Netflix baru sahaja mengeluarkan sebuah teaser baharu untuk musim kedua siri aksi langsung One Piece. Dengan cabaran yang lebih besar menanti Straw Hat Pirates, teaser terbaharu ini mengetengahkan musuh akan datang: iaitu sebuah organisasi pembunuh upahan rahsia yang dikenali sebagai Baroque Works.
Para peminat buat pertama kali dapat melihat dengan lebih jelas sindiket jenayah tersebut yang akan menjadi halangan utama bagi Monkey D. Luffy dan rakan-rakannya sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke lautan Grand Line.
Musim ini akan merangkumi lapan episod dan mengadaptasi beberapa arc, termasuk Loguetown, Reverse Mountain, Whiskey Peak, Little Garden, dan Drum Island, sekali gus membuka laluan untuk Saga Alabasta.
Dalam teaser, kita diperkenalkan dengan Lera Abova yang memegang watak Miss All Sunday. Beliau merupakan seorang pegawai kanan dalam organisasi tersebut (dan juga dikenali sebagai Nico Robin).
Turut dipaparkan ialah Charithra Chandran sebagai Miss Wednesday, di samping watak-watak lain seperti David Dastmalchian sebagai Mr. 3, Camrus Johnson sebagai Mr. 5, Jazzara Jaslyn sebagai Miss Valentine, Daniel Lasker sebagai Mr. 9, dan Sophia Anne Caruso sebagai Miss Goldenweek.
Ancaman daripada ejen-ejen ini hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang menanti, kerana kesemua beroperasi di bawah arahan Mr. 0, yang dilakonkan oleh Joe Manganiello. Walaupun wataknya hanya akan mula diperkenalkan dalam musim kedua, Manganiello dan Abova telah disahkan akan menjadi watak tetap dalam musim ketiga.
Musim baharu ini juga akan menampilkan kemunculan pertama watak yang amat dinanti-nantikan, iaitu Tony Tony Chopper, yang akan disuarakan oleh Mikaela Hoover.
Proses produksi untuk musim kedua telah pun selesai sepenuhnya. Netflix jelas menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap siri ini kerana musim ketiga kini sudah pun berada dalam fasa pembikinan.
Antara yang bakal menyertai ialah Xolo Maridueña (Cobra Kai) sebagai abang kepada Luffy, iaitu Portgas D. Ace, dan Cole Escola yang akan membawa watak Bon Clay. Mereka akan diiringi oleh Awdo Awdo sebagai Mr. 1 dan Daisy Head sebagai Miss Doublefinger.
One Piece: Into the Grand Line yang akan disiarkan secara eksklusif di Netflix mulai 10 Mac 2026.









Discussion about this post