Supermassive Games telah kembali dengan game terakhir untuk The Dark Pictures Anthology Season 1. Bertajuk “The Devil in Me”, kita dibawa melihat sebuah kisah yang diinspirasikan oleh pembunuh bersiri Amerika, H.H. Holmes. Berbeza daripada entri terdahulu betul tidak? Jadi nak tahu game ini best atau tidak, teruskan membaca!
Gameplay dan Mekanik baru
Terdapat tiga mod yang boleh digunakan untuk mengalami kisah thriller kali ini. Antaranya mode solo, shared story dan movie night mode. Mode solo merupakan mod untuk anda bermain seorang diri, shared story pula anda bermain secara berdua manakala movie night pula lebih kepada bermain secara berkumpulan. Untuk bermainnya, anda hanya perlu berkongsi controller semasa bermain. Jadi kepada anda yang jenis mudah takut, bolehlah manfaatkan mode shared night dan movie night ini.
Seperti entri terdahulu, mekanik gameplay The Devil in Me sangat mudah difahami. Bukan setakat itu sahaja, terdapat penambahan yang diberikan. Elemen QTE (Quick Time Event) masih lagi wujud dalam game ini. Anda hanya perlu menekan butang yang dipamerkan pada skrin. Kadang-kadang kalau terlepas QTE, watak yang anda pegang mungkin boleh maut. Jadi kena peka sedikit semasa QTE. Bukan setakat itu sahaja, akan ada pilihan yang anda perlu buat untuk memastikan watak terus hidup.
Nasib baik ada “Premonition”. Inilah yang membantu kita untuk mengelakkan watak kita terbunuh semasa main. Kita akan diberikan visi yang menunjukkan perkara buruk yang akan berlaku kepada watak. Dengan visi tersebut, anda boleh elak perkara-perkara buruk yang akan berlaku nanti.
Ada beberapa penambahan baru pada mekanik game ini. Kini, setiap watak mempunyai item unik tersendiri, di mana ia akan membantu watak semasa meneroka. Seperti yang kami ceritakan dahulu dalam preview, Charlie boleh menggunakan kad untuk membuka laci yang terkunci, manakala Erin mempunyai peralatan audionya untuk mendengar bunyi di sebalik dinding. Selepas itu, kita ada James dengan kameranya, Kate yang sering membawa pensel untuk menyunting skrip dan multimeter yang dibawa oleh Jamie untuk pendawaian litar.
Kalau entri dahulu, anda banyak berjalan sahaja, tetapi Supermassive Games memberikan sedikit tambahan menarik. Kini anda boleh berlari, melompat, merangkak, berselindung dan juga mengimbang badan. Anda juga boleh menggerakkan beberapa item untuk menyelesaikan puzzle dalam hotel tersebut. Terdapat bilik-bilik terbuka yang boleh diteroka untuk mendapatkan coin ataupun maklumat lain untuk dikumpul. Kami syorkan anda untuk tidak abaikan satu pun bilik ini sebab ianya mungkin tidak boleh lagi diakses selepas itu. Dengan hotel tersebut mempunyai dinding-dinding bergerak, laluan anda pasti akan berubah dan susah untuk pergi ke bilik tersebut semula. Jadi masuk sahaja segala bilik yang tidak berkunci.
Visual
Kami bermain The Devil in Me menggunakan PS5, jadi memang grafiknya kaw-kaw cantik. Tetapi kalau nak dibandingkan dengan The Quarry, ia tidaklah mempunyai kualiti yang sama. Watak-wataknya juga kelihatan lebih kaku dan kurang emosi. Lebih-lebih lagi apabila watak-watak bercakap antara satu sama lain. Pelik melihat mara mereka seperti memandang ke arah atas dan tidak melihat pada watak lain. Ini membuatkan adegan mereka kelihatan agak kekok.
Tetapi persekitaran game memang mantap. Dengan koridornya seperti maze dan penuh dengan perangkap. Boleh terasa vibe seperti filem The Shining dan SAW. Tidak dilupakan juga patung-patung animatronic dalam hotel tersebut. Benda inilah yang selalu memberikan kejutan semasa bermain.
Plot
The Devil in Me membawa kita mengikuti kisah krew Lonnit Entertainment yang dijemput ke sebuah hotel replika milik pembunuh bersiri, H.H. Holmes “World’s Fair Hotel”. Memandangkan rancangan mereka tidak mendapat sambutan, Charles dengan laju menerima jemputan tersebut tanpa berbincang dengan ahli krew lain. Dia juga berfikir ia merupakan idea baik untuk menyelamatkan rancangan tersebut.
Setelah tiba di hotel tersebut, mereka telah berjumpa pemiliknya, Granthem Du’Met yang nampaknya tergesa-gesa untuk mereka masuk dalam hotel tersebut. Banyak juga benda yang berlaku dan kini mereka semua terperangkap dengan pembunuh yang meneliti setiap pergerakan, menunggu masa untuk menyerang mereka.
Sejujurnya, kami suka bagaimana game ini berpusat pada pembunuh bersiri pertama Amerika dan bukannya satu lagi kisah seram melibatkan perkara supernatural. Bukan setakat itu, kita juga diperkenalkan dengan kisah pembunuh tersebut dalam prolog game, yang dipersembahkan seperti rancangan dokumentari. Apa pun, keseluruhan cerita game ini memberikan perasaan yang mendebarkan dan penuh darah.
Kesimpulan
Untuk penamat musim, kami rasa The Devil in Me memberikan sebuah penceritaan yang menarik dan kami suka bagaimana setiap watak ditulis. Setiap pelakon telah membawa watak masing-masing dengan cukup mantap. Sayangnya, model watak pula yang kelihatan sedikit kekok dan kurang emosinya. Terdapat juga beberapa bug yang kami jumpa tetapi tidaklah mengganggu semasa bermain. Mekanik baru yang diperkenalkan juga memberikan sesuatu yang baru kepada pemain lama dan baru. Secara keseluruhannya, The Devil in Me merupakan sebuah yang seronok dimainkan dengan beberapa elemen menarik untuk game antologi ini. Tidak sabar untuk bermain game terbaru untuk musim kedua nanti.
Game ini tersedia di PS5, PS4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC melalui Steam.
@gamersantaimy
The Review
The Dark Pictures Anthology: The Devil in Me
PROS
- Penceritaan yang menarik serta persembahan mantap pelakon
- Penambahan baru mekanik yang sangat dialu-alukan
CONS
- Model watak agak kekok dan tidak mempunyai emosi
Discussion about this post