Filem yang dinantikan ramai peminat DC The Flash, akhirnya akan mula ditayangkan di Malaysia bermula 14 Jun 2023. Seperti yang dikatakan oleh James Gunn, filem The Flash adalah filem yang akan reboot francais DCEU menjadi DCU. Tetapi bagaimana mereka lakukan dengan menggunakan The Flash?
Review di bawah mengandungi SPOILER!
Tetapi sebelum itu, berikut adalah sedikit petunjuk mengelakkan kekeliruan:
- Barry Allen (O) – Base Timeline (Ben Affleck/Batman, Gal Gadot/Wonder Woman)
- Barry Allen (N) – New Timeline (Michael Keaton/Batman, Sasha Calle/Supergirl)
Synopsis
Dunia telah bertembung dalam “The Flash” apabila Barry Allen menggunakan kuasa besarnya untuk mengembara masa untuk mengubah peristiwa masa lampau. Tetapi apabila percubaannya untuk menyelamatkan keluarganya secara tidak sengaja mengubah masa depan, Barry telah terperangkap dalam sebuah realiti di mana General Zod telah kembali mengancam keamanan dan tiada Superhero untuk membantu.
Melainkan Barry dapat memujuk Batman yang telah bersara dan menyelamatkan Kryptonian yang dipenjarakan walaupun bukan dia yang dicari. Akhirnya, untuk menyelamatkan dunia di mana dia berada dan kembali ke masa depan, satu-satunya harapan Barry adalah untuk berlumba untuk nyawanya. Tetapi adakah pengorbanan ini cukup untuk reset semula alam semesta?
Perjalanan Cerita
Barry Allen telah kehilangan ibunya sewaktu dia kecil dan bapanya pula dipenjarakan atas sebab dituduh membunuh ibunya. Jadi, di dalam filem ini, Barry ingin kembali ke masa sewaktu ibunya hidup dan selamatkan ibu bapanya. Namun, terdapat konflik berlaku di dalam Speed Force selepas dia menyelamatkan ibu bapanya di mana terdapat satu entity yang menolak The Flash keluar daripada Speed Force dan tersangkut di timeline baharu.
Timeline baharu ini wujud selepas dia menyelamatkan ibubapanya. Mereka sekeluarga hidup bahagia, Gotham City adalah bandar yang paling selamat dan Superman langsung tidak pernah wujud di dalam dunia tersebut. Memandangkan dia pun tersangkut di timeline tersebut, dia pergi berjumpa dengan ibubapanya dan menghabiskan masa sebaik mungkin sebelum Barry Allen dunia tersebut muncul.
Selepas Barry Allen(N) muncul, Barry(O) pergi menyembunyikan diri dan membawa Barry (N) pergi naik ke biliknya dan siasat. Pada waktu itu, dia sedar yang timeline tersebut adalah sewaktu umurnya 18 tahun dan masih tidak mempunyai kuasa.
Selepas mengetahui umur, dia langsung menanyakan tentang tarikh pada hari tersebut. Tanpa melengahkan masa lagi, dia membawa Barry (N) ke sebuah makmal di Central City untuk mendapatkan kuasa tersebut.
Barry (N) pun dapat kuasa dan menjadi The Flash tetapi Barry(O) pula kehilangan kuasanya. Keesokan harinya, terdapat berita tergempar yang menunjukkan General Zod telah sampai ke bumi untuk mengambil kembali rakyat Kryptonian yang ada di bumi. Bermula dari sini Barry (O) mula mencari Superman, Wonder Woman, Aquaman dan ramai lagi.
Namun, pencarian tersebut terhenti apabila Barry (O) sedar yang dunia tersebut masih tidak mempunyai Meta human. Nasib menyebelahi mereka apabila mereka mencari Bruce Wayne/Batman (Michael Keaton) dan berjumpa dengannya.
Selepas Batman bersetuju untuk membantu mereka, mereka mula mencari Superman dan akhirnya jumpa sedikit petunjuk yang makhluk Kryptonian tersebut berada di penjara Rusia. Walau bagaimanapun, Superman yang dicari itu tiada tetapi hanya ada seorang perempuan yang telah terkurung.
Rupanya-rupanya perempuan yang diselamatkan itu adalah Supergirl yang bernama Kara Zor-El, sepupu kepada Superman. Tidak lama kemudian mereka kembali ke US dan langsung tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengalahkan General Zod. Selepas Supergirl mengumpul tenaga dan pulih, dia telah pergi berjumpa dengan General Zod. Malang sekali General Zod telah mengumumkan perang bersama penduduk bumi pada ketika itu.
Dalam masa yang sama, Barry (O) sedang cuba mencari jalan untuk mendapatkan kuasanya kembali dan Bruce (Michael Keaton) ingin membantu dia. Dengan segala ilmu yang mereka berdua ada, mereka cuba untuk menarik pancaran kilat dan salurkan kepada Barry (O). Percubaan tersebut telah gagal tetapi Supergirl mempunyai rancangan lain dan membawanya naik ke langit dan mereka berdua telah dipancar oleh kilat.
Akhirnya, Barry telah mendapatkan kuasanya kembali dan bersedia untuk beraksi. Semasa tiba di medan perang menentang General Zod, kedua-dua Barry Allen berlawan dengan askar-askar kecil dan Batman pula berlawan dari langit dengan menggunakan Batplane.
Rancangan mereka adalah untuk melengahkan masa untuk Supergirl berlawan dengan General Zod. Malang sekali rancangan itu tidak berjaya dan Batman bersama Supergirl telah mati. Kedua-dua The Flash telah cuba untuk menyelamatkan mereka berdua dengan memasuki Speed Force dan mengundurkan masa. Tetapi, hasilnya tetap sama. Mereka berdua tetap mati tidak kira berapa kali pun The Flash cuba menyelamatkannya.
Selepas mencuba untuk menyelamatkan mereka berdua, The Flash (O) akhirnya sedar yang perbuatan itu salah dan dunia itu memang akan mati tidak kira apa yang berlaku. Namun, The Flash (N) memasuki Speed Force dan cuba untuk menyelamatkan dunianya banyak kali tetapi nasib memang tidak menyebelahinya dan gagal tidak kira apapun.
The Flash (O) cuba menghalang perbuatan The Flash (N) dan perbalahan diantara mereka pun bermula. Dan munculnya kembali entity yang menolak Barry (O) ke dalam timeline baru itu. Rupa-rupanya, entity tersebut adalah The Flash (N) yang telah berulang kali masuk keluar Speed Force untuk menyelamatkan dunia tersebut. Dia telah menjadi sangat tua dan rupanya langsung tidak seperti The Flash.
Dalam masa yang sama, mereka juga dapat melihat yang timeline lain berlanggar diantara satu sama lain dan dunia-dunia tersebut pun bakal musnah. Semasa dunia hampir hancur, banyak cameo yang telah ditunjukkan.
Mereka bertiga berbalah dan entity tersebut ingin membunuh The Flash (O) tetapi The Flash (N) menyelamatkannya dan terbunuh di dalam Speed Force. Memandangkan Entity tersebut adalah The Flash (N), dia pun telah mati selepas dia membunuh The Flash (N).
The Flash (O) kembali ke timelinenya dan mengubah balik masa di mana ibunya mati dan bapanya dipenjarakan. Tetapi apa yang Barry buat adalah daripada menyelamatkan ibunya, dia pergi menyelamatkan bapanya daripada dituduh membunuh isterinya sendiri.
Namun, perubahan yang dilakukan oleh Barry sebenarnya telah mengubah timelinenya sendiri di mana Bruce Wayne di dunianya adalah bukan lakonan Ben Affleck tetapi adalah lakonan George Clooney di dalam filem Batman & Robin pada tahun 1997.
Pada pendapat saya, perjalanan cerita filem ini agak menarik dan masih mudah difahami walaupun mereka memperkenalkan konsep Multiverse dan Time Travel buat kali pertama di dalam francais DC. Filem ini juga memperkenalkan sedikit mengenai multiverse dan bagaimana ia berfungsi tetapi saya rasa, mereka tidak cukup untuk menekankan lagi dalam bahagian Time Travel.
Di dalam filem ini, kita akan melihat yang The Flash akan masuk ke dalam Speed Force dan mengembara masa yang lalu dan juga ke hadapan. Tetapi apabila dia melakukan sedikit interaksi dalam masa lampau, universe baru akan muncul. Dalam masa yang sama, terdapat satu kesan yang boleh menyebabkan dunia hancur semasa melakukan perkara tersebut seperti apa yang ditunjukkan di dalam filem ini.
Cameo
Di dalam filem ini, banyak cameo yang dilakukan oleh Warner Bros. Terutama sekali adalah watak-watak Superman lama seperti lakonan Christopher Reeve dan Nicolas Cage.
Selain daripada Superman, terdapat juga watak Batman seperti George Clooney dan ramai lagi. Saya rasa cameo seperti ini sangat penting lagi-lagi untuk peminat-peminat DC di luar sana kerana dapat merasakan sedikit rasa nostalgia.
Aksi
Dari awal sehingga habis, filem ini penuh dengan aksi yang tidak membosankan. Lagi-lagi dengan watak The Flash yang memerlukan efek “slow motion” pada aksinya, sudah pasti ia berhasil untuk menjadikan saya kagum semasa menontonnya. Terutama sekali semasa The Flash (O) menyelamatkan bayi-bayi dalam kejadian rompakan di Gotham City General Hospital dalam permulaan filem. Saya sememangnya kagum dengan aksi-aksi seperti itu.
Selain itu, lawak-lawak yang mereka cuba ketengahkan adalah sangat baik dan langsung tidak rasa janggal jika nak dibandingkan dengan filem Shazam yang telah ditayangkan pada bulan Mac yang lepas. Saya boleh katakan yang lawak-lawak mereka tidak hambar dan dapat disampaikan dengan sangat baik.
CGI & VFX
Walau bagaimanapun, saya dapat merasakan yang CGI yang digunakan adalah terlalu banyak dan menjadikan filem ini agak kurang sentuhan dari segi lakonan sebenar. Saya faham yang CGI itu akan membuatkan filem-filem seperti ini jadi lebih menonjol.
Tetapi terdapat beberapa adegan yang agak pelik bagi saya. Contohnya seperti di dalam Speed Force di mana mereka menggunakan terlalu banyak CGI untuk menunjukkan apa yang sedang berlaku di dalam timeline tersebut.
Namun, VFX yang diberikan kepada beberapa adegan sudah pasti agak cantik dan langsung tidak menampakkan ia pelik. Seperti kilat-kilat yang dikeluarkan oleh watak The Flash, saya rasa ia sangat sempurna dan kena dengan situasi di mana kedua-dua The Flash membuat kombo semasa mereka bertempur dengan askar-askar General Zod.
Kesimpulan
Pada pendapat saya, filem ini adalah sangat sesuai untuk reboot DCEU kepada DCU kerana The Flash mempunyai kebolehan untuk menukar segala kemungkinan yang ada di dunia. Dengan hanya melakukan sedikit interaksi, dia boleh mencipta satu timeline baharu dan mungkin akan memusnahkan dunia.
Filem ini juga mengetengahkan konsep Multiverse dan Time Travel tetapi saya rasa agak mereka hanya memerlukan beberapa sentuhan di dalam konsep time travel untuk menjadikan filem ini lebih baik.
Prestasi Ezra Miller sebenarnya sangat mengagumkan, dia bukan membawa satu watak tetapi dua watak dan kedua-duanya sangat menjadi. Memandangkan saya agak kurang tertarik dengan lakonannya sebelum ini, filem ini nampaknya berjaya untuk mengetengahkan lagi bakat Ezra Miller. Saya setuju dengan apa yang pengarah filem ini katakan di mana “Tiada siapa yang boleh menggantikan Ezra Miller di dalam The Flash, jika terdapat sekuel”.
Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan The Flash kerana mereka dapat menonjolkan bakat Ezra Miller sebagai seorang superhero di dalam filem ini. The Flash juga boleh menjadi contoh yang baik kepada filem-filem DCU selepas ini. Memandangkan timeline DCEU pun telah diolah semula, harapnya banyak lagi filem DCU selepas ini akan menyentuh bahagian Multiverse dan Time Travel lagi.
The Flash akan bermula ditayangkan di Malaysia bermula 14 Jun 2023 di GSC dan TGV Cinemas Malaysia.
Untuk mendapatkan lebih banyak review mengenai game, filem dan teknologi, sila ke pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post