Pereka game terkenal, Hideo Kojima, telah berkongsi maklumat baharu mengenai projek game seram terbaharunya, OD. Beliau mendedahkan sebuah sistem gameplay unik yang direka khas untuk membantu pemain yang mudah cemas agar tidak terus berputus asa dan menutup game tersebut begitu sahaja.
Dalam satu temu bual bersama Entertainment Weekly, Kojima menjelaskan bahawa walaupun beliau mahu membawakan elemen seram yang melangkaui batas biasa, beliau masih menyediakan satu sistem sokongan bagi memudahkan pemain yang berasa terlalu takut atau tertekan ketika bermain.
“Saya mahu melangkaui had ‘tahap seram’ yang pernah dicapai oleh game lain,” ulas Kojima. “Ia merupakan sebuah game single-player, dan saya mahu menjadikannya seseram mungkin. Namun, bagi mereka yang mungkin berhenti bermain apabila keadaan menjadi terlalu menakutkan, saya telah merangka satu sistem yang membolehkan mereka untuk terus bertahan. Saya tidak boleh bercakap lebih lanjut mengenainya kerana ia akan mendedahkan petunjuk tentang bagaimana sistem tersebut berfungsi, dan saya mungkin akan mendapat masalah jika terlepas cakap!”
Ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap OD kerana ia dilihat sebagai ‘spiritual successor’ kepada P.T.: iaitu sebuah playable teaser dari tahun 2014 untuk projek Silent Hills yang akhirnya dibatalkan.
Bagi merealisasikan elemen seram psikologi ini, Kojima bekerjasama dengan pengarah filem seram terkenal, Jordan Peele (Get Out, Us, Nope), yang turut terlibat menulis jalan cerita untuk game ini.
OD turut dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Sophia Lillis dan Hunter Schafer. Selain itu, ia juga menampilkan mendiang Udo Kier, pelakon dari Jerman yang telah meninggal dunia pada November 2025 ketika berusia 81 tahun.
Setakat sekarang, masih tiada tarikh pelancaran rasmi diumumkan untuk OD. Bagaimanapun, Kojima Productions kini dijangka akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan projek ini.








Discussion about this post