Hubungan Monster Hunter dengan handheld sememangnya legenda, tetapi untuk menakluki pasaran mobile moden terbukti satu cabaran yang lebih sukar ditewaskan. Kini, tibalah Monster Hunter Outlanders, percubaan terbaharu siri ini untuk memasuki arena free-to-play bagi iOS dan Android.
Dibangunkan oleh TiMi Studio Group (milik Tencent) di bawah pengawasan rapi CAPCOM, ia adalah sebuah game yang dibina dari asas untuk skrin yang lebih kecil.
Selepas sesi demo selama 15 minit di Tokyo Game Show 2025, jelas sekali ini adalah sebuah projek yang bercita-cita tinggi, jadi izinkan saya jelaskan apa yang menarik.

Latar belakangnya akan terasa biasa bagi mana-mana pemburu veteran, tetapi dengan sentuhan yang unik. Anda ialah seorang Adventurer, salah seorang daripada ramai penjelajah yang kapal udaranya terhempas di pulau misteri bernama Aesoland selepas dilanda ribut ganas.
Tanah baharu ini dicirikan oleh sejenis mineral aneh dan berkuasa yang dipanggil Radiantite, yang membentuk keseluruhan ekosistemnya. Ia mengubah rupa bumi, mempengaruhi budaya asli di pulau itu, dan yang paling penting, memutasikan raksasa.
Pihak pembangun menekankan bahawa Radiantite bukan sekadar penceritaan—ia adalah pemacu utama gameplay yang memberi kesan secara langsung kepada pemburuan anda.

Sesi demo saya berlangsung di Grand Archipelago, sebuah zon yang dipenuhi dengan kulat bercahaya dan alga lautan yang subur. Persekitarannya terasa hidup dan benar-benar boleh diterokai.
Ia bukan sekadar latar belakang yang cantik; pulau ini menggalakkan anda untuk berinteraksi dengannya, membolehkan pemain membina struktur untuk memudahkan penerokaan dan membaiki menara yang rosak untuk mendedahkan lebih banyak kawasan peta.

Soalan terbesar saya sebelum mencuba demo ini adalah mudah: bolehkah sistem combat Monster Hunter yang rumit benar-benar berkesan di skrin sesentuh? Saya gembira untuk melaporkan bahawa pengalamannya jauh lebih meyakinkan daripada apa yang saya jangkakan.

Saya memilih Great Sword, sejenis senjata yang terkenal dengan timing yang teliti dan serangan cas yang kuat. Yang mengejutkan saya, rasa uniknya masih dikekalkan. Animasi hayunan, impak pedang, dan kepuasan apabila berjaya mendaratkan pukulan cas penuh semuanya berjaya dialihkan dengan baik.
Kawalannya dipermudahkan melalui sistem kombo berasaskan sentuhan (tap) tanpa menghilangkan identiti senjata tersebut.

Beberapa pilihan reka bentuk yang bijak menjadikan pemburuan pada skrin kecil lebih mudah diurus. Kamera auto-aim memastikan raksasa sentiasa berada di tengah skrin, menyelamatkan saya daripada sentiasa melaraskan sudut kamera secara manual.
Bagi pemain yang lebih taktikal, roda lock-on membolehkan anda menyasarkan bahagian tertentu—seperti ekor atau sayap—untuk memecahkannya bagi mendapatkan ganjaran tambahan.
Tambahan pula, serangan raksasa dan zon bahaya disampaikan melalui isyarat visual yang lebih jelas, satu kompromi yang perlu untuk paparan yang lebih kecil, menjadikan pertarungan terasa adil. Ia adalah sistem yang diringkaskan, tetapi berjaya mengekalkan jiwa combat Monster Hunter dengan bijak.

Dalam Outlanders, anda bukan sekadar mencipta seorang hunter; anda bermain sebagai seorang Adventurer. Watak-watak ini tergolong dalam salah satu daripada tiga kelas tempur yang berbeza:
- Assault: Damage dealer utama.
- Disruptor: Pakar crowd control dan mengenakan debuff.
- Support: Fokus pada penyembuhan dan menyelamatkan rakan sepasukan.
Watak utama anda, “Fated Adventurer,” boleh diubah suai sepenuhnya dan mempunyai keupayaan unik untuk menggunakan semua jenis senjata serta bertukar antara ketiga-tiga kelas tempur, menawarkan fleksibiliti maksimum. Untuk demo saya, watak saya dikunci kepada kelas Assault.

Game itu juga memperkenalkan beberapa Adventurer lain dengan nama, masing-masing dengan kelas dan senjata yang tetap, (mungkin wujudnya sistem koleksi watak). Antaranya ialah Midori (Assault, Long Sword), Pepe (Disruptor, Heavy Bowgun), Raya (Disruptor, Dual Blades), dan Madelyn (Support, Bow).
Pihak pembangun menekankan bahawa komposisi skuad akan menjadi kunci untuk mengatasi cabaran yang lebih sukar.

Tidak lengkaplah Monster Hunter tanpa teman seperjuangan. Palico kembali, tetapi mereka disertai oleh dua spesis Buddy baharu: Rutaco yang fokus pada alatan dan Trillan yang fokus pada pemulihan. Sistem Buddy ini berkait rapat dengan kelas tempur yang baharu:
- Palico: Berpasangan dengan Adventurer kelas Assault untuk kombo yang dahsyat.
- Rutaco: Membantu kelas Disruptor dengan gajet dan perangkap.
- Trillan: Bekerjasama dengan kelas Support untuk memberikan penyembuhan dan buff.
Meskipun dalam spesis yang sama, setiap Buddy boleh mempunyai rupa dan kemahiran yang berbeza, menambahkan satu lagi lapisan dalam pembentukan pasukan.

Dari segi raksasa pula, pengaruh Radiantite telah mewujudkan Radiant Species—versi raksasa yang telah diubah menjadi lebih kuat, lebih agresif, dan malah boleh memasuki keadaan mengamuk di pertengahan pemburuan. Ini bukan sekadar pertukaran warna; mereka adalah ancaman sebenar.
Walaupun raksasa klasik dari siri ini disahkan akan kembali, varian baharu ini pasti akan membuatkan pemain veteran sentiasa berwaspada.
Semasa pertunjukan, kami juga dapat melihat sekilas Co-Op Skill seluruh skuad, di mana keempat-empat pemain menyelaraskan serangan mereka pada satu bahagian raksasa untuk melancarkan serangan hebat dengan bonus damage yang besar.

Selain daripada pemburuan utama, demo ini turut menampilkan acara khas seperti Egg Heist Challenge, misi untuk mencuri telur dan membawanya pulang ke kem. Acara lain seperti Zen Stone Balance dan Winged Treasure Hunt juga dipamerkan, menjanjikan pelbagai aktiviti di luar combat.

Sesi 15 minit saya bersama Monster Hunter Outlanders membuatkan saya lebih optimis berbanding skeptikal. Ia adalah satu usaha yang teliti, memudahkan sistem siri ini yang kompleks untuk audiens mobile sambil berjuang untuk memelihara identiti.
Combat menggunakan Great Sword terasa sama, dan idea-idea baharu—daripada kelas Adventurer dan sistem Buddy sehinggalah ke mekanik penerokaan—memberi skop pengalaman yang setanding konsol dan PC.

Sudah tentu, masih ada persoalan besar. Sebagai judul free-to-play, kejayaan jangka panjang game ini akan bergantung pada sistem kemajuan dan bagaimana pembelian dalam aplikasi (in-app purchases) dilaksanakan. Tetapi sebagai bukti konsep, demo di TGS ini adalah satu kejayaan besar.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS25] Previu Monster Hunter Outlanders – Babak Baharu Dalam Arena Mobile Hunting](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/MONSTER-HUNTER-OUTLANDERS_PREVIU_FI-750x375.jpg)



![[TGS25] “Pengalaman Memburu Masih Terpelihara” – Bagaimana Capcom & TiMi Membawa Monster Hunter Outlanders Ke Mobile](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/Monster-Hunter-Outlanders_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post