Dalam siri manga/anime Bleach, ramai yang memikir para Shinigami dari Soul Society adalah satu-satunya pihak yang mengekalkan keseimbangan antara alam. Walau bagaimanapun, ternyata ada orang yang lagi atas daripada mereka… Ternyata, Soul King adalah orang paling penting sekali dan boleh dianggap sebagai “tuhan sebenar” dalam cerita Bleach.
Di sini, saya akan menjelaskan tentang identiti sebenar “Soul King” dan peranannya dalam kisah Bleach. Berikut adalah rumusan padat saya tentang Soul King:
Identiti
Secara ringkas, Soul King (aka Reiō dalam bahasa Jepun) ialah pencipta dunia Soul Society, dunia Manusia dan dunia Hueco Mundo di mana tanggungjawab utamanya adalah untuk mengekalkan keseimbangan antara ketiga-tiga dunia. Dikenali sebagai tuhan yang sangat bermisteri, tidak banyak yang diketahui tentang Soul King, malah watak seperti Hyosube Ichibe (ketua Skuad 0) dan Yhwach pun tidak tahu asal usul sebenarnya.
Daripada segi rupa, Soul King kelihatan seperti seorang manusia, dengan rambut gelap yang disekat belakang, dan kening yang nipis. Apa yang unik adalah matanya; dia mempunyai sebanyak empat iris hitam dan tidak mempunyai sebarang tangan atau kaki. Bahagian itu akan dijelaskan di bawah. Semasa mula-mula diperkenalkan, Soul King dikurung dalam perintang (barrier) yang digantung oleh empat wayar di dalam bilik besar seolah-olah seperti dia diseksa.
Asal-usul
Pada lebih sejuta tahun dahulu, sejenis makhluk yang kemudian dikenali sebagai Soul King muncul daripada dunia purba yang ditakluki oleh Hollow. Untuk melindungi penduduk asal di dunia itu, Soul King membunuh semua Hollow yang ingin mendatangkan bahaya. Bagaimanapun, tindakan itu mula mengacau kestabilan antara dunia.
Risau akan apa yang terjadi, lima makhluk berkuasa pada zaman itu memutuskan untuk bekerjasama demi memperbaiki segala-galanya. Atas sebab-sebab yang tidak diberitahu, mereka mengurung Soul King di dalam kristal dan menggunakan kuasanya untuk membahagikan dunia kepada tiga alam baharu iaitu: Soul Society, Hueco Mundo, dan dunia Manusia. Dalam proses, mereka mencipta kitaran hidup dan mati.
Walaupun Soul King redha dan tidak memberi tentangan semasa dikurung, kelima-lima makhluk itu masih takut dengan kuasanya, maka mereka mencabut tangan kanan dan tangan kiri, mencabut jantungnya, membiarkan kakinya mereput, dan sengaja membuang organnya. Dalam keadaan yang menyeksakan antara hidup dan mati, Soul King terpaksa melalui setiap hari dalam keadaan begini selama berjuta-juta tahun.
Kuasa terlalu hebat, mampu pecahkan alam realiti
Selaku pengasas kepada puak Quincy, Shinigami, dan Fullbringer, Soul King terbukti sangat berkuasa; malah Ichibe mengakui bahawa dia adalah makhluk yang tiada tandingan. Salah satu bukti adalah kuasa Soul King membolehkannya menewaskan beratus-ratus Hollow kelas Menos (campuran beratus-ratus Hollow biasa untuk menghasilkan satu entiti dengan kekuatan berlipat kali ganda) dengan mudah, dalam sekelip mata.
Satu lagi kuasa Soul King adalah dia dapat melihat ke masa hadapan. Ichibe membuat spekulasi bahawa Soul King sebenarnya telah meramalkan segala-galanya yang berlaku sehingga saat kematiannya dan redha dengan takdir hidupnya.
Semasa dikurung, Soul King dijelaskan sebagai makhluk yang wujud dalam keadaan antara hidup dan mati. Disebabkan ini, Soul King tidak boleh mati walaupun badannya dicacatkan oleh lima makhluk kuat semasa zaman purba. Selepas Yhwach menyerap sebahagian daripada badan Soul King dan kemudian dipotong oleh Kurosaki Ichigo, Soul King masih hidup dan cukup kuat untuk mengekalkan keseimbangan antara tiga dunia.
Ke mana pergi bahagian badan yang hilang?
Apabila badan Soul King dikerat oleh “lima individu berkuasa”, kebanyakan bahagian tubuhnya dipisahkan di merata lokasi di ketiga-tiga alam. Ada yang kemudian dipecahkan ke bahagian yang lebih kecil (dipanggil sebagai “kuku”) di dunia Manusia, dan memberikan kuasa kepada individu untuk menjadi Fullbringer; manakala bahagian tubuh lain yang lebih besar berjaya mendapat kesedaran sendiri.
- Tangan kanan Soul King – Dijumpai di Soul Society di mana ia disembah sebagai dewa di Rukongai. Bahagian badan ini boleh menghalang apa-apa yang cuba berubah atau berkembang daripada berlaku.
- Tangan kiri Soul King – Dijumpai di Soul Society tetapi kembali ke tangan Quincy dan digunakan oleh Yhwach. Abilitinya adalah untuk menguatkan diri dan orang lain melalui evolusi yang dipercepatkan.
- Jantung Soul King – Kembali ke tangan Quincy dan dihadiahkan kepada Sternritter Gerard Valkyrie. Abiliti jantung adalah untuk memanifestasikan “keajaiban/mukjizat” dengan merealisasikan pemikiran, perasaan, dan keinginan pengguna dan orang di sekeliling.
- “Kuku” Soul King – Pelbagai serpihan kecil milik Soul King telah dijumpai oleh manusia, lalu mengubah mereka menjadi Fullbringer. Kebanyakan “kuku” ini dikumpulkan dan digunakan oleh Aizen Sosuke untuk menguatkan lagi Hogyoku-nya yang tidak lengkap.
Maka, itulah ringkas padat saya tentang Soul King, raja di dalam cerita Bleach. Apa pendapat anda? Mengapa dia tidak ingin campur tangan dalam hal manusia? Jom kongsikan pendapat di ruang komen.
Untuk membaca segala liputan kami tentang francais Bleach, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post