Kadokawa Corporation secara rasmi mengumumkan pembikinan anime baharu yang diadaptasi daripada visual novel misteri pembunuhan ikonik, Higurashi: When They Cry. Pengumuman ini dibuat menerusi satu sesi siaran langsung sempena sambutan ulang tahun ke-20 siri asal yang pernah ditayangkan pada tahun 2006.
Bagi peminat setia, anda pasti akan bergembira dengan kepulangan Studio DEEN yang akan mengendalikan semula bahagian animasi. Studio DEEN merupakan antara studio utama di sebalik adaptasi anime francais ini, termasuk siri pertama Higurashi (2006), diikuti Higurashi: When They Cry Kai (2007), dan siri OVA Rei (2009).
Lebih istimewa lagi, barisan pelakon suara asal akan kembali sepenuhnya:
- Soichiro Hoshi sebagai Keiichi Maebara
- Mai Nakahara sebagai Rena Ryugu
- Satsuki Yukino sebagai Mion dan Shion Sonozaki
- Mika Kanai sebagai Satoko Hojo
- Yukari Tamura sebagai Rika Furude
Pencipta asal Ryukishi07 turut mengacah bahawa anime baharu ini akan meneroka “tragedi bentuk baharu” yang jauh berbeza daripada apa yang pernah disaksikan sebelum ini.
Bagi mereka yang baru ingin mengenali francais ini, Higurashi: When They Cry ialah sebuah karya agung dalam genre seram psikologi. Berlatarkan musim panas pada tahun 1983, jalan cerita mengikut kisah seorang remaja bernama Keiichi Maebara yang baru sahaja berpindah ke sebuah perkampungan luar bandar yang sunyi, iaitu Hinamizawa.
Keiichi mendapat sekumpulan rakan rapat di sekolah baharunya dan tidak sabar untuk menyambut festival tahunan Watanagashi. Walau bagaimanapun, dia mula membongkar sejarah hitam melibatkan kes pembunuhan misteri, kehilangan penduduk, dan sumpahan tempatan yang berlaku pada setiap tahun.
Apabila perasaan curiga dan paranoia mula menguasai diri, hari-hari persekolahannya yang tenang berubah menjadi mimpi ngeri yang amat menakutkan… di mana tiada sesiapa pun, termasuk rakan-rakan rapatnya sendiri, yang boleh dipercayai lagi.








Discussion about this post