Semasa Summer Game Fest, Koei Tecmo dan pembangun Omega Force telah mengumumkan Attack on Titan 3. Game anime ini sedang dibangunkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC (Steam), dan Nintendo Switch 2.
Kehadiran sekuel ini sebenarnya memberi kejutan besar, memandangkan sudah lapan tahun sejak Attack on Titan 2 dilancarkan pada tahun 2018. Walaupun game sebelum ini hanya mengikuti jalan cerita anime sehingga musim ketiga, Attack on Titan 3 direka sebagai sebuah adaptasi lengkap dan muktamad. Buat pertama kali, pemain dapat mengikuti keseluruhan jalan cerita manga dan anime karya Hajime Isayama, bermula dari fasa awal Survey Corps sehinggalah kepada pengakhiran dramatik dalam episod-episod terakhir.

Omega Force, yang terkenal dengan hasil kerja mereka menerusi Dynasty Warriors, kembali menerajui projek ini. Pemain akan bertarung menentang para Titan menggunakan sistem Omni-Directional Mobility (ODM) gear yang dinaik taraf. Pihak studio menjanjikan bahawa penambahbaikan ini akan menjadikan combat di udara lebih akrobatik. Selain menceritakan semula kisah utama, game ini juga akan memperkenalkan kandungan naratif serba baharu untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang watak-watak dan latar belakang mereka.


Walaupun pihak pembangun tidak berkongsi tarikh pelancaran khusus, mereka mengesahkan bahawa satu sesi livestream khas yang dijadualkan pada 1 Julai akan membawakan lebih banyak maklumat lanjut. Siaran tersebut bakal menampilkan penampilan tetamu khas, termasuklah Yui Ishikawa (pelakon suara Mikasa Ackerman) dan Shiori Mikami (pelakon suara Krista Lenz).








Discussion about this post