Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Two Point Hospital: Full Health Collection – Rawatan  ‘All-in-One’ Untuk Konsol Moden

Razin Syafiq by Razin Syafiq
September 11, 2026
in Artikel, Berita, Game Review, PC, PS5, Review, Simulator, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Two Point Hospital: Full Health Collection – Rawatan  ‘All-in-One’ Untuk Konsol Moden
Share on FacebookShare on Twitter

Genap sedekad selepas Two Point Studios pertama kali membuka pintu mereka, game management sim ini menerima nafas baharu untuk konsol generasi terkini. Seperti tajuknya, Two Point Hospital: Full Health Collection adalah game lengkap yang bersama semua DLC yang pernah dikeluarkan ke PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan Nintendo Switch 2.

Selain daripada base game, pemain turut mendapat expansion Bigfoot, Pebberley Island, Close Encounters, Off the Grid, Culture Shock, A Stitch in Time, dan Speedy Recovery. Bukan itu sahaja, ia juga menambah pek Fancy Dress, pelbagai bundle item, serta Hospital Pass.

Apa yang menarik adalah tiga daripada expansion tersebut (A Stitch in Time, Culture Shock, dan Speedy Recovery) akhirnya hadir ke konsol buat pertama kali. Memandangkan versi ini dibina semula daripada awal, ketiga-tiga DLC ini tidak dijual secara berasingan.

Rutin Mengurus Hospital

Di intinya, matlamat utama game ini adalah membina hospital yang berfungsi dengan baik serta memastikan operasi harian berjalan lancar. Setiap fasiliti bermula dengan rutin asas yang sama; pesakit mendaftar di kaunter pendaftaran, berjumpa doktor, menjalani diagnosis, dan akhirnya menerima rawatan.

Sebaik sahaja rutin asas ini berjalan, cabaran sebenar pun bermula iaitu menyusun bilik rawatan, mengambil staf yang berkelayakan, dan memastikan rawatan cukup berkesan supaya pesakit pulang dalam keadaan sembuh dan bukannya diusung keluar dalam beg mayat.

Dari segi mekanik, tiada perubahan drastik yang diperkenalkan sepanjang bermain. Pada peringkat awal, pemain mungkin hanya menguruskan 70 hingga 80 orang pesakit pada satu-satu masa, namun di hospital-hospital seterusnya, angka ini boleh melonjak melebihi 300 orang.

Untuk menampung jumlah pesakit yang ramai, anda perlu menaik taraf bilik rawatan sehingga ke level lima (yang membantu meningkatkan tahap kebersihan dan kegembiraan pesakit), serta menyelesaikan objektif tertentu untuk membuka peralatan baharu dan staf yang lebih mahir.

Kita juga akan meluangkan banyak masa menguruskan urusan harian secara terperinci seperti melaraskan alat pemanas atau penyaman udara, membersihkan kekotoran, serta meletakkan mesin snek dan hiburan supaya pesakit mahupun staf tidak merasa bosan, lapar, atau dahaga semasa menunggu.

Nasib baiklah, game ini tidak memaksa kita membuat keputusan terburu-buru di bawah tekanan masa. Setiap kali keadaan menjadi kelam-kabut, anda boleh menekan butang pause pada bila-bila masa untuk bertenang, menyusun semula susun atur bilik, atau merangka strategi baharu.

Kejayaan di sini tidak bergantung pada refleks pantas, sebaliknya menuntut perancangan yang teliti, pengubahsuaian pelan lantai yang bijak, dan sentiasa selangkah di hadapan bagi menghadapi gelombang pesakit yang seterusnya.

Dari segi visual, ia menampilkan gaya kartun mirip siri The Sims, tetapi dengan personaliti jenaka British. Para pesakit dan doktor masing-masing mempunyai sifat pelik, tabiat aneh, serta nama yang berunsurkan permainan kata.

Jenaka ini turut diterapkan ke dalam penyakit-penyakit, daripada “Jester Infections” sehinggalah ke “Lightheadedness”… iaitu keadaan di mana kepala pesakit bertukar menjadi sebiji mentol yang menyala.

Aspek audio turut melengkapi suasana dengan muzik latar yang santai, diiringi pengumuman PA yang menyampaikan peringatan penting bersama dialog-dialog lucu.

Di PC, kawalannya terasa sangat lancar dan responsif dengan klik yang intuitif serta UI yang kemas yang memudahkan kita memutarkan kamera, zum, dan menyusun perabot tanpa sebarang kekusutan.

Peringatan Pindah Save

Jika pernah bermain versi original pada konsol generasi semasa, anda boleh memindahkan data lama. Walau bagaimanapun, ada satu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Save File mestilah disimpan pada storan dalaman konsol, dan bukannya di storan cloud.

Sekiranya fail hanya berada di cloud, anda perlu membuka game asal terlebih dahulu dan memuat turun save tersebut ke dalam konsol.

Pemain juga perlu memberi tumpuan ketika pelancaran kali pertama. Paparan untuk memindahkan save mod career, data sandbox, dan templat susun atur bilik hanya akan muncul pada kali pertama kita memulakan Full Health Collection.

Jika terlepas atau melangkau paparan ini, anda tidak lagi boleh memindahkan save sandbox atau susun atur bilik tersebut kemudian hari. Bagi “Trophy” dan “Achievements”, koleksi ini menampilkan senarai baharu, namun mengimport save lama akan membuka sebahagian daripadanya secara automatik serta-merta.

Isu Input Lag dan Kekurangan Mekanik Baharu

Salah satu tarikan utama Full Health Collection ialah janji prestasi yang lebih lancar dan pantas pada perkakasan moden, berserta pengoptimuman menyeluruh. Secara praktikalnya, peningkatan tersebut tidak begitu konsisten.

Khususnya pada PlayStation 5, kami mendapati ada input lag yang ketara ketika menavigasi menu, terutamanya pada skrin staff overview. Memandangkan navigasi yang lebih lancar adalah antara kelebihan yang diuar-uarkan bagi versi ini, menu yang lembap sebenarnya agak mengecewakan.

Pun begitu, ujian ini dibuat ke atas versi pra-pelancaran, yang bermaksud pembangun mungkin akan membaiki isu tersebut sebelum atau sejurus selepas pelancaran rasmi. Walaupun ada sedikit kelambatan pada menu, isu lag ini tidak mengganggu gameplay secara langsung, jadi ia tidaklah merosakkan pengalaman bermain secara keseluruhan.

Selain isu kecil pada menu, kelemahan terbesar game ini adalah ia boleh terasa repetitif sebaik sahaja kita menguasai asas permainannya.

Oleh kerana setiap hospital mengikut aliran pesakit yang sama, peningkatan tahap kesukaran lebih berkait rapat dengan pengurusan jumlah pesakit yang semakin ramai, bukannya melalui pengenalan mekanik baharu.

Akibatnya, nilai main semula lebih bergantung pada penyelesaian objektif dan membuka item baharu, bukannya daripada perubahan gameplay yang mengejutkan.

Pilihan Digital vs Fizikal

Versi digital akan dilancarkan pada 16 September 2026 untuk PS5, Xbox Series X|S, dan Nintendo Switch 2, dengan pilihan wishlist sudah pun dibuka di PlayStation Store, Xbox Store, dan eShop Switch 2. Edisi fizikal berkotak pula akan menyusul pada 6 November 2026 untuk PS5 dan Switch 2.

Jika anda lebih gemar membeli cakera atau kartrij fizikal, anda perlu menunggu sekitar dua bulan lebih lama.

Bagi pemain yang sudah memiliki Two Point Hospital secara digital (termasuk edisi JUMBO Edition atau bundle Two Point Campus Double Pack), anda layak menikmati diskaun sebanyak 50% untuk membeli Full Health Collection pada platform yang sama.

Pendapat

Secara am, Full Health Collection memberikan pakej lengkap yang serba lengkap bagi Two Point Hospital, membolehkan pemain menikmati setiap DLC yang ada. Game ini masih mengekalkan identitinya sebagai management sim yang mudah didekati, lawak, dan penuh personaliti.

Ciri-ciri memudahkan seperti pemindahan save serta diskaun 50% untuk pemilik versi digital sedia ada pun membuatkan tawaran naik taraf terasa amat berbaloi.

Namun begitu, bakal pembeli wajar mengambil tahu bahawa isu lag pada menu masih belum dibaiki sepenuhnya, dan gameplay tidak berubah sebaik sahaja anda sudah menyesuaikan diri dengan rentaknya.

Sama ada koleksi ini berbaloi untuk anda atau tidak bergantung sepenuhnya pada diri sendiri.

Jika belum pernah bermain Two Point Hospital, ini merupakan adalah tawaran yang sangat menarik; anda mendapat base game bersama setiap DLC yang pernah dikeluarkan, termasuk tiga expansion yang tidak pernah hadir di konsol sebelum ini, tanpa perlu mengeluarkan sebarang duit tambahan pada kemudian hari.

Bagi pemilik versi digital sedia ada pula, membelinya adalah cadangan bernas selagi diskaun 50% itu masih aktif.

Walau bagaimanapun, jika terlepas tawaran diskaun tersebut, atau sekiranya hanya pernah bermain melalui free trial, Xbox Game Pass, atau PlayStation Plus Game Collection, membayar harga penuh untuk sebuah game yang berusia sepuluh tahun mungkin membuatkan anda berfikir dua kali.

Game ini akan keluar di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan Switch 2 bermula 16 September 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

Two Point Hospital: Full Health Collection

8.5 Score

Meskipun berdepan isu input lag menu dan gameplay yang agak berulang, Two Point Hospital: Full Health Collection adalah sebuah pakej all-in-one yang melucukan serta sangat berbaloi terutamanya bagi pemain baharu dan pemilik asal yang menikmati diskaun 50%.

PROS

  • Mempunyai keseluruhan katalog Two Point Hospital dalam satu pakej lengkap
  • Membawakan tiga expansion ke konsol buat pertama kali
  • Membolehkan pemain lama memindahkan mod career, save sandbox, dan susun atur bilik dari versi original
  • Penuh dengan jenaka serta mekanik gameplay yang mesra dan mudah dipelajari
  • Menawarkan sistem pengurusan yang luas, merangkumi pengurusan staf, naik taraf bilik, suhu bilik, kebersihan, dan reputasi hospital

CONS

  • Gameplay asas boleh mula terasa berulang-ulang sebaik sahaja anda menguasai mekaniknya
  • Pemindahan save hanya berfungsi jika fail disimpan pada konsol. Ini masalah bagi pemain yang bergantung pada storan cloud.

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: reviuTwo Point Hospital: Full Health Collection
ShareTweetSend
Previous Post

Reviu Marvel’s Wolverine – Insomniac Games Buktikan Sekali Lagi Kepakaran Mereka Dalam Hidupkan Watak Ikonik Marvel

Next Post

Hello Kitty & Sanrio Dilantik Sebagai Duta Rasmi Family Game Park, Masuk Percuma Untuk Ibu Bapa & Kanak-Kanak

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 
iOS

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 

October 12, 2026
Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun
Review

Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
Next Post
Hello Kitty & Sanrio Dilantik Sebagai Duta Rasmi Family Game Park, Masuk Percuma Untuk Ibu Bapa & Kanak-Kanak

Hello Kitty & Sanrio Dilantik Sebagai Duta Rasmi Family Game Park, Masuk Percuma Untuk Ibu Bapa & Kanak-Kanak

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto
Anime

NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto

October 12, 2026
Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’
Manga

Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’

October 12, 2026
Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global
Mobile

Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global

October 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd