Studio animasi tersohor ‘ufotable‘ baru-baru ini telah berkongsi video promosi khas yang memaparkan rancangan mereka untuk masa akan datang.
Video ini memberikan gambaran paling jelas setakat ini mengenai hala tuju studio tersebut, sekali gus menjawab pertanyaan peminat terhadap beberapa karya besar yang ada antaranya telah pun dalam proses pembikinan selama hampir sepuluh tahun.
Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle – Part 2
Filem kedua dijangka akan menampilkan pertarungan yang lebih sengit; merangkumi pertarungan hidup mati menentang Upper Moon peringkat tertinggi, termasuklah Doma, serta Kokushibo. Filem kedua kini dalam produksi.
Projek “Anime” Genshin Impact
Sudah lebih tiga tahun berlalu sejak ufotable dan HoYoverse mengumumkan kerjasama mereka pada September 2022, dengan label “projek jangka panjang”. Kemungkinan besar direka sebagai siri anime, ia dikendalikan sebagai satu usaha dengan bajet tinggi bagi meluaskan lagi semesta Genshin Impact.
Tiada info lain selain daripada masih dalam pembikinan.
Katsugeki: Touken Ranbu
Kejutan yang tidak disangka adalah filem Katsugeki: Touken Ranbu. Sejak siri anime tamat pada 2017, projek filem ini seolah-olah hilang tanpa khabar berita sehingga dianggap sebagai antara “mitos”.
Setelah hampir sedekad tanpa sebarang maklumat selain visual Izuminokami Kanesada pada akhir 2022, kemunculan projek ini dalam promosi 2026 mengesahkan bahawa ufotable tidak mengabaikan projek tersebut.
Pendedahan Sempena Ulang Tahun Ke-30 Siri Tales Of
Akhir sekali, ufotable kembali bekerjasama dengan francais RPG terkenal, Tales of. Studio ini mempunyai sejarah yang panjang dengan siri tersebut, bermula daripada pembikinan animasi cutscene untuk tajuk-tajuk utama sejak Tales of Xillia hinggalah ke siri anime Tales of Zestiria the X.
Memandangkan francais ini bakal menyambut ulang tahun ke-30 (sejak pelancaran Tales of Phantasia pada Disember 1995), ufotable akan membuat satu pendedahan besar pada 3 April 2026. Produser siri itu, Yusuke Tomizawa, meminta para peminat untuk terus bersabar menantikan butiran lanjut.









Discussion about this post