Memang jaranglah untuk saya menangis selepas tonton sebuah filem sedih walaupun ia sepatutnya “heavy-drama”, tetapi jujur saya tidak menyangka Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna mampu buat air mata saya jatuh. Ini cerita benar wahai kawan-kawan.. Sebagai filem Digimon Adventure terbaru dan terakhir -bagi DigiDestined pertama- Last Evolution Kizuna kini dibuka di pawagam GSC Malaysia bermula 1 Julai yang lalu. Saya membesar dengan menonton Digimon sebagai salah satu anime kegemaran dan apabila dapat tahu ia akhirnya keluar di Malaysia, saya merasa bertuah untuk menonton pengembaraan mereka buat kali terakhir.
Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna adalah penamat untuk sebuah kisah yang bermula 20 tahun yang lalu dalam Digimon Adventure yang pertama. Oleh itu, ia mempunyai penekanan emosi yang besar apabila kita harus mengucapkan selamat tinggal. Bagi peminat siri, anda tidak perlu rasa kecewa atau marah, kerana filem ini menjadikan perpisahan itu sebagai unsur yang penting dalam jalan cerita.
Peringatan terakhir, ulasan ini mempunyai spoiler! Jika anda belum menonton Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna dan dan tidak ingin jalan cerita dibocorkan, saya sarankan anda untuk berhenti sekarang. Jika anda tidak kisah, teruskan membaca.
Sinopsis
Berlangsung 5 tahun selepas peristiwa Digimon Adventure tri, kumpulan DigiDestined yang kita semua sayang semakin membesar dan telah menjadi anggota masyarakat yang produktif. Kita dapat lihat Taichi dan Yamato berjumpa di bar Jepun sambil membincangkan apa yang akan mereka lakukan selepas universiti, Hikari dan Takeru sedang menghadapi tahun pertama di universiti, Izumi adalah CEO untuk syarikat teknologinya sendiri, Mimi mengasakan perniagaan E-commerce, dan Sora mengikuti jejak keluarga untuk menyusun bunga. Namun, tanggungjawab sebagai DigiDestined tetapi diteruskan. Digimon liar masih muncul di dunia dan ia jatuh kepada mereka untuk melindungi Jepun.
Babak permulaan adalah opening yang hebat dan penuh nostalgia. Ia menjelaskan keseluruhan latar belakang filem dan memperkenalkan konsep baru termasuk watak-watak sedia ada. Parrotmon sebagai musuh pertama hanya menambah lagi perasaan nostalgia ini, dan peminat tegar sahaja yang akan tahu kerana dia juga antara antagonis di filem Digimon Adventure pertama.
Baiklah! Saya sambung cerita.. Seorang saintis Amerika bernama Menoa Bellucci dan pembantunya, Imura Kyotaro, memberitahu Taichi, Yamato, Koshiro dan Takeru yang hubungan antara DigiDestined dan Digimon tidak kekal selama-selamanya. Untuk memburukkan lagi keadaan, DigiDestined lain di seluruh dunia menjadi sasaran dan jatuh ke dalam koma -di mana kesedaran dan Digimon mereka diambil oleh Digimon misteri bernama Eosmon. Menoa meminta pertolongan Taichi dan gengnya untuk menyelesaikan apa yang berlaku.
Satu perkara penting yang saya ingin jelaskan sekarang ialah tempoh masa DigiDestined dan pasangan Digimon mereka sebenarnya terbatas dan evolusi memendekkan lagi masa ini. Taichi dan Yamato tidak mempunyai masa yang banyak sebelum mereka terputus hubungan dengan Agumon dan Gabumon, tetapi tetap memilih untuk menyelamatkan dunia. Satu lagi perkara yang saya ingin beritahu ialah tidak semua DigiDestined dapat dikumpul kerana masing-masing ada tanggungjawab mereka sendiri. Hanya Agumon, Gabumon, Tentomon, dan Patamon dipilih untuk melawan Eosmon dan jika anda berharap dapat melihat Digimon lain dalam filem ini – mereka hanya membuat kemunculan di hujung filem.
Pada saat klimaks, kita belajar yang Menoa sebenarnya adalah orang jahat dan Imura (nama sebenar ialah Yamada Kyotaro) bekerja untuk FBI dan sedang menyiasat Menoa. Menoa ialah dalang sebenar di sebalik penculikan DigiDestined, dan menyimpan mereka di atas pulau buatan sendiri dalam dimensi digital. Mengapa Menoa menjadi jahat? Rupanya, dia pun salah satu DigiDestined sebelum acara-acara di Digimon Adventure 01. Menoa mempunyai pasangan Digimon bernama Morphomon tetapi hubungan mereka mencapai had lalu Morphomon lenyap di depan matanya.
Taichi dan Yamato sedar bahawa mereka harus evolusikan Agumon dan Gabumon untuk menyelamatkan semua orang. Walaupun tahu risiko mereka harus berpisah itu besar, Taichi dan Yamato membenarkan Agumon dan Gabumon untuk berubah kepada bentuk istimewa bernama Agumon: Bond of Courage dan Gabumon: Bond of Friendship. Secara keseluruhan, rekaan mereka berubah dan evolusi ini lebih kuat daripada Omegamon.
Selepas dunia diselamatkan sekali lagi dan di penghujung filem, kita lihat adegan menyayat hati di mana Taichi/Agumon dan Yamato/Gabumon berbual buat kali terakhir. Selepas kedua-dua Taichi dan Yamato sedar apa mereka ingin buat pada masa depan, mereka toleh dan… Agumon dan Gabumon telah lenyap. Memang saya pun nangis di sini. Nasib baiklah, Taichi dan Yamato tidak putus asa dan bertekad untuk bertemu dengan Digimon mereka sekali lagi. Maka, tamatlah Last Evolution Kizuna.
Apa yang kurang?
Banyak yang perlu dibincangkan tentang kekurangan Last Evolution Kizuna. Di sini ia buat kesilapaan yang sama seperti siri filem tri iaitu memperkenalkan konsep atau idea baru tanpa menjelaskan sepenuhnya latar belakang. Adakah penamat di Digimon Adventure 02 canon? Di epilog anime 02, kita dapat melihat Taichi menjadi usahawan yang berjaya dengan Agumon di sisi bersama DigiDestined lain. Selain itu, apakah peranan sebenar Gennai di Last Evolution Kizuna? Adakah ini versi yang baik atau jahat? Dark Gennai merupakan salah satu antagonis di siri filem tri tetapi berjaya dikalahkan oleh Taichi dan rakan-rakan. Di Last Evolution Kizuna, dia membuat kemunculan tetapi kita tidak tahu secara spesifik jika ini Gennai yang baik atau jahat. Ada banyak lagi “plot hole“, tapi itu takkan dibincangkan di sini.
Anda mungkin sedar bahawa ulasan ini hanya fokus pada Taichi/Agumon dan Yamato/Gabumon serta jarang sebut tentang DigiDestined atau Digimon lain. Selaku duo paling hebat, tidak hairanlah mereka mendapat peranan utama. Cuma, saya sedikit kecewa kerana tidak dapat melihat lebih lagi untuk watak-watak, dengan Sora pun hanya ditayangkan kurang daripada 2 minit. Hakikatnya, DigiDestined daripada Digimon Adventure 02 mempunyai peranan yang lebih aktif daripada Sora, Joe, dan Mimi.
Anda semua ingat tak babak epik apabila Digimon berevolusi? Lagu semakin rancak, animasi yang menunjukkan mereka berubah ke bentuk yang kuat… Jangan terkejut, tetapi saya boleh kira dengan satu tangan berapa kali ia keluar di Last Evolution Kizuna. Yang lebih mengecewakan lagi ialah hanya Greymon sahaja dapat adegan tersebut dan Garurumon disisihkan. Mereka mungkin ingin menjimatkan masa kerana adegan epik ini lebih singkat dan kadangkala tidak ditunjukkan semasa Digimon bertukar. Saya yakin anda mempunyai banyak persoalan dan saya minta maaf kerana tidak dapat menjawab satu-satu kerana saya pun keliru. Itu sahaja rasanya kalau saya ingin bercakap tentang kekurangan filem ini kerana ada banyak lagi bagus untuk kita tonton!
Apa yang bagus?
Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna berfungsi sebagai kesimpulan untuk sebuah siri anime yang telah lama berlangsung, dan memberikan peluang terakhir kepada DigiDestined daripada Digimon Adventure 01 untuk menyerlah dengan menjadikan topik membesar dan perpisahan sebagai elemen yang aktif dalam plot cerita. Berbanding semua orang, Taichi dan Yamato diberi peluang yang paling besar untuk menilai kemajuan mereka berbanding versi muda yang menyelamatkan dunia digital dan dunia sebenar. Daripada memberikan kita penamat yang gembira dan cliche, saya lebih suka kesimpulan ini kerana ia mengajar kita bahawa setiap perkara akan tamat dan bagaimana untuk hadapi proses ini.
Daripada aspek animasi, Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna adalah peningkatan yang bagus untuk animasi berbanding siri Digimon Adventure pertama. Pasukan animasi di Toei Animation, di bawah arahan Tomohisa Taguchi menggunakan siri dan filem lepas sebagai rujukan untuk evolusi Digimon, reka bentuk utama seperti seni untuk watak-watak (meniru filem Our War Game), dan persekitaran untuk menimbulkan rasa nostalgia dalam cara yang baik.
Filem ini juga merujuk kepada watak pada masa lalu untuk mewujudkan sebuah jalan cerita yang berterusan dan kesan global pada dunia fiksyen ini kerana kehadiran Digimon. Sebahagian daripada animasi yang diperbaharui adalah kesan ‘outline’ putih pada watak-watak daripada warna hitam yang biasa kita lihat. Ini memberikan gaya visual menarik yang amat jauh berbeza daripada siri pertama atau filem tri. Last Evolution Kizuna juga tidak takut mengubah gaya animasi untuk memberi lebih banyak kesan atau emosi ke dalam adegan-adegan tertentu.
Pendapat
Last Evolution menutup saga Digidestined pertama dalam cara paling tidak sangka, dan memberikan ruang untuk siri reboot, Digimon Adventure: membuat kemunculan. Bagi peminat otai yang membesar sekali bersama DigiDestined dan pasangan Digimon mereka, ini adalah penamat menyayat hati yang menunjukkan asam garam kehidupan dan mengajar kita untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keseronokan, rakan-rakan, dan memori yang memenuhi masa muda kita. Walaupun ia agak sukar bagi mereka yang baru menonton untuk memahami semua yang sedang berlaku dalam filem, ia tetap menjadi epilog terbaik untuk watak-watak kesayangan 01.
Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna kini dibuka di pawagam GSC Malaysia dan jika anda tidak ingin pengembaraan ini berakhir, tontonlah anime reboot terbaru. Untuk maklumat lanjut, anda boleh klik di sini. Di sini, saya ingin tamatkan ulasan filem Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna, dan berharap anda semua rasa apa yang saya lalui semasa menonton “masterpiece” ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post