Chaos Manufacturing, sebuah studio pembangun permainan video yang baru ditubuhkan, telah mengumumkan game pertama mereka yang berjudul SOL Shogunate. Game ini diperkenalkan sebagai sebuah “judul samurai angkasa lepas,” dan merupakan sebuah RPG aksi solo dari perspektif third person.
Ia dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2027 bagi platform PC melalui Steam, manakala versi untuk konsol masih belum diumumkan.
Berlatarkan sebuah sistem suria pada masa hadapan alternatif, SOL Shogunate membawa pemain ke sebuah dunia di mana tamadun manusia telah berkembang merentasi planet-planet di bawah naungan sebuah Keshogunan berkuasa, dan undang-undang pedang menjadi pegangan utama.
Para pemain akan memegang watak Yuzuki, pewaris terakhir sebuah keluarga samurai yang dahulunya disegani tetapi telah dihapuskan dengan kejam oleh puak pesaing. Akibat daripada pengkhianatan tersebut, Yuzuki terpaksa menjadi seorang ronin buangan dan memulakan perjalanan untuk menuntut bela.

Permainan ini menjanjikan aksi samurai tanpa henti, di mana pemain boleh memilih pelbagai jenis senjata yang masing-masing mempunyai gaya pertarungan yang tersendiri.
Satu ciri utama yang ditonjolkan ialah kemampuan untuk menyemai senjata dengan kuasa-kuasa elemental dan mengumpul “cantuman gen” bagi mengubah suai skil mengikut gaya permainan.
Peningkatan ini termasuklah kulit bio-seramik sehinggalah kepada deria penglihatan yang lebih tajam, membolehkan watak pemain berevolusi menjadi pahlawan yang tiada tandingan.

Elemen penerokaan juga menjadi komponen penting dalam pengalaman permainan, membolehkan pemain mengembara di kota-kota metropolis di bulan yang dilengkapi dengan teknologi graviti buatan. Setiap bandar ini direka khas sebagai penghormatan kepada zaman-zaman yang berbeza dalam sejarah Jepun.
Pemain berpeluang untuk menjelajahi permukaan bulan dengan menunggang kuda mekanikal atau motosikal beroda satu, serta menggunakan peralatan bantuan graviti untuk meneroka “biom astro-feudal” sambil membongkar rahsia peperangan yang telah lama terkubur.

Di samping itu, SOL Shogunate bakal menyajikan pertarungan menentang bos yang epik dan terdiri daripada pelbagai fasa. Kelainan yang cuba dibawakan dalam pertarungan ini adalah runut bunyinya yang dinamik, di mana muzik akan berubah mengikut rentak pertempuran.
Muzik untuk babak-babak sinematik ini digubah dengan kerjasama artis-artis rakaman yang berbakat, termasuk kumpulan rock dari Jepun, AliA, dan lebih ramai lagi artis bakal diumumkan nanti.

Walaupun tarikh pelancaran yang tepat masih belum diumumkan selain daripada tahun 2027, game ini kini sudah boleh dimasukkan ke dalam wishlist di platform Steam.









Discussion about this post