Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Xiaomi 17T Pro – Jaguh Bateri 7000mAh & Zum 5x Yang Praktikal!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
May 28, 2026
in Artikel, Berita, Review, Review Produk, Smartphone, Teknologi
0 0
0
Reviu Xiaomi 17T Pro – Jaguh Bateri 7000mAh & Zum 5x Yang Praktikal!
Share on FacebookShare on Twitter

Xiaomi 17T Pro merupakan tambahan terbaharu dalam siri-T yang cukup popular, disasarkan khas buat peminat fotografi yang mahukan kemampuan zum hebat pada sebuah telefon pintar.

Dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9500 berprestasi tinggi, peranti ini turut menampilkan sistem kamera sentuhan Leica serta bateri raksasa berkapasiti 7000mAh. Menariknya, Xiaomi mendakwa kapasiti sebesar ini membolehkannya bertahan hampir dua hari penuh dengan mudah.

Jadi, kami telah mengujinya sendiri untuk melihat sama ada ia benar-benar menepati janji tersebut.

Reka Bentuk

Dari segi penampilan, 17T Pro masih mengekalkan DNA siri-T tetapi dengan rekaan yang lebih kemas. Penggunaan bingkai aluminium dengan bucu yang sedikit melengkung membuatkannya sangat selesa dan natural apabila dipegang.

Ia didatangkan dalam dua pilihan warna, iaitu Deep Blue dan Deep Violet, di mana kedua-duanya menampilkan kemasan metalik berkilat yang menyerlahkan aura premium. Selain itu, bonjol kameranya telah dinipiskan berbanding model terdahulu, menjadikan rekaan panel belakang tampak lebih rata dan teratur.

Walaupun memuatkan bateri gergasi 7000mAh, telefon ini masih mengekalkan profil nipis pada ketebalan 8.25mm dengan berat 219 gram.

Namun begitu, beratnya pasti akan lebih terasa jika anda menggunakan peranti ini dengan sebelah tangan untuk tempoh yang lama (suatu perkara yang wajar dipertimbangkan jika anda mempunyai saiz tangan yang kecil). Sebagai pelengkap, telefon ini turut dibekalkan penarafan IP68 untuk perlindungan menyeluruh.

Jadi, anda tidak perlu risau lagi tentang insiden tertumpah air atau menggunakannya ketika hari hujan.

Paparan Skrin

Beralih kepada paparan, peranti ini menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.83 inci yang menampilkan resolusi 1.5K (2772 × 1280) yang tajam, dipadankan bersama refresh rate 144Hz yang sangat lancar.

Oleh kerana tahap kecerahannya mampu mencecah puncak 3500 nits, anda tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk melihat skrin dengan jelas di bawah pancaran terik matahari. Pada masa yang sama, kecerahannya juga boleh diturunkan ke tahap minimum 1 nit.

Apabila digabungkan dengan fungsi DC dimming, melihat skrin di dalam gelap pada waktu malam pasti terasa lebih selesa pada mata.

Xiaomi menggelar inovasi ini sebagai “Vision Care”. Malah, skrin ini telah menerima empat pengiktirafan TÜV Rheinland yang berbeza, membuktikan kemampuannya untuk mengurangkan kelipan dan cahaya biru, selain menyokong kitaran tidur semula jadi serta melaraskan kecerahan secara pintar demi melindungi penglihatan.

Ia juga menyokong format video berkualiti tinggi seperti HDR10+ dan Dolby Vision, malah turut dilapiskan kaca Gorilla Glass 7i sebagai pelindung daripada calar harian. Secara ringkas, kualiti skrin telefon ini memang bagus dan amat berbaloi dengan harganya.

Prestasi dan Gaming

Di sebalik binaannya, 17T Pro digerakkan oleh cip MediaTek Dimensity 9500 yang dihasilkan berasaskan teknologi canggih 3-nanometer (3nm). Cip yang direka khusus untuk kelajuan ekstrem ini menawarkan peningkatan prestasi sekitar 32% untuk unit pemprosesan (CPU) dan 33% untuk grafik (GPU) berbanding model Dimensity 9400 sebelumnya.

Sungguhpun angka-angka ini kelihatan hebat, perkara yang paling diutamakan ialah keupayaannya melaksanakan tugas harian dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Bagi menguji prestasinya, kami telah mencuba beberapa game popular. Untuk Honor of Kings, kelancarannya kekal ‘smooth’ pada tahap 120 FPS, dan lebih menakjubkan, paras bateri hanya menyusut sebanyak 5% selepas setengah jam bermain. Bagi game Wuthering Waves pula, ia mampu mencapai 60 FPS pada tetapan tertinggi.

Walau bagaimanapun, suhu telefon mula meningkat selepas 30 minit sambil memakan 10% kapasiti bateri.

Apabila diasak dengan game berat seperti Arknights: Endfield pada grafik maksimum, kelancaran 60 FPS masih dapat dikekalkan, cuma peranti menjadi agak panas selepas tempoh bermain yang lama.

Hal yang sama diperhatikan pada Honkai: Star Rail; peranti berjaya mencapai 60 FPS pada tetapan tertinggi, namun grafiknya sedikit tersekat-sekat apabila beban pemprosesan menjadi terlalu berat.

Berita baiknya, masalah ini dapat diatasi sepenuhnya dengan menurunkan sedikit tetapan grafik kepada mod “high”, lantas memberikan pengalaman 60 FPS yang diidamkan.

Cip ini lebih daripada sekadar mampu untuk melancarkan hampir apa jua game mobile di pasaran. Jika anda seorang gamer tegar yang gemar bermain game berat pada grafik maksimum berjam-jam lamanya, anda cuma perlu membiasakan diri dengan pelepasan habanya. Namun, untuk sesi gaming biasa, prestasinya sememangnya cemerlang.

Sistem Kamera

Untuk bahagian fotografi, kerjasama antara Xiaomi dan Leica membuahkan hasil menerusi sistem tiga kanta yang memberikan fokus khusus kepada kemampuan zum. Kamera utamanya didatangkan dengan kanta 50-megapiksel, bukaan apertur f/1.67 yang luas, serta ciri penstabilan imej optikal (OIS) untuk memastikan gambar sentiasa tajam.

Digabungkan dengan sensor Light Fusion 950 bersaiz 1/1.31 inci yang tergolong cukup besar untuk kelasnya, kamera ini berupaya menangkap cahaya dengan cemerlang.

Prestasi kanta zumnya juga tidak kurang hebatnya. Menampilkan kanta 50-megapiksel (f/3.0) bersama sokongan OIS, ia menawarkan zum optikal 5x yang setara dengan jarak fokus 115mm. Ia juga membolehkan anda mengambil gambar makro sedekat 30 sentimeter.

Jika memerlukan jangkauan yang lebih jauh, teknologi kecerdasan buatan (AI) sedia membantu memanjangkan zum digital sehingga tahap 120x. Sistem ini kemudian dilengkapkan lagi dengan kanta ultra-wide 12-megapiksel (f/2.2) yang mempunyai jarak pandangan seluas 120 darjah.

Kualiti gambar pada waktu siang ternyata cantik. Kamera utama menghasilkan gambar yang padat dengan butiran tajam berserta warna semula jadi, manakala kanta Leica memberikan gaya profil gambar yang sangat unik. Dalam keadaan kurang cahaya pula, kualitinya masih di tahap memuaskan walaupun tidaklah luar biasa.

Kanta zum 5x mengambil gambar yang sangat baik, tetapi ketajamannya mula merosot apabila melepasi takat 60x. Zum sejauh itu mungkin okey jika anda sekadar ingin membaca tulisan dari jauh, namun tidak sesuai untuk dikongsi ke media sosial.

Contoh gambar kami tangkap:

Satu ciri perisian baharu yang cukup menyeronokkan ialah “Leica Live Moment”. Berfungsi seakan-akan live photo, ia merakam klip video pendek sebaik sahaja anda mengambil gambar, lantas mencipta imej bergerak lengkap dengan profil warna Leica.

Fungsi ini menyokong kesemua kanta belakang termasuklah mod Portrait, dan gambar-gambar ini boleh digabungkan dengan mudah menjadi kolaj untuk dikongsi ke media sosiall. Bagi para pencipta kandungan video pula, telefon ini menyokong rakaman resolusi tinggi 8K pada 30 FPS dan 4K pada 120 FPS.

Ia turut memperkenalkan mod filem sinematik baharu yang merakam video 4K pada 60fps (satu ciri sulung untuk siri utama Xiaomi).

Bateri dan Pengecasan

Ketahanan bateri semestinya kekuatan utama 17T Pro. Peranti ini disokong oleh bateri silikon-karbon berkapasiti 7000mAh, menjadikannya bateri terbesar yang pernah ditawarkan oleh Xiaomi untuk pasaran global siri-T.

Hasil ujian amat memberangsangkan; tontonan video selama satu jam hanya menggunakan 5% bateri, kadar penyusutan yang cukup minimum untuk tontonan berterusan.

Xiaomi mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga 1.88 hari dengan sekali cas di bawah penggunaan berat. Sungguhpun jangka hayat sebenar amat bergantung pada corak penggunaan masing-masing, pengguna biasa pastinya boleh bertahan sehari suntuk tanpa perlu mengecas.

Pun begitu, sesi gaming berat yang panjang akan mengurangkan bateri dengan pantas, justeru para pengguna disarankan untuk mengecas bateri terlebih dahulu sebelum memulakan gaming.

Untuk urusan mengecas semula, sokongan pengecasan berwayar pantas kilat 100W memastikan proses ini berjalan lancar. Dalam ujian kami, tahap bateri berjaya dinaikkan daripada 17% ke 100% penuh dalam masa sekitar satu jam sepuluh minit… satu kadar kepantasan yang wajar dipuji bagi bateri gergasi seperti ini.

Menariknya lagi, ia menyokong wireless charging selaju 50W serta reverse wired charging 22.5W yang membolehkannya bertindak ibarat sebuah power bank. Peranti ini juga serasi dengan pelbagai pengecas jenama lain menerusi sokongan 100W PPS.

Audio dan Connectivity

Dari aspek audio, peranti ini dilengkapi sistem pembesar suara stereo berkembar dengan sokongan ciri bunyi berkualiti tinggi seperti Dolby Atmos, Hi-Res, dan Hi-Res Wireless.

Audionya cukup lantang manakala bunyinya terasa sangat luas untuk saiz sebuah telefon pintar, lantas memberikan kepuasan optimum semasa menonton video atau bermain game.

Beralih kepada aspek sambungan rangkaian, telefon ini dibekalkan dengan segala keperluan moden yang diharapkan. Ini termasuklah sokongan Wi-Fi 7 terpantas, teknologi Bluetooth 6.0 terbaharu (lengkap dengan Dual-Bluetooth untuk sambungan dua peranti serentak), NFC untuk kemudahan pembayaran, serta liputan 5G.

Walaupun tiada kejutan besar di sini, spesifikasinya terbukti padat dan memenuhi segala ciri-ciri wajib yang anda inginkan pada tanda harga ini.

Pendapat

Secara keseluruhan, Xiaomi 17T Pro jelas mengenali identiti dan sasaran pasarnya. Gabungan bateri gergasi 7000mAh bersama pengecasan pantas 100W merupakan kombinasi paling praktikal yang sukar ditandingi buat masa ini.

Jika gaya hidup anda memerlukan anda sentiasa berada di luar tanpa capaian yang mudah kepada elektrik, ciri ini sahaja sudah memadai untuk menjadikannya pilihan utama.

Di samping itu, pemproses terkini yang disertakan sekali mampu mengendalikan hampir apa sahaja game mobile dengan lancar, biarpun penjanaan habanya akan sedikit terasa jika anda bermain pada tetapan maksimum terlalu lama.

Untuk fotografi pula, sistem kamera Leica sama tidak mengecewakan dalam menghasilkan kualiti gambar yang memukau, manakala lensa zum 5x yang disertakan amatlah berguna bagi mereka yang gemar menangkap subjek dari jauh.

Rumusannya, ia merupakan sebuah peranti serba lengkap tanpa kelemahan yang kritikal, namun kejayaannya kelak akan amat bergantung kepada nilai tawarannya berbanding peranti pesaing di pasaran.

Jika ketahanan bateri yang luar biasa serta kepelbagaian kanta zum menjadi kriteria utama anda, Xiaomi 17T Pro sememangnya sebuah telefon yang wajib dipertimbangkan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: reviuXiaomi 17T Pro
ShareTweetSend
Previous Post

Novel Visual Seram Psikologi ‘MAMIYA’ Akan Dibawa Ke Nintendo Switch Bersama Kandungan Baru!

Next Post

Call of Duty: Modern Warfare 4 – Bila Akan Keluar, Perubahan Kepada Gameplay & Kemunculan Pertama Di Switch 2!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Project GT – Sebuah Game Lumba Anime RPG Di Mana Kita Mengawal ‘Car-Girl’
Berita

Project GT – Sebuah Game Lumba Anime RPG Di Mana Kita Mengawal ‘Car-Girl’

June 12, 2026
Marvel Rivals – Season 8.5 Rasmi Dilancarkan, Memperkenalkan Cyclops, Mod 18v18 & Acara Baru
Berita

Marvel Rivals – Season 8.5 Rasmi Dilancarkan, Memperkenalkan Cyclops, Mod 18v18 & Acara Baru

June 12, 2026
Demo Echoes of Aincrad Sedia Untuk Main Bermula 15 Jun 2026
Demo

Demo Echoes of Aincrad Sedia Untuk Main Bermula 15 Jun 2026

June 12, 2026
Next Post
Call of Duty: Modern Warfare 4 – Bila Akan Keluar, Perubahan Kepada Gameplay & Kemunculan Pertama Di Switch 2!

Call of Duty: Modern Warfare 4 - Bila Akan Keluar, Perubahan Kepada Gameplay & Kemunculan Pertama Di Switch 2!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd