostum eksklusif baharunya, di bawah slogan, “Your Game, Lit With Love.”
Selepas pelancaran peringkat global pada 23 Oktober 2025, kini disahkan bahawa koleksi ini akan menemui peminat di Malaysia dalam masa terdekat.

Dengan hanya 5,000 unit ditawarkan di seluruh dunia, koleksi ini pastinya menjadi rebutan hangat dalam kalangan peminat game aksi tersebut. Menurut sumber, ASUS Malaysia bakal mengadakan pra-pelancaran pada 7 November dengan tawaran harga RM3999 untuk pakej ini.
Pihak kami telah berpeluang mendapatkan set ini lebih awal untuk tujuan unboxing dan berikut adalah isi kandungannya.
Sepucuk Surat Cinta untuk Peminat

Selari dengan konsep romantiknya, kotak hadiah Elysia’s Special Collection ini mempunyai reka bentuk unik seakan-akan sepucuk surat peribadi daripada Elysia.
Ia didatangkan dengan tema “Romantic Pink”, yang menyatukan warna pastel lembut dengan sentuhan elemen teknologi berinspirasikan piksel, sejajar dengan ciri AniMe Vision pada siri ROG Phone 9.

Apabila kotak edisi khas ini dibuka, peminat akan disajikan dengan pelbagai barangan eksklusif yang direka teliti, setiap satunya mencerminkan keunikan dan daya tarikan Elysia:
- Eternal Elegance Stand: Sebuah stand akrilik hiasan untuk menyerikan sudut peribadi pemain.

- Affectionate Badge with Cover: Lencana bergaya berserta penutup, membolehkan peminat memperagakan minat mereka terhadap Elysia.

- Dreamy Pink Letter Character Card & Envelope: Kad watak dan sampul surat dengan reka bentuk menawan, sesuai sebagai kenang-kenangan.

- Adorable Stickers: Set pelekat comel Elysia dalam gaya chibi untuk menghias barangan kesayangan.

- Solid Love Armor Case: Sarung pelindung telefon yang diilhamkan daripada kostum eksklusif Elysia dalam game.

- Love-Powered Cable Guard: Pelindung kabel bercirikan chibi Elysia yang menambahkan keceriaan semasa mengecas peranti.

- Dreamlink Wand Ejector Pin: Pencungkil SIM yang direka khas menyerupai senjata ikonik Elysia.

Untuk makluman, set yang kami terima bagi sesi unboxing ini didatangkan bersama ROG Phone 9 FE. Walau bagaimanapun, pakej jualan rasmi untuk pengguna nanti akan menyertakan model ROG Phone 9 Pro yang lebih berprestasi tinggi.
Merapatkan Dunia Realiti dan Maya dengan Ganjaran Dalam Game

Pengalaman tidak terhenti pada koleksi fizikal sahaja. Setiap kotak didatangkan dengan sekeping kad yang mempunyai nombor siri unik. Nombor ini boleh digunakan untuk menebus ganjaran eksklusif dalam game melalui laman web rasmi kempen.
Pemain akan menerima dua item Enchanted Phones (untuk pemulihan stamina) dan 2,000 Asterite bagi membantu lagi perjalanan mereka dalam dunia Honkai Impact 3rd.

Sebagai tambahan, ROG turut menawarkan Pek Tema Elysia secara eksklusif dan percuma melalui ROG Phone Theme Store, yang telah tersedia sejak pelancaran global.
Pek digital ini membolehkan pengguna menghayati dunia Elysia sepenuhnya melalui live wallpaper, animasi pengecasan, skrin panggilan masuk, paparan always-on yang diubah suai, serta animasi khas AniMe Vision untuk siri ROG Phone 9.
Kesemua elemen ini direka untuk memastikan setiap interaksi dengan peranti selari dengan tema “Disinari Dengan Cinta.”

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang ROG x Honkai Impact 3rd Elysia’s Special Collection, anda boleh melayari laman web rasmi di SINI.









Discussion about this post