Sejak Creative Assembly mengejutkan peminat strategi hujung tahun lalu menerusi pengumuman Total War: WARHAMMER 40,000, satu tanda tanya besar terus berlegar dalam kalangan komuniti: mampukah combat moden berasaskan skuad serta tembakan senjata 41st Millennium dimasukkan ke dalam tradisi Total War?
Di Tokyo Game Show 2026, kami akhirnya berpeluang menguji sendiri game tersebut. Sepanjang kira-kira sejam mencuba versi demo, kami dihidangkan dengan tiga senario berbeza: tutorial asas, misi sampingan, serta aksi combat strategi yang menguji ketahanan mental dan percaturan taktikal.

Bagi pemain PC dan pengikut setia yang tertanya-tanya sama ada ini adalah ‘reskin’ daripada Warhammer Fantasy, jawapannya tidak sama sekali. Berbekalkan sistem kemusnahan persekitaran, mekanik perlindungan, serta rentak campaign yang agresif, judul ini menyajikan pengalaman yang berbeza sama sekali.
Dari Tutorial Asas Hingga Perang Sebenar
Demo bermula dengan tutorial yang mempertemukan kontinjen Space Marines melawan gerombolan serbuan Ork.
Senario pembuka ini serta-merta merombak corak gameplay lama. Daripada berkubu dari jauh sambil berbalas tembakan, permainan menggesa kami menghantar skuad ‘Assault Intercessors’ merempuh terus ke combat jarak dekat, sekali gus melumpuhkan penembak Ork sebelum jumlah mereka menjadi mustahil untuk dibendung.

Langkah seterusnya membawa kami ke satu misi pendek yang mengetengahkan combat gabungan pelbagai elemen. Dalam fasa ini, kami bebas bereksperimen; memanggil bantuan serangan udara, mengatur gerak jentera perisai, serta memanfaatkan senjata berat bagi membuka laluan di lorong bandar yang sempit.

Demo diakhiri dengan pertarungan sengit. Gelombang tentera Greenskins meluru tanpa henti ke arah perimeter pertahanan. Sebarang kesilapan dalam menguruskan tempoh cooldown, gagal mencari perlindungan, atau kegagalan mengawasi sudut penglihatan akan menyaksikan Space Marines kita musnah dikerat dalam sekelip mata.
Pengelasan Unit
Di tengah-tengah tembakan senapang bolter, silauan lasgun, dan gegaran artileri di skrin, memantau setiap unit dalam kekalutan 40K boleh mengundang kekeliruan. Sedar akan hakikat itu, Creative Assembly membahagikan unit kepada tiga kelas berat utama: Light, Medium, dan Heavy.

Setiap kategori diwakili oleh simbol geometri tersendiri pada panji skuad serta paparan UI di atas kepala askar. Cukup sekali imbas, anda boleh membezakan antara unit ‘light recon’ yang mudah terkorban, ‘medium battleline’, ataupun ‘heavy’ seperti Dreadnought.
Apabila berdepan huru-hara di zon perang Hive City, penunjuk visual yang ringkas ini membolehkan sasaran ditentukan sepantas kilat tanpa perlu mengecilkan mata membaca ‘health bar’.
Sistem Cover dan Bangunan Boleh Dimusnahkan
Perubahan terbesar berbanding gameTotal War terdahulu terletak pada manipulasi bentuk muka bumi. Jika siri sejarah dan fantasi silam membataskan infantri untuk bertarung di padang lapang atau bersembunyi di balik hutan, WARHAMMER 40,000 pula menjadikan perlindungan fizikal sebagai syarat kelangsungan hidup.
Mengarahkan pasukan bersembunyi di balik benteng konkrit, tembok rendah, mahupun timbunan sisa besi menawarkan perlindungan daripada dihujani peluru serta ledakan bahan letupan.

Lebih menarik, hampir setiap struktur di medan perang boleh dimusnahkan hasil engine WarCore. Kita tidak perlu lagi melangkah secara ‘buta’ ke killzone musuh yang sedang berkubu.
Membedil premis bersebelahan dengan senjata berat berupaya meruntuhkan dinding batu, membuka ruang flanking sekaligus mewujudkan ‘line of fire’ baharu bagi dimanfaatkan oleh pasukan anda.

Malah, bangunan bertingkat boleh dirobohkan untuk menimbus lawan di bawah timbunan konkrit. Jentera perang gergasi pula mempamerkan fizik kemusnahan yang lebih mengagumkan.
Unit ‘super-heavy’ seperti Dreadnought dan Terminator mampu merempuh dinding batu tanpa sedikit pun kehilangan momentum kemaraan dengan menganggap bangunan biasa sekadar halangan kecil di laluan mereka.
Kebolehan Aktif Setiap Skuad dan Sistem Reinforcements
Dahulu, infantri barisan hadapan biasanya bergantung dengan ‘passive stat boost’ serta pembentukan formasi, sementara fungsi butang khusus dihadkan kepada watak sihir dan komander utama. Falsafah tersebut telah berubah. Dalam 40K, hampir setiap skuad dibekalkan dengan ‘active ability’ tersendiri yang memerlukan kawalan teliti.

Unit Space Marine, misalnya, dilengkapi ‘fragmentation grenade’, ‘jetpack leap’, pilihan pertukaran peluru khusus, serta mod pertahanan berperingkat.
Keperluan membuat keputusan pantas dan menguruskan cooldown pasukan secara berterusan membuatkan setiap peperangan terasa hidup… menyerupai game taktikal skuad berskala kecil berbanding perang tentera klasik yang statik.

Keadaan bertambah rancak melalui sistem ‘reinforcements’ di pertengahan aksi. Anda berpeluang memanggil unit simpanan memasuki zon bahaya mengikut perkembangan taktikal.
Mendaratkan drop pod Space Marine atau mengarahkan pesawat Thunderhawk menurunkan bala bantuan tepat di atas kedudukan yang hampir tumpas sering kali menjadi titik tolak yang membalikkan nasib perang.
Pengurusan Overworld
Demo ini turut memberi gambaran awal tentang peta ‘turn-based overworld’. Mobiliti tentera di atas permukaan planet sekarang diatur melalui sistem dua ‘movement point’ yang terhad, menggantikan meter pergerakan berterusan yang lama.
Mengambil ilham daripada karya klasik seperti Shogun: Total War, pendekatan ini membantu pemain mengawal kempen antara planet secara makro tanpa tersangkut pada laluan mikro yang rumit.

Rentak keseluruhan campaign turut menyaksikan perubahan, di mana tumpuan dialihkan kepada aksi tentera berbanding birokrasi membina empayar. Pemain tidak lagi disibukkan dengan penetapan kadar cukai atau giliran membosankan untuk menaik taraf bangunan perbandaran kecil.
Sebaliknya, tumpuan terarah kepada pengurusan logistik perang, penguasaan sektor strategik, atur gerak pangkalan hadapan, serta menghantar warlord mencengkam barisan depan secepat mungkin.

Game ini akan datang ke PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam). Tarikh keluaran rasmi masih belum diumumkan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] Previu Total War: WARHAMMER 40000 – Combat Lebih Pantas, Kota Boleh Musnah & Perang Grimdark Sejati](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/Total-War-WARHAMMER-40K_PREVIU_FI-750x375.jpg)



![[TGS2026] Inti Masih Sama, Tetapi Persona 4 Revival Merombak Kehidupan Seharian, Dungeon, Muzik & Banyak Lagi](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/PERSONA-4-REVIVAL_QA_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post