Seiring dengan tayangan “Demon Slayer: Infinity Castle” di Malaysia, timbul satu persoalan utama di kalangan peminat: siapakah sebenarnya musuh yang berjaya memaksa Zenitsu Agatsuma, yang selama ini dikenal sebagai seorang yang penakut, untuk bertarung dengan begitu serius buat pertama kalinya? Individu tersebut ialah Kaigaku, seekor demon yang kini memegang jawatan tinggi sebagai Upper Rank Six dalam Twelve Kizuki.

Dia merupakan pengganti kepada pasangan adik-beradik Daki dan Gyutaro tetapi apa yang lebih memeranjatkan adalah latar belakangnya: Kaigaku dahulunya merupakan seorang Demon Slayer dan juga rakan seperguruan atau senior (senpai) kepada Zenitsu.
Masa Lalu Bersama Bersama Zenitsu
Kisah mereka bermula di bawah bimbingan guru yang sama, iaitu bekas Lightning Hashira, Jigoro Kuwajima, yang sering dipanggil “Datuk” oleh Zenitsu. Sejak awal lagi, perbezaan perwatakan mereka begitu ketara.
Kaigaku berpegang teguh pada prinsip kejam bahawa hanya kekuatan dan kelangsungan hidup adalah satu-satunya perkara yang layak dihormati. Dia mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menjadi satu-satunya pewaris Jigoro dan diangkat sebagai Lightning Hashira yang seterusnya.

Keinginannya itu telah menanamkan rasa benci yang mendalam terhadap Zenitsu. Bagi Kaigaku, sifat pengecut dan keluhan berterusan Zenitsu adalah satu penghinaan. Idea untuk berkongsi gelaran pewaris dengan juniornya yang “lemah” itu tidak dapat diterimanya.
Dia tidak teragak-agak untuk menghina Zenitsu dan sering mendesaknya untuk berhenti daripada menjadi Demon Slayer agar tidak membuang masa guru mereka. Dalam satu insiden; Zenitsu memanggil guru mereka “Datuk,” sehingga dia bertindak membaling buah pic ke arah Zenitsu sebagai tanda amaran untuk tidak bersikap terlalu mesra.

Walaupun sering dibuli, Zenitsu sebenarnya menghormati kehebatan seniornya. Dia bahkan pernah menumbuk seorang Demon Slayer lain yang menghina Kaigaku.
Namun, kesetiaan Zenitsu langsung tidak dihargai, malah Kaigaku memarahinya kembali kerana tindakannya itu. Ini membuktikan bahawa tiada jumlah kesetiaan daripada juniornya yang dapat mengubah persepsinya.
Pengkhianat Terbesar Sehingga Guru Mereka Perlu Menebuskan Diri
Titik perubahan dalam hidup Kaigaku akhirnya terungkai dalam Infinity Castle. Dalam satu misi (diceritakan dalam flashback), takdir membawanya bersemuka dengan Kokushibo, Upper Rank One, iaitu demon terkuat di bawah Muzan.
Berdepan dengan musuh luar biasa itu, prinsip hidupnya yang mengutamakan nyawa sendiri mengatasi segala-galanya. Tanpa melawan, dia terus tunduk dan menyerah diri.

Melihat potensi dalam diri Kaigaku, Kokushibo menawarkannya peluang untuk menjadi demon. Walaupun diselubungi ketakutan, Kaigaku menerima tawaran itu dan meminum sejumlah besar darah demon tersebut untuk memulakan transformasinya.
Selepas menjadi demon, dia dengan pantas membuktikan kekuatannya dengan membaham ramai manusia, membolehkannya mengisi kekosongan jawatan Upper Rank Six.

Berita pengkhianatan ini membawa kepada satu tragedi yang lebih besar. Apabila mengetahui anak muridnya telah menjadi demon, guru mereka Jigoro Kuwajima, yang tidak dapat menanggung aib perbuatan anak muridnya, telah mengambil nyawanya sendiri dengan melakukan seppuku (ritual bunuh diri) sebagai tanda penebusan.
Peristiwa tragis ini meletakkan beban berat untuk menuntut keadilan demi maruah guru mereka di atas bahu Zenitsu.

Rupanya Ada Sejarah Mementingkan Diri Sendiri, Dahulu Berada Di Bawah Jagaan Stone Hashira

Sikap mementingkan diri Kaigaku ini bukanlah sesuatu yang baharu. Jauh sebelum menjadi seorang Demon Slayer, dia adalah seorang anak yatim yang tinggal di sebuah kuil yang dijaga oleh Gyomei Himejima (yang kemudiannya menjadi Stone Hashira). Sejak itu, dia sudah menunjukkan sifat pengkhianatnya.
Selepas ditangkap mencuri wang kuil dan dihalau keluar pada waktu malam, Kaigaku telah terserempak dengan seekor demon.

Untuk menyelamatkan nyawanya, dia membuat perjanjian dengan demon tersebut: dia memadamkan kemenyan wisteria yang melindungi kuil dan membiarkan demon itu masuk, sekali gus mengakibatkan pembunuhan kanak-kanak lain. Kejadian ini jugalah memberi sebab kepada Gyomei Himejima untuk menjadi Demon Slayer.
Namun, di sinilah saya tamatkan penjelasan ini. Jika ada ingin melihat kesudahan Zenitsu melawan Kaigaku, tontonlah filem Demon Slayer: Infinity Castle yang kini ditayangkan di pawagam Malaysia.









Discussion about this post