Sejak pengumumannya, ramai peminat Team Ninja yang menantikan kehadiran Rise of the Ronin, lebih-lebih lagi dengan pembangun itu mengeluarkan game popular seperti Dead or Alive dan siri Nioh. Boleh dikatakan ini merupakan projek yang bercita-cita besar oleh mereka malah ini juga merupakan kali pertama mereka menghasilkan game dunia terbuka.
Kami berpeluang untuk bermain game itu lebih awal dan tidak sabar untuk menceritakan pengalaman kami mengenainya. Jadi tanpa membuang masa, berikut adalah review penuh kami untuk Rise of the Ronin.
Cerita
Sebelum memulakan perjalanan anda dalam Rise of the Ronin, game ini akan memberi pilihan untuk anda hasilkan watak tersendiri. Seperti yang kami ceritakan dalam preview yang lalu, sistem customization watak ini hampir sama seperti game soulslike Team Ninja sebelum ini. Yang menariknya, anda boleh mengubah rupa watak dengan bebas. Disebabkan watak utama kita merupakan kembar, jadi anda boleh memilih untuk bermain sebagai lelaki atau perempuan dalam cerita utama. Jadi baik anda pilih baik-baik watak mana untuk diguna dan diubahsuai kerana anda tidak boleh mengubahnya apabila game bermula.

Setelah selesai bahagian watak, maka bermulalah pengembaraan anda dalam Rise of the Ronin yang berlaku pada era Bakumatsu, zaman peralihan untuk Jepun pada akhir zaman Edo. Pada waktu ini, terdapat Boshin War yang melibatkan konflik antara pelbagai puak yang menentang Tokugawa Shogunate kerana mereka terbuka dengan pengaruh barat. Tetapi di sebalik semua itu, anda sebagai Ronin yang dibesarkan oleh puak Kurosu memulakan misi utamanya untuk menentang Shogunate. Disebabkan tragedi awal yang mellibatkan Blue Demon, anda akan memulakan pengembaraan untuk mencari orang misteri di Yokohama.

Sepanjang pengembaraan, anda akan bertemu dengan pelbagai watak menarik, tidak kiralah orang biasa ataupun tokoh penting seperti Ryoma Sakamoto, Taka Murayama, Matthew Perry dan ramai lagi. Mereka ini mempunyai peranan yang kuat dalam cerita, terutamanya dalam membantu watak anda mencapai matlamatnya. Memandangkan anda berada dalam era penuh konflik ini, setiap daripada mereka mempunyai sisi tersendiri dan akhirnya anda diberi peluang untuk menyebelahi mereka atau tidak.
Di sinilah cerita game bercabang mengikut pilihan anda. Terdapat juga Anti-Shogunate yang terdiri daripada pejuang samurai yang mempunyai kesetiaan yang kuat terhadap pembebasan Jepun daripada pengaruh barat, manakala Pro-Shogunate pula merupakan puak yang terdiri daripada tokoh-tokoh penting kerajaan yang ingin menghentikan penentangan daripada pelbagai puak. Bergantung kepada pilihan yang anda buat dalam misi utama, ia akan memberi impak yang besar kepada jalan penceritaan dan juga penamatnya.

Kalau anda tidak pasti untuk berpihak kepada siapa, game ini memberikan anda peluang untuk berhubung dengan setiap watak penting melalui Bond System. Ini termasuklah melakukan misi khas bersama mereka dan mengetahui lebih lanjut mengenai latar belakang mereka. Bergantung kepada progress, anda boleh membentuk hubungan romantik dengan meningkatkan level Favor watak-watak ini, seperti memberikan hadiah kesukaan atau memilih dialog yang betul.

Sejujurnya kami agak kagum dengan pendekatan cerita dalam game ini. Game Team Ninja terdahulu banyak fokus kepada gameplay terutamanya siri soulslike mereka, tetapi Ronin mempunyai bahagian cerita yang agak banyak dengan pelbagai cabang dan cerita sampingan yang fokus kepada setiap watak utama. Ini pastinya memberikan peluang untuk pemain ulang main game ini, tetapi perkara yang sama tidak berlaku untuk bahagian percintaan game ini.

Walaupun anda mempunyai pilihan untuk bermain sebagai Veiled Edge lelaki atau wanita, game ini membahasakan watak anda sebagai “They/Them” dalam dialog cerita. Ini juga membawa kepada cara watak anda meningkatkan Favor dengan watak yang sama jantina untuk terlibat dalam perbualan intim. Rasanya ia akan menjadi lebih menarik jika watak yang dipilih mempunyai identiti yang lebih jelas, dan bergantung kepada jantina watak utama, game boleh memberi akses kepada pilihan percintaan yang berbeza yang akan mendorong anda untuk bermainnya semula.
Dunia terbuka yang luas dan indah
Apa yang membuatkan Rise of the Ronin berbeza dengan game Team Ninja terdahulu adalah game ini mempunyai reka bentuk dunia terbuka. Untuk studio yang sudah lama membuat game aksi dengan struktur level, agak kagum juga untuk alami pengalaman game dunia terbuka yang agak baru. Yokohama dalam game ini sememangnya besar dengan petanya dibahagikan kepada 20 daerah. Setiap daerah dipenuhi dengan pelbagai kawasan dan aktiviti untuk dilakukan.

Apabila anda berjalan di bandar, anda boleh lihat pengaruh barat yang begitu kuat dengan banyak bangunan, residen asing dan senjata api yang digunakan oleh orang rondaan. Di sebalik penindasan yang dikatakan, penduduk tempatan saling bekerjasama dengan barat, walaupun kumpulan Anti-Shogunate menentangnya. Jika anda melihat dengan teliti, ini adalah dunia yang sangat tulen. Anda boleh melihat potret kehidupan mewah, mereka yang tiada tempat tinggal, dan mereka yang berasal daripada budaya yang berbeza seperti bagaimana Yokohama mempunyai Chinatown untuk diterokai.
Seperti yang kami nyatakan, terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan dalam dunia ini. Agak mudah untuk anda meneroka dunia ini dengan menunggang kuda termasuklah gajet lain seperti Glider yang sangat membantu untuk pergi ke kawasan yang susah untuk dicapai dengna kuda. Mobiliti watak juga membolehkan anda melakukan beberapa aksi parkour termasuklah menggunakan grappling rope.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan sepanjang pengembaraan dalam Rise of the Ronin adalah Public Order yang memerlukan anda untuk membersihkan kawasan daripada pencuri dan mereka yang bermasalah. Kawasan yang sudah ditangkap akan dipenuhi semula dengan orang tempatan yang akan menyediakan akses kepada penjual item dan kemudahan untuk kraf item. Bergantung kepada aktiviti yang anda lakukan, anda akan menerima Karma yang boleh menuntut Rare Skill Point apabila anda berinteraksi dengan banner Veiled Edge.

Kebanyakan waktu, anda akan mencari kucing hilang, mengambil gambar dengan pemandangan terbaik, akses kemudahan penting seperti kuda dan kedai gear, dan menyelesaikan pelbagai mini game daripada setiap wilayah. Sebagai contoh, anda boleh melakukan cabaran Gliding di wilayah Kariba, yang selalunya berada di bukit tinggi.
Walaupun reka bentuk dunianya akan biasa, tetapi kami memang enjoy semua aktiviti yang ada di setiap kawasan, lebih-lebih lagi aktiviti tersebut boleh diselesaikan dengan cepat. Ronin juga mereka bentuk setiap wilayah dengan kandungan tertentu yang akan memberikan ganjaran sewajarnya kepada anda. Ini sudah tentu lebih baik berbanding melihat beratus-ratus ikon pada peta, terutamanya aktiviti yang tidak memberikan ganjaran yang setimpal, yang akhirnya membuatkan anda sendiri malas untuk melakukan aktiviti dalam game.

Salah satu kemudahan yang bagi kami agak penting adalah Longhouse, atau senang cerita rumah untuk watak anda. Terdapat pelbagai perkara yang anda boleh lakukan seperti Housekeeping, di mana anda menguruskan kandungan Storage sehinggalah melakukan Cat Concierge yang menyerupai perniagaan sewa kucing. Anda juga boleh memaparkan koleksi item kegemaran anda malah bersapa dengan watak yang anda rapat sepanjang cerita. Mereka kadang-kadang datang menjenguk dan berehat di Longhouse. Tetapi ciri yang kami paling kerap guna adalah character redesign, di mana anda boleh menukar skin armor dan senjata kegemaran anda.
Combat
Bercerita tentang combat, Rise of the Ronin masih mempunyai pengaruh yang kuat daripada game soulslike terbaru Team Ninja terutamanya siri Nioh. Anda mempunyai dua pilihan senjata utama, 2 senjata simpanan berbentuk senjata jarak jauh seperti rifle moden, serta beberapa slot untuk item yang boleh digunakan. Kawalan gameplay juga responsif dan mempunyai sensasi yang agak berbeza, kecuali kali ini watak anda dilengkapi dengan lebih banyak mobiliti seperti melakukan combo jump attack untuk menggunakan grappling rope untuk mencapai musuh dari jarak yang jauh atau membaling objek kepada mereka.

Persamaan daripada Nioh yang kami perasan adalah sistem Combat Style dan Blade Flash. Combat Style merupakan pilihan gaya pertarungan khas yang boleh digunakan dengan senjata tertentu. Senjata yang anda guna pada awal game adalah Mumyo-ryu, gaya combat fleksibel yang boleh digunakan dengan banyak senjata. Anda boleh menggunakan tiga Combat Style berbeza untuk setiap senjata, di mana anda perlu memilih gaya yang paling sesuai. Jenis musuh juga perlu anda ambil perhatian kerana ada sahaja gaya yang tidak efektif.
Sistem ini nampak sangat diinspirasikan daripada Stance Nioh, tetapi berbanding daripada bergantung pada aspek risiko dan ganjaran, Combat Style dalam Ronin memerlukan anda untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan situasi pertempuran dan musuh yang anda lawan. Kadang-kadang boss juga menukar senjata mereka semasa pertempuran dan inilah caranya untuk anda juga menukar gaya bertarung untuk mengalahkan mereka.

Blade Flash pula merupakan gerakan yang boleh anda lakukan selepas melakukan serangan, iaitu apabila watak anda melemparkan senjatanya ke tanah untuk mengeluarkan darah. Mengikut jumlah darah yang dikumpul dan ditunjuk pada bar, anda boleh mengembalikan Ki atau stamina. Jadi watak anda boleh terus melakukan serangan. Anda boleh sahaja mengundurkan diri seketika untuk kembalikan stamina dengan cara yang lebih selamat, tetapi bermain secara agresif boleh memberikan manfaat kerana musuh anda akan hilang stamina dengan lebih cepat, menyebabkan pertahanan mereka terbuka untuk anda berikan damage tinggi.
Walaupun ia hampir sama seperti Ki Pulse, Blade Flash memerlukan timing untuk lakukannya, jadi anda boleh kuasai teknik tersebut dengan pantas daripada awal tutorial. Boleh rasa bahawa Team Ninja telah menghasilkan game ini supaya ia mudah diakses oleh pemain yang lebih kasual. Selain daripada pilihan tahap kesukaran yang boleh ditukar pada bila-bila masa, anda tidak akan terseksa dengan musuh yang kadang-kadang boleh bunuh watak anda sekelip mata. Kami telah mainkan game ini dengan tahap kesukaran tertinggi “Twilight”, dan selain daripada beberapa cabaran bos utama di sana sini, game ni agak mudah.
Faktor lain yang kami rasa mengapa game in mudah adalah Ronin berlatarkan sejarah yang lebih tepat, jadi musuh yang anda lawan adalah manusia dengan gaya bertarung dan senjata yang berbeza. Itu sahaja sudah berbeza dengan game Team Ninja lain yang banyak menggunakan raksasa dan makhluk fantasi lain yang kadang-kadang mempunyai moveset yang brutal.

Pemain baru juga tidak perlu risau mengenai pemilihan peralatan kerana sistem berat yang akan mempengaruhi pergerakan watak. Anda juga tidak perlu susah payah untuk naikkan kebolehan watak dengan proses upgrade yang spesifik, kerana stat utama kini terbahagi kepada empat kategori utama: Strength, Dexterity, Charm dan Intellect, yang bergabung dengan Skill Tree untuk memudahkan proses.
Kami tidak begitu kisah dengan perubahan ini, tetapi kami sedar Ronin tidak begitu seimbang kerana ada bahagian terasa seperti game soulslike Team Ninja dan ada beberapa misi yang kami boleh selesaikan tanpa sebarang masalah. Sudah tentu, ini bergantung kepada skill pemain sendiri. Apa pun, Rise of the Ronin sememangnya satu game yang lebih mudah diakses untuk pemain baru.
Sekurang-kurangnya dalam combat, anda boleh melancarkan Counterspark, satu serang parry yang agak susah untuk dikuasai. Memandangkan setiap musuh dan boss mempunyai corak serangan berbeza, jadi untuk parry dengan baik agak memakan masa untuk biasakan diri. Anda juga perlu parry beberapa kali sebelum mendapat peluang untuk serang balas.

Parry yang tidak berjaya akan membuatkan watak anda terdedah, jadi ada faktor risk reward yang perlu anda pertimbangkan. Musuh dan boss yang anda lawan kadang-kadang melancarkan serangan Martial Skill, satu serangan yang agak berbahaya dan anda mempunyai masa parry yang begitu singkat.
Cuma satu sahaja masalah kami terhadapnya, ada beberapa serang Martial Skill ini tidak boleh parry dan perlukan anda untuk mengelaknya. Dengan game ini tidak memberikan petunjuk khas untuk serangan yang selamat atau perlu dielak, memang mencabar juga untuk mengagaknya. Tapi sepanjang bermain kami sedar bahawa Martial Kill di mana musuh ingin draw atau pegang watak anda adalah serangan yang tidak boleh dihentikan oleh Counterspark.

Sebagai tambahan, progress game ini kadang-kadang membawa anda kepada misi yang lebih linear atau mempunyai struktur tertutup. Jadi anda tidak boleh meninggalkan kawasan misi sehinggalah selesai segala kerja. Yang menariknya, anda boleh menjemput Companion untuk membantu anda apabila mereka tersedia sebagai watak yang boleh dimainkan. Ini membuatkan setiap misi terasa segar, terutamanya kebolehan untuk mencuba gaya combat yang berbeza.
Tahap kesukaran juga menjadi lebih mudah dengan tambahan watak untuk melawan musuh. Jadi anda tidak akan mudah “game over” apabila watak anda mati, sebaliknya anda boleh mengawal watak lain yang masih hidup. Ini juga cara untuk anda bangkitkan semula watak yang telah tumpas dengan item. Misi-misi lain dalam game juga boleh dimainkan dengan pemain lain melalui mode co-op, yang menampung sehingga 3 orang pemain.
Prestasi PS5
Rise of the Ronin dibangunkan sebagai game eksklusif PS5, sudah tentu kami ada beberapa jangkaan terhadapnya. Terdapat tiga mode gameplay yang boleh dipilih iaitu, Prioritize FPS, Prioritize Graphics dan Ray Tracing. Terdapat juga pilihan grafik lain yang tersedia untuk membuatkan pengalaman bermain anda lebih selesa. Walaupun kelihatan seperti lengkap, kami sebenarnya sukar untuk melihat perbezaan antara setiap mode kerana kualiti grafik game kelihatan sangat sama antara satu sama lain.
Memandangkan game ini dipersembahkan dengan gameplay aksi fast-paced dengan kawalan responsif, kami rasa lebih baik bermainnya dengan mode Prioritize FPS sahaja, kerana kualiti grafiknya tiada beza. Game ini juga memanfaatkan ciri-ciri pada DualSense terutamanya semasa menggunakan senjata api. Anda boleh rasa sensasi Adaptive Trigger apabila menembak. Ini termasuklah gimik lain seperti reload senjata.

Kesimpulan
Menggunakan kepakaran mereka dalam mencipta game aksi yang susah, apa yang Team Ninja tawarkan melalui Rise of the Ronin boleh dianggap sebagai evolusi utama yang agak tepat. Walaupun tidak merujuk secara khusus kepada sistem pertempuran yang lebih mesra atau elemen RPG yang tidak begitu kompleks seperti game terdahulu mereka, game ini masih berjaya menawarkan pengalaman dunia terbuka yang mantap, yang membuatkan kami sedikit ketagih, seronok dan penuh dengan kejutan.

Walaupun reka bentuk dunia terbukanya agak umum seperti game lain di pasaran, tetapi pembangun telah memastikan untuk mempersembahkannya dengan cara yang betul tanpa membuatkan pemain berasa malas untuk meneroka dunia sambil memberikan ganjaran yang setimpal. Tumpuan game untuk menyediakan jalan cerita yang bercabang, penuh dengan akibat dan membolehkan ulang main juga menjadi titik jualan, terutamanya untuk memberikan motivasi untuk bermain semula game selepas tamat. Combat juga terasa lebih kemas dan masih padat dengan kualiti terbaik yang anda boleh harapkan daripada Team Ninja.

Secara keseluruhannya, kami sangat-sangat berpuas hati dengan pengalaman bermain walaupun ada beberapa kekurangan, seperti identiti dua watak utama yang kurang disesuaikan, terutamanya dalam pilihan percintaan yang menjadikannya tidak begitu istimewa selain perbezaan jantina. Tahap kesukaran yang kami harapkan boleh menjadi lebih mencabar, hingga pilihan mode gameplay pada PS5 yang sukar untuk dibezakan, terutamanya pada bahagian grafik.
Rise of the Ronin akan dilancarkan pada 22 Mac 2024 secara eksklusif di PlayStation 5.
@gamersantaimy
The Review
Rise of the Ronin
PROS
- Lebih fokus kepada penceritaan
- Cerita bercabang dengan beberapa pilihan dialog yang penting
- Padat dengan variasi senjata dan gaya combat
- Reka bentuk dunia terbuka yang hebat dengan aktiviti sampingan yang seronok
- Lebih mudah dimainkan oleh pemain kasual
CONS
- Cabaran yang agak mudah daripada yang dijangkakan oleh sesetengah pemain
- Pilihan jantina watak tidak memberi kesan yang besar selain kosmetik
Discussion about this post