Square Enix telah secara rasminya mengumumkan Octopath Traveler 0, sebuah prekuel baharu dalam siri RPG popular tersebut, yang bakal dilancarkan pada 4 Disember.
Game ini menjanjikan nafas baharu kepada formula siri ini dengan memperkenalkan protagonis yang boleh diubah suai sepenuhnya buat pertama kalinya, di samping sistem pembinaan bandar.
Octopath Traveler 0 akan tersedia di pelbagai platform, termasuklah PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam, Epic Games Store, serta Microsoft Store.

Game ini menjemput pemain untuk “bermula dari sifar” dalam misi peribadi untuk pemulihan dan pembalasan dendam. Berlatarkan alam Orsterra yang sudah dikenali, kisahnya berkisar tentang saga cincin suci dan pertempuran menentang penjahat-penjahat baharu yang berkuasa.
Tidak seperti judul-judul sebelumnya yang menampilkan lapan watak berbeza, prekuel ini membolehkan pemain mencipta wira mereka sendiri. Ciri penciptaan watak yang baharu ini memberikan kawalan ke atas rupa, suara, pergerakan, dan juga hidangan kegemaran.

Satu ciri baharu yang utama ialah kebolehan untuk membina semula kampung halaman watak anda. Melalui mekanik pembinaan bandar yang baharu, pemain boleh memulihkan kediaman mereka dari kemusnahan, dengan menjemput lebih 30 rakan dan sekutu yang boleh direkrut untuk tinggal di bandar ciptaan mereka sendiri.

Sistem combat turn-based yang menjadi signature siri ini kembali dengan sistem Break & Boost yang digemari, tetapi dengan penambahan yang signifikan. Pemain kini boleh membentuk sebuah parti sehingga lapan watak untuk pertarungan yang strategik.
Sistem skil baharu juga membolehkan kebolehan yang telah dipelajari untuk diwariskan kepada watak lain, menambah satu lagi lapisan customization kepada komposisi parti.

Elemen-elemen kegemaran peminat turut kembali, termasuklah grafik HD-2D yang ikonik yang menggabungkan seni piksel retro dengan 3DCG, dan penggunaan Path Actions untuk berinteraksi dengan dunia permainan dengan bertarung, mendapatkan item, atau menjemput NPC untuk menyertai perjuangan anda.

Octopath Traveler 0 akan tersedia dalam edisi standard dan Edisi Digital Deluxe. Edisi Digital Deluxe merangkumi buku seni digital dan DLC “Deluxe Travel Provisions”. Semua pra-tempahan, untuk edisi standard mahupun deluxe, akan menyertakan DLC “Travel Provisions” sebagai bonus.









Discussion about this post