Dicipta oleh Darril Arts, dibangunkan oleh Stormind Games, dan diterbitkan oleh Modus Games, Remothered: Broken Porcelain adalah sekuel yang menghampakan dan cacat untuk Remothered: Tortmented Fathers pada 2017. Sepanjang masa saya bermain, saya berasa terlalu kecewa dan marah. Permainan ini mempunyai banyak masalah, termasuk penyampaian naratif, pilihan reka bentuk yang dipersoalkan, dan pelaksanaan keseluruhan semua elemen. Mengapa saya terlalu banyak isu? Mari baca penjelasan saya dalam ulasan ringkas ini.
Kengerian pada naratif
Jalan cerita Remothered: Broken Porcelain adalah rangkaian watak dan peristiwa yang berkait antara satu sama lain, tetapi keseluruhan naratif berpusat pada Jennifer, seorang gadis muda yang bekerja di Ashmann Inn. Selepas bunyi metronome di atas pembesar suara, Jennifer mendapati dirinya terperangkap dalam mimpi buruk di mana pengasuh, pemilik, dan rakan-rakannya berusaha untuk membunuhnya. Pada saat-saat penting dalam cerita, semuanya kembali normal, dan ini memberikan Jennifer masa pendek untuk berehat daripada diburu, tetapi ia tidak kekal lama. Selama berusaha untuk bertahan hidup, Jennifer berjuang untuk membongkarkan apa yang sedang berlaku di Ashmann Inn sambil melarikan diri dan mencari tahu siapa diri sebenarnya.
Antara masalah pertama dengan naratif timbul ketika cerita melonjak ke belakang dan ke depan dalam masa yang berlainan untuk peristiwa yang berbeza. Dalam 1 jam pertama permainan, beberapa cutscene dimulakan dengan “Some Years Earlier“, “A Few Years Later” dan “A Few Months Before“. Saya sebenarnya suka elemen time travel dan jalan cerita yang rumit, tetapi penyampaian cerita dalam Broken Porcelain tidak teratur. Contoh awal adalah ketika Jennifer dipanggil ke pejabat Ashmann. Ashmann, yang merupakan pemilik Ashmann Inn, menegur Jennifer mengenai peristiwa yang saya tidak akan ceritakan kerana takut spoiler. Adegan tiba-tiba berakhir dan pemain kembali mengawal Jennifer. Pada masa ini, saya tidak jelas di mana Jennifer harus pergi, apa yang harus dilakukannya, atau jika cutscene itu sebenarnya sudah tamat atau belum.
Untuk memburukkan keadaan lagi, penyampaian cerita tidak memuaskan hati pemain yang ingin tahu. Ia sering muncul dalam eksposisi yang cepat dan pemain tidak diberi masa untuk mencerna atau memikirkan maklumat ini sebelum naratif seterusnya bermula.
Ini hanyalah struktur dan penyampaian. Jika saya fikir tentang jalan cerita, ia agak serabut. Walaupun ada beberapa saat-saat menarik dan kisah yang ditulis dengan baik di sini, kebenaran yang ditemui tidak pernah diberi masa untuk bernafas. Cerita yang rumit boleh wujud dalam media permainan video, tetapi ia perlu diceritakan dengan baik.
Gameplay seolah-olah mimpi buruk
Ketika saya memikirkannya, terdapat beberapa keputusan dan pelaksanaan reka bentuk gameplay teras yang mengelirukan. Tidak ada sistem yang berfungsi dengan baik dan kebanyakannya merasa pelik untuk digunakan. Ia seolah-olah terlalu banyak ciri atau fitur yang ditambahkan ke dalam permainan. Terdapat sistem survival-horror di mana anda mesti mengelak dan bersembunyi, sistem crafting untuk mengalihkan perhatian musuh, kemampuan yang membolehkan pemain mengawal rama-rama, dan skill tree yang harus ditingkatkan dengan menggunakan skill point. Terlalu banyak yang berlaku dan semua terasa seperti tidak dihasilkan dengan sempurana.
Saya akan mulakan dengan elemen survival-horror. Bersembunyi daripada hantu dalam sebuah permainan seram memerlukan AI bagus yang boleh kita ramalkan corak pencariannya. Dalam Broken Porcelain, AI si stalker atau hantu tidak berfungsi dalam cara yang meningkatkan pengalaman seram dan tension.
Pada beberapa kali, saya tanpa sengaja telah mendedahkan lokasi kepada musuh, tetapi di sini, kita hanya perlu berlari dan bersembunyi di dalam kotak berdekatan. Musuh muncul dan berdiri di depan kotak, lalu memulakan mini game yang keputusannya akan membuat musuh meninggalkan atau menemui anda. Maka, mula lah masalah saya. Setelah mengalahkan mini game, hantu tersebut akan berdiri di kotak, dan enggan pergi ke tempat lain. Pada adegan lain, musuh akan tinggalkan kita, teapi akan berdiri dengan lama di lorong yang saya sorok.
Masalah gameplay juga merangkumi sistem looting dan crafting. Untuk mudahkan cerita, mekanik looting tidak penting sehingga saya rasa tidak perlu untuk digunakan. Jennifer mengambil masa yang terlalu lama untuk membuka almari dan selepas itu, kita harus tekan butang yang tepat untuk menjumpai apa-apa barang. Walaupun dapat membuka almari, anda harus cuba mendapatkan sudut yang betul untuk mengambil apa sahaja yang ada di dalam.
Semua barang yang dikutip dapat digunakan untuk mengalihkan perhatian musuh tetapi kita tidak mempunyai senarai untuk barang yang boleh direka. Anda akan kutip banyak amonia, tali, dan anak patung bayi lalu harus memeriksa menu untuk melihat jika ada apa-apa yang boleh dihasilkan. Sekiranya tidak ada, anda perlu meletakkan salah satu objek ini menggunakan pilihan “throw” di menu, yang pada dasarnya bermaksud kita akan meletakkan objek tersebut di atas tanah. Ia adalah sistem crafting yang kekok dan bertambah lebih teruk selepas saya mendapat tahu bahawa kita hanya dapat membawa tiga objek sekaligus. Sudah tentu, objek-objek ini dapat dikutip semula ketika bermain, tetapi ia akan dibuang dengan satu objek rawak dalam inventori.
Pada satu titik penting dalam cerita, Jennifer digantung di cangkuk daging dan mendapati dia dapat mengawal seekor rama-rama. Ini juga adalah salah satu saat yang paling mengecewakan dalam permainan. Rama-rama ini umpama sebuah bola yang bergerak dengan kelajuan tahap maksimum. Kamera bergoyang dan menjadi huru-hara, sehingga ia mustahil untuk mengawal rama-rama itu. Sekiranya rama-rama terlanggar objek, ia mungkin akan tersekat atau terbang ke arah lain.
Malangnya, Jennifer hanya dapat mengawal rama-rama selama 15 saat sebelum abiliti itu dibatalkan dan berada di fasa cooldown selama 10 saat. Ia terlalu sukar untuk dikawal dengan controller, jadi saya rasa pemain yang menggunakan papan kekunci dan tetikus mungkin ada kelebihan. Pemain konsol seperti saya pasti menghadapi masa yang sukar. Bagi aspek mekanik permainan, rama-rama juga jarang digunakan selain daripada adegan-adegan yang sangat spesifik dalam naratif dan tidak berasa seperti alat yang berguna untuk menangani musuh.
Kemudian, entah dari mana, ada sistem skill tree dengan 9 abiliti berbeza untuk ditingkatkan melalui lima tahap berlainan. Abiliti ini ditingkatkan menggunakan moth key yang berselerak di sekitar lokasi permainan. Abiliti yang ditawarkan termasukan peningkatan pada stamina ketika berlari, memudahkan mini game, dan mengurangkan kebisingan oleh Jennifer semasa bergerak.
Walaupun fakta memberitahu bahawa kita boleh membuat barang untuk mengalihkan perhatian musuh, dan elemen utama adalah lari dan bersembunyi, saya amat terkejut untuk melihat Broken Porcelain mempunyai sistem pertempuran. Jennifer dapat menggunakan barang tajam untuk menikam musuh daripada belakang. Malangnya, tanda butang ini berada di atas kepala musuh, yang bermaksud Jennifer harus berdiri untuk mencapainya. Masalahnya, berjalan dengan tegak pasti akan membuat musuh mendengar anda!
Bertarung dengan isu teknikal
Di luar pilihan reka bentuk dan penerapan mekanik yang buruk, Remothered: Broken Porcelain juga penuh dengan masalah masalah animasi yang rosak, tutorial yang tidak berfungsi, audio yang buruk, dan kawalan yang tidak stabil. Animasi dalam permainan kadang-kala akan rosak dan terasa kakuu. Pada satu adegan, Jennifer tiba-tiba tidak boleh berpusing. Walaupun dia dapat bergerak dan menjelajah dunia sekeliling, pergerakannya telah terkunci ke satu arah. Kemudian, ada satu masa di mana Jennifer tidak boleh langsung bergerak, seperti ketika keluar daripada tempat persembunyian.
Cutscene pun tidak selamat daripada masalah animasi. Terdapat banyak glitch dan pecahan watak yang sering berlaku di skrin. Lip-sync juga tidak tepat, yang tambah buruk dengan penyampaian dialog dan pencampuran audio. Terdapat juga banyak loading screen. Ia akan muncul pada hampir setiap pertukaran adegan, yang menjadi masalah ketika cutscene mungkin berlangsung satu atau dua minit. Ini melambatkan lagi rentak permainan yang memang sudah perlahan.
Walaupun Remothered: Broken Porcelain mungkin bermasalah pada setiap aspek lain, saya dapat menjaminkan bahawa visualnya amat baik. Terdapat konsistensi terhadap reka bentuk watak dan Ashmann Inn yang mampu menimbulkan elemen seram yang lagi tinggi jika semua aspek lain berfungsi.
Pendapat
Secara ringkas, Remothered: Broken Porcelain dikeluarkan dalam keadaan yang belum selesai. Sejak seminggu yang lalu, para pemaju telah mengeluarkan kemas kini baru hampir setiap hari. Walaupun ini adalah yang bagus, ia menimbulkan soalan mengapa ia dilancarkan dengan begitu banyak masalah.
Tetapi bukan setakat bug dan glitch yang menjadikan Remothered: Broken Porcelain sebuah permainan yang teruk. Ia sebenarnya berkaitan dengan reka bentuk teras dan bagaimana sistem ini berfungsi, atau jika saya ingin jelaskan lebih tepat, bagaimana ia gagal untuk berfungsi. Begitulah kisahnya sebuah permainan yang dilancarkan dalam eksposisi yang luas. Seluruh pengalaman seperti kekurangan satu bahagian penting dan tiada kemas kini atau patch yang dapat menyelesaikan masalah ini. Secara keseluruhan, peminat lama pada francais Remothered pun mungkin mempunyai masa yang sukar untuk menghadam permainan yang ditawarkan.
GS Gameplay
Maka, tamat lah ulasan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming! Remothered: Broken Porcelain kini boleh didapati di PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC melalui Steam.
@gamersantaimy
The Review
Remothered: Broken Porcelain
Tetapi bukan setakat bug dan glitch yang menjadikan Remothered: Broken Porcelain sebuah permainan yang teruk. Ia sebenarnya berkaitan dengan reka bentuk teras dan bagaimana sistem ini berfungsi, atau jika saya ingin jelaskan lebih tepat, bagaimana ia gagal untuk berfungsi.
Discussion about this post