Siapalah sangka yang francais Kingdom Hearts telah wujud selama hampir 20 tahun? Bersama dengan formulanya ganjil tetapi unik, francais ini menggabungkan dunia Final Fantasy dan francais Disney kepada satu, dan berjaya membuat ramai peminat jatuh cinta kepada formula permainan sehingga hari ini. Dengan kesimpulan Kingdom Hearts III Re Mind pada tahun lepas, kita sudah menamatkan satu saga dalam pengembaraan Sora yang panjang.
Square Enix kemudian fikirkan satu idea: “Apa kita keluarkan satu permainan yang mengumpulkan semua perkara yang terjadi setakat ini, tetapi dalam sistem “rhythm-action??”. Maka, terhasil lah Kingdom Hearts: Melody of Memory, sebuah permainan unik yang mengambil inspirasi daripada siri Theatrhythm Final Fantasy. Daripada gameplay-nya yang action-adventure, permainan ini berjaya membuktikan dirinya sebati dengan genre muzik dan ini adalah ulasan penuh saya.
Latar Belakang, Naratif & Muzik
Walaupun Melody of Memory bukan lah permainan utama dalam francais dan dianggap sebagai spinoff, jalan cerita dalam permainan sebenarnya adalah “canon“. Siri Kingdom Hearts mempunyai plot cerita yang sukar untuk faham kerana melibatkan elemen-elemen seperti klon, realiti alternatif, “time-travel”, dan lain-lain. Malangnya, Melody of Memory pun mempunyai isu yang sama.
Sebahagian besar Kingdom Hearts: Melody of Memory mengisahkan Kairi yang mengimbas semula segala yang terjadi dalam siri. Bagi mereka yang ketinggalan atau tidak mengikuti jalan cerita, kamu mungkin ingin mengelakkan diri daripada bermain kerana terlalu banyak spoiler dalam permainan. Sebuah “rhythm-action” biasanya tidak terlalu terfokus untuk menceritakan naratif secara terperinci, dan Kingdom Hearts: Melody of Memory pun tidak terlalu menumpukan perhatian pada aspek penceritaan, namum memberi perhatian pada pengalaman permainan yang mudah diakses dan seronok.
Kelebihan permainan adalah pada muziknya yang mengagumkan dan nostalgik, terutama lagi jika kita mengikuti permainan sejak pengenalannya di PS2. Ia agak menarik untuk mendengar evolusi lagu Yoko Shimomura selama bertahun-tahun ini, kerana setiap lagu tetap konsisten dengan gaya beliau sambil membawa beberapa elemen baru. Hampir setiap dunia dalam permainan diwakili dalam beberapa bentuk, dan walaupun tidak semuanya menarik, terdapat keseimbangan dalam lagu yang teridiri daripada pelbagai genre.
Sekali lagi saya ingatkan, sesiapa yang bermain Melody of Memory tanpa mengetahui latar belakang cerita tidak akan mengalamai perasaan emosi yang terikat dengan kebanyakkan lagu, tetapi setiap lagu masih seronok untuk dinikmati walaupun anda tidak faham konteks sebenar.
Gameplay asas
Gameplay asas amat sama dengan sistem pertempuran dalam siri utama. Di sini, kita akan mengawal tiga watak yang berlari di sebuah laluan yang dipenuhi dengan Heartless, Nobodies, dan Unversed. Musuh-musuh ini akan keluar mengikut irama muzik, dan pemain diminta untuk menekan butang dengan hati-hati mengikut lingkaran kecil yang muncul di atas kepala musuh ketika mereka mendekati anda. Setiap watak akan berjalan secara automatik di mana yang paling dekat akan menyerang musuh secara automatik selagi anda menekan butang pada masa yang tepat.
Setiap level akan meminta pemain untuk menewaskan musuh satu demi satu ketika mereka muncul, tetapi ada beberapa segmen rancak untuk memastikan gameplay kekal menarik. Sebagai contoh, beberapa musuh akan terbang di udara. Ini bermaksud anda harus melompat menggunakan salah satu watak untuk menewaskan mereka. Kadang kala, sejumlah musuh akan datang menyerang sekaligus, dan ini memerlukan kita menekan dua atau tiga butang pada masa yang sama. Ia mungkin dengar seperti tugas yang mudah, tetapi irama dan intensiti musuh akan membuat setiap segmen ini menarik.
Terdapat tempoh masa yang agak lama untuk setiap input butang, dan kita akan dinilai daripada “Miss” hingga “Excellent” bergantung pada ketepatan anda. Ini kemudian mempengaruhi markah yang menentukan penilaian akhir. Selagi anda berjaya sampai ke penamat level, secara teknikal, kita sudah “menyelesaikannya”, tetapi ada tiga objektif pilihan yang harus dicapai yang memberi anda bintang untuk membuka lebih banyak level baru. Objektif-objektif ini biasanya cukup mudah untuk selesai dan sebagai contoh, akan meminta kita untuk menewaskan semua musuh terbang atau menamatkan level tanpa membuat kesilapan. Jangan silap! Kadang-kadang, ia mempunyai tugas-tugas susah yang memaksa kita untuk mengulangi level berkali-kali hingga pemain berjaya menyelesaikan semua objektif.
Sesungguhnya, fokus pada pengulangan dan ketepatan adalah keseronokan sebenar. Pemain tidak memerlukan masa yang lama untuk melihat setiap level, tetapi anda akan memerlukan lebih banyak masa jika benar-benar ingin sempuran 100%. Setiap level mempunyai tiga tahap kesukaran yang dinilai secara berasingan, dan sudah tentu ketepatan 100% memerlukan anda untuk mencuba level beberapa kali sebelum kita menghafal semua input butang. Oleh itu, ia ditujukan khusus untuk pemain “perfectionist” kerana ini adalah jenis gameplay yang sesuai kepada pemain yang menikmati pengalaman permainan seperti ini.
Walaupun ia adalah permainan “rhythm-action“, Kingdom Hearts: Melody of Memory masih mengekalkan beberapa elemen RPG untuk memperkenalkan unsur “character progression“. Anda boleh memilih salah satu daripada empat pasukan, dan masing-masing akan meningkat level ketika kita menggunakan mereka. Pada masa yang sama, menewaskan musuh juga akan menghadiahkan beberapa sumber yang boleh dibawa ke Moogle untuk menghasilkan peralatan atau barangan penting.
Sejumlah barangan ini sangat praktikal, kerana ia boleh menyembuhkan HP atau meningkatkan EXP berkali ganda. Di samping itu, terdapat beratus-ratus kad untuk diperoleh yang menampilkan seni daripada seluruh siri. Moogle juga dapat menghasilkan item yang memberi akses ke ‘Memory Dive‘, yang dibuka secara eksklusif untuk Free Play Mode.
Setiap Mod Permainan & Tetapan Asas
Sekiranya bosan bermain Story Mode (yang disusun dengan cantik dalam gaya peta dunia di mana kita memandu Gummi Ship), Free Play Mode berfungsi sebagai mod permainan di mana semua level sudah tersedia untuk kita cuba sekali lagi. Di sini, anda bukan sahaja dapat mengubah tahap kesukaran, malah juga dapat mengubah cara permainan untuk lebih banyak variasi. Selain daripada tetapan standard, mereka yang menginginkan pengalaman yang lebih santai, dapat memilih “one-button mode” untuk memudahkan lagi permainan. Sebagai alternatif, pemain yang suka cabaran boleh menggunakan mod sukar yang memperkenalkan lebih banyak input tetapi dapat meningkatkan skor secara besar-besaran.
Bagi mereka yang tidak mahu bermain Kingdom Hearts: Melody of Memory seorang diri, anda pasti gembira untuk dengar bahawa terdapat local dan online mode multiplayer juga disediakan. Ini ialah salah satu cara untuk memudahkan pemain mencari untuk semua kad, dan juga mempunyai sistem leveling berasingan untuk mode dalam talian.
Mode 1v1 adalah fitur yang menarik, kerana kemampuan untuk mengisi meter ‘Trick‘ lalu menghantar segala jenis sihir kepada pesaing. Antara sihir ini ialah seperti menghalang penglihatan pesaing buat sementara waktu atau menghantar isyarat visual palsu. Ia jelas di mata saya bahawa ada banyak kandungan untuk kita berinteraksi dan teroka di Kingdom Hearts: Melody of Memory.
Pendapat
Adakah Kingdom Hearts: Melody of Memory sebuah pemainan video yang menarik? Itu bergantung pada pelbagai faktor berlainan. Ini adalah permainan yang direka khusus sebagai surat cinta kepada peminat lama dalam francais, tetapi ia cuba membezakan diri dengan gameplay utama yang membuat francais terkenal. Sebagai permainan “rhythm-action“, ini adalah spinoff yang menarik, menyeronokkan dan penuh dengan kandungan.
Malangnya, sejumlah besar makna dan daya tarikannya akan hilang bagi pemain yang tidak tahu jalan cerita permainan. Walau apa pun, saya berpendapat bahawa nilai Kingdom Hearts: Melody of Memory lebih tinggi daripada nilai yang kita bayarkan. Dengan gameplay irama muzik yang mengasyikkan, ia mempunyai banyak potensi untuk membuat kita sibuk beratus-ratus jam dengan gameplay-nya yang unik.
GS Gameplay
@gamersantaimy
The Review
Kingdom Hearts: Melody of Memory
Ini adalah permainan yang direka khusus sebagai surat cinta kepada peminat lama dalam francais, tetapi ia cuba membezakan diri dengan gameplay utama yang membuat francais terkenal. Sebagai permainan "rhythm-action", ini adalah spinoff yang menarik, menyeronokkan dan penuh dengan kandungan.
Discussion about this post