Diumumkan oleh Riot Games semasa ulang tahun ke-10 League of Legends, Legends of Runeterra akhirnya menjejak kaki di PC dan mobile lebih awal daripada yang dijangkakan. Berbeza daripada MOBA yang kita semua kenal, Legends of Runeterra merupakan permainan kad strategi di mana kemahiran, kreativiti, dan kepandaian menentukan kejayaan anda. Seperti yang anda tahu, permainan strategi kad digital adalah satu medan pertempuran yang penuh dengan banyak pesaing seperti Magic: The Gathering dan Hearthstone. Di sini saya ingin ceritakan apa yang membuatkan Runeterra istimewa. Mari kita lihat intipatinya!
Legends of Runeterra menampilkan 7 region, 35 champion, dan lebih daripada 400 kad. Memang banyak! Setiap champion pula berasal dari salah satu wilayah utama. Ini terdiri daripada Demacia, Noxus, Freljord, Piltover & Zaun, Ionia, Shadow Isles dan Bilgewater.
Sebelum saya terangkan lebih tentang aspek lain, saya ingin mula dahulu dengan cara-cara untuk bermain Legends of Runeterra. Pemain bergilir-gilir untuk menyerang dan mempertahankan dalam pertempuran “round-based”. Pada permulaan giliran: tetapkan strategi, tingkatkan ofensif, tambahkan pertahanan, atau jimatkan mana-mana kad untuk guna dalam pusingan seterusnya. Apabila kedua-dua pihak sudah bersiap sedia, pertempuran bermula, dengan penyerang meletakkan unit manakala pemain yang bertahan menggunakan kad untuk menghalang.
Dengan setiap pusingan, pemain akan unlock kristal mana tambahan, yang membolehkan mereka memainkan unit dan “spell” yang lebih kuat. Selepas satu pusingan selesai, unit yang dikalahkan akan dikeluarkan dari permainan. Baki “mana” boleh digunakan untuk unit baru bagi membantu anda bersiap sedia untuk pusingan seterusnya, tetapi juga boleh disimpan untuk spell pada giliran seterusnya.
Nexus (kristal yang menjadi HP pemain) hanya mempunyai 20 HP, yang bermakna serangan awal dari dek yang kuat seperti Ionia boleh membuat kamu lihat skrin kekalahan dalam beberapa pusingan sahaja. Walaupun tidak mustahil untuk menunggu dek kamu menjadi kuat atau dalam erti kata lain – late game, kerapuhan Nexus bermakna bahawa sesetengah perlawanan tidak memerlukan strategi jangka panjang.
Sekiranya anda memang peminat lama League of Legends, banyak yang anda boleh menikmati dalam game ini. Pertama sekali, champion daripada LoL akan membentuk teras utama dek anda, dan Riot telah melakukan tugas yang sangat baik untuk menerjemahkan personaliti watak dalam bentuk kad. Seperti versi mereka daripada League of Legends, bermain dengan champion yang berbeza akan mengubah gaya permainan anda. Setiap perlawanan pasti akan berubah mengikut dek yang anda bina berlandaskan kekuatan champion pilihan. Ini memberikan banyak variasi untuk anda mahir demi mengurangkan jumlah HP Nexus kepada sifar.
Setiap champion mempunyai keperluan “level-up” dan ini ditemani oleh sebuah adegan animasi hebat. Ini memudahkan pemain untuk mengenal pasti strategi yang paling sesuai dengan gaya permainan mereka. Sebagai contoh, Braum boleh menambah semula HP dan memilih unit musuh mana untuk menghalangnya. Ini menjadikannya seorang tank yang kebal. Setiap champion boleh “level-up” jika syarat-syarat tertentu mereka dipenuhi, lalu menjadikan mereka lebih kuat dan memperolehi abiliti baru.
Strategi utama yang perlu anda memberi perhatian terletak pada dua elemen iaitu synergy dan masa. Pemain digalakkan untuk membina dek yang menggunakan lebih daripada satu region. Sudah tentu, anda boleh membina dek yang fokus kepada hanya satu wilayah, tetapi kelebihan menambah kad daripada wilayah lain ialah ia dapat menutup kelemahan anda dan menjadikan kad lebih berkesan. Sebagai contoh, sekiranya anda membina dek Frejlord yang tertumpu pada unit dan buff yang banyak, anda mungkin ingin menambahkan beberapa kad Shadow Isles supaya dek mempunyai “spell” untuk menewaskan kad musuh tanpa mengorbankan unit.
Ini bukanlah permainan kad mudah di mana anda boleh bermain membuta tuli. Elemen pertukaran pusingan dan aksi menjadikan firasat atau “timing” sesuatu yang anda harus asah. Apa yang kita buat di atas medan perlawanan sangat penting dan boleh mempengaruhi rentak permainan.
Sekiranya giliran anda tiba untuk menyerang, adakah anda melakukannya dengan segera ketika pihak lawan tidak meletakkan sebarang kad di atas papan untuk menghalang, atau adakah anda akan menunggu sehingga tiba masanya untuk memainkan satu kad yang besar? Sekiranya anda menyerang musuh menggunakan unit paling kuat semasa giliran tiba, kemungkinan besar anda termakan perangkap musuh. Mereka boleh membunuh semua di atas medan perang dengan “spell” yang kuat lalu menyebabkan kekalahan anda.
Sebaliknya, jika anda segera menyerang, anda mungkin terlepas peluang untuk melakukan lebih banyak damage pada musuh. Ini menjadikan strategi anda jauh lebih tidak berkesan. Mengetahui dan meneka kad apa yang pihak lawan akan main pada bila-bila masa adalah faktor yang besar untuk menjaminkan kemenangan anda. Penggunaan “spell” yang tepat, serangan yang kuat, dan reaksi kepada ancaman musuh dalam situasi tertentu membentuk interaksi yang sangat memuaskan dan membolehkan anda mengembangkan sel otak dan bukannya sekadar meletakkan kad baru pada setiap pusingan.
Sejak pertama kali memuat turun, saya lebih menumpukan perhatian kepada mode Ranked. Walaupun saya kalah lebih banyak daripada yang saya menang, motivasti masih kekal untuk terus bermain kerana setiap perlawanan selalu terasa adil – walaupun dek mereka jauh lebih bagus daripada saya. Setiap perlawanan terasa seperti ujian strategi dan dek siapa yang lagi mahal atau berada META tidak menentukan kemenangan.
Mod Expeditions juga amat menarik. Dalam mod ini, anda boleh bermain dua kali bagi setiap penyertaan, dan setiap perlawanan membenarkan pemain untuk membina dek baru. Pada penghujung sesi, perlawanan dengan kad yang lebih berjaya akan menentukan ganjaran anda. Walaupun anda gagal sekalipun, anda masih akan menerima kad champion yang setaraf dengan nilai kemasukan, tetapi memenangi kesemua tujuh perlawanan menghadiahkan beberapa kad yang sangat kuat. Ini menjadikan setiap perlawanan sentiasa segar dan penuh dengan eksperimen, kerana anda harus menggunakan apa yang anda miliki dengan strategi yang sesuai.
Legends of Runeterra menawarkan banyak kelebihan ketika ia memasuki gelanggang permainan kad digital buat kali pertama. Meneroka “universe” League of Legends dalam bentuk kad adalah sesuatu yang menyeronokkan dan boleh bikin ketagihan, manakala mengalahkan pihak lawan dengan champion kegemaran adalah sangat memuaskan.
Memang menarik untuk bermain sebuah permainan kad dengan IP yang terkenal dan sistem permainan yang mudah untuk belajar. Disebabkan Legends of Runeterra bukanlah jenis permainan yang memaksa saya untuk membeli kad jika ingin kuat, ia cepat menjadi antara permainan kad digital kegemaran saya. Walaupun ada beberapa bahagian yang memerlukan penambahbaikan, Legends of Runeterra adalah satu alternatif yang amat dialu-alukan dalam genre di mana tahap kehebatan anda tidak berkait dengan berapa banyak wang yang anda belanjakan tetapi benar-benar mengaplikasikan kekuatan pemikiran otak. Legends of Runeterra kini tersedia di PC dan mobile. Jangan tunggu lagi, ayuh muat turun sekarang!
@gamersantaimy
The Review
Legends of Runeterra
Walaupun ada beberapa bahagian yang memerlukan penambahbaikan, Legends of Runeterra adalah satu alternatif yang amat dialu-alukan dalam genre di mana tahap kehebatan anda tidak berkait dengan berapa banyak wang yang anda belanjakan tetapi benar-benar mengaplikasikan kekuatan pemikiran otak.
Discussion about this post