Genre “turn-based strategy” telah menghasilkan pelbagai permainan video bagus dan merupakan salah satu genre terkenal dalam industri permainan video kerana keupayaannya untuk membuat pemain berfikir dan merancang pergerakan seterusnya dengan tepat. Melihat strategi kami berjalan dengan lancar pasti menimbulkan kepuasan tetapi apa akan jadi jika rentak permainan sentiasa berubah sehingga anda pun perlu menukar strategi tiap kali?
Di sini saya ingin mengulas tentang Wheel of Fate, sebuah game turn-based strategy unik oleh studio UDX International yang pembangunannya diketuai oleh veteran industri, Miles Holmes. Sebelum saya mula ulasan ini, saya ingin anda semua tahu serba sedikit tentang game ini. Selepas mara ke pusingan akhir Ubisoft Indie Series, pihak pemaju Wheels of Fate memulakan kempen Kickstarter yang dibiayai dalam masa kurang dari 24 jam! Kini game tersebut sudah boleh didapati di PC melalui Steam untuk anda semua. Satu pencapai yang memang sangat hebat! Baiklah. Mari kita mulakan ulasan!
Kembalikan keamanan kepada dunia sebagai Avatar of Fate
Wheel of Fate mengisahkan seorang wira (iaitu anda), yang ditugaskan untuk menyelamatkan dunia Providence daripada kuasa Fateless dan Affliction. Anda bermula sebagai karakter yang lemah dan ketika menghadapi lebih banyak cabaran di Labyrinth, akan secara beransur-ansur menjadi Avatar of Fate yang hebat. Kemajuan anda sebenarnya mencerminkan bandar Kismet’s Fall: sebuah bandar kecil dengan kemampuan untuk menjadi salah satu pusat berkuasa di dunia. Sebagai Avatar of Fate, anda harus memimpin dan melindungi bandar ini dengan betul. Jika dilakukan dengan betul, penduduknya akan gembira dan produktif, lalu boleh membantu anda daripada pelbagai aspek.
Nikmati pengalaman permainan dinamik yang dipengaruhi oleh The Wheel of Fate
Jelas, permainan ini berkisarkan sebuah “roda”. Tetapi ini bukan sembarangan roda! Ini adalah roda yang bertindak sebagai tuan Labyrinth sendiri. Apabila roda berpusing, hasil pusingan itu mempengaruhi seluruh dunia dan mengubah permainan secara dinamik. Untuk memudahkan anda semua faham, roda ini dilengkapi dengan kemampuan pembelajaran. Keupayaan ini membolehkan roda menyesuaikan diri kepada permainan, persekitaran, “loot“, musuh dan pilihan dialog, yang bakal menentukan kemajuan dalam permainan! Dalam erti kata lain, pilihan yang anda buat dalam satu “playthrough“, akan berubah di “playthrough” seterusnya.
Pengurusan bandar adalah bahagian yang penting dalam Wheel of Fate dan anda harus menjaga Kismet’s Fall dengan kasih sayang yang sama seperti Avatar. Anggaplah populasi penduduk sebagai taraf kemajuan dan bangunannya sebagai peralatan atau abiliti anda. Dengan sejarah, penampilan dan tujuan yang unik serta wataknya yang menarik, Kismet’s Fall mempunyai pelbagai rahsia tersembunyi. Semuanya bergantung kepada pemain untuk maju bandar mereka!
Sistem Active Response Battle dan pilihan watak yang berbeza!
Pertempuran akan berlaku secara turn-based, dengan sistem Active Response Battle. Walaupun seronok dan mudah, sistem ini mencabar kemahiran aktif pemain. Sistem ini membolehkan pemain mengubah permainan daripada pertempuran masa nyata yang menampilkan aksi dinamik, kepada pertempuran turn-based yang lebih strategik. Anda perlu menguasai kemahiran setiap anggota pasukan dan mengalahkan musuh menggunakan pemilihan strategik, koordinasi dan pelaksanaan tepat untuk melipat gandakan output serangan sambil mengurangkan kecederaan.
Di Wheel of Fate, anda bermula sebagai seorang custom Avatar yang terdiri daripada puak Ashar, Ikara, Rovar dan Veikar. Pertama sekali, pemain mampu mengubah suai Avatar ikut sesuka hati manakala watak sokongan terdiri daripada kaum dan kelas yang unik yang bertarung dan bertindak dengan gaya permainan pilihan pemain. Berikut adalah senarai kelas:
- Champion: Pahlawan jarak dekat yang melepaskan serangan kombo dan serangan AOE.
- Arcanist: Ahli sihir yang menggunakan serangan jarak jauh untuk membunuh semua musuh di hadapan.
- Chosen: Kelas yang sukar untuk dibunuh, dan dapat membantu pasukan dengan menghalang serangan musuh.
- Ranger: Pemburu yang mengkhususkan diri dalam serangan abiliti jarak jauh untuk melakukan kecederaan besar pada musuh.
Sepanjang perjalanan, anda bertemu dengan pelbagai watak sokongan yang boleh ditambah atau dikeluarkan daripada parti pada bila-bila masa. Pemain mempunyai kawalan sepenuhnya untuk majukan watak sokongan seperti memilih peralatan atau abiliti. Kelebihan ciri ini adalah apabila anda mempunyai akses ke watak sokongan baru, anda boleh memilih untuk menguatkan mereka ke arah yang berbeza dengan melengkapkan abiliti baru atau kemampuan pasif yang berbeza daripada ahli pasukan lain. Untuk memastikan parti sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa-apa cabaran, anda perlu menyelesaikan Companion Quest. Setiap Companion Quest akan meningkatkan kekuatan ahli pasukan tertentu secara kekal dengan beberapa item eksklusif atau abilti baru.
Kesimpulan
Wheel of Fate adalah game RPG yang unik di mana AI-nya yang sentiasa mengubah suai rentak permainan pasti akan menguji anda selaku Avatar of Fate. Aspek ini, bersama dengan input aktif dalam pertempuran, membuat saya sentiasa menunggu untuk apa yang bakal berlaku seterusnya dalam permainan. Secara keseluruhan, saya menikmati setiap detik dan sekiranya anda peminat “RPG turn-based old school“, saya mengesyorkan anda mencuba Wheel of Fate.
@gamersantaimy
The Review
Wheel of Fate
Wheel of Fate adalah game RPG yang unik di mana AI-nya yang sentiasa mengubah suai rentak permainan pasti akan menguji anda selaku Avatar of Fate.
Discussion about this post