Sempena ulang tahun ke-25 Ultraman Dyna, Tsuburaya hari ini mengumumkan siri rancangan baru untuk peminat iaitu Ultraman Chronicle D yang memberi andaian bahawa wira ultra tersebut akan membuat kemunculan di era moden. Bakal ditayangkan pada 29 Januari 2022 di saluran TV Tokyo Network, siri rancangan itu kemudian akan tersedia di saluran YouTube rasmi Ultraman.
Supaya tiada yang salah faham, Ultraman Chronicle D bukanlah rancangan khusus tentang Ultra baru dan sebaliknya adalah rancangan biografi tentang latar belakang Ultraman Trigger dan Ultraman Dyna serta beberapa Ultra lain. Memaparkan rakaman lama (dan kemungkinan rakaman baru), Chronicle D akan menjelaskan tentang sejarah Ultraman ini dalam cara yang mudah faham.
Cuma, khabar angin semasa sedang viral tentang “siapakah Ultra terbaru untuk tahun 2022?”. Menurut info bocor, Tsuburaya Productions telah mendaftarkan cap dagangan rasmi untuk entri seterusnya dalam francais. Akan dikenali sebagai “Ultraman Decker”, cap dagangan ini telah didaftarkan pada 29 November lalu dan diluluskan pada 14 Disember. Jika benar, Ultraman Decker akan berfungsi sebagai “Dyna Generasi Baru sama seperti Ultraman Trigger kepada Tiga.
Kita flashback sedikit untuk mereka yang kurang tahu: Ultraman Dyna ialah sebuah rancangan TV tokusatsu Jepun yang telah disiarkan antara 6 September 1997 hingga 29 Ogos 1998. Siri ini adalah susulan langsung kepada Ultraman Tiga.
Bermula pada zaman “Neo Frontier” di mana manusia telah sampai ke Marikh, Shin Asuka yang baharu sahaja menyertai Super GUTS bertembung dengan suatu cahaya yang pelik dan ekoran daripada itu, mampu bertukar menjadi Ultraman Dyna yang hebat untuk menentang raksasa jahat.
Bersama dengan Ultraman Tiga dan Ultraman Gaia (yang dikeluarkan pada tahun berikutnya), ketiga-tiga siri itu meraih sambutan yang sangat-sangat positif oleh peminat dan diberi gelaran “TDG”. Memandangkan siri Ultraman Trigger: New Generation Tiga pun hampir tamat, nampaknya tiba masa untuk kita melihat Ultraman Dyna versi baru pula! Manalah tahu, Gaia pun datang kemudian untuk membentuk generasi “TDG” baru..
Untuk maklumat lanjut tentang Ultraman Chronicle D, sila tekan pautan SINI. Kami juga membuat artikel rumusan tentang setiap Ultraman utama dari era Showa dan Heisei yang anda boleh baca di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post